Sebagai sebuah organisasi baru, Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Industri Selangor (GPTD UNISEL) sedar segala kekurangan dan kelemahan yang wujud dalam pergerakannya. Namun alhamdulillah beberapa siri pertemuan yang berjaya diadakan dengan komitmen aktivis yang tinggi merupakan suatu yang di luar jangka.
Di kala banyak organisasi dalam kampus mendapat kurang sambutan dari kalangan pelajar dan persatuan belia yang malap diperingkat nasional, GPTD UNISEL berani mengorak langkah dengan program pertamanya Kempen & Pameran Selamatkan Dunia Baru. Walaupun tema program ini adalah alam sekitar dan bicara isu bahaya polistrina, tetapi mesej tersirat jelas menggambarkan GPTD UNISEL ingin mengisi ruang yang kosong untuk membangunkan komuniti kampus dengan cara sederhana. Misi Rahmatan Lil Alamin sentiasa (Membawa Kebaikan Ke Seluruh Alam) digenggam oleh setiap aktivisnya untuk membina diri dan orang lain tidak kira di dalam kampus, negeri, negara malah dunia.
Oleh itu, gagasan 1 GPTD merupakan manifestasi aktivis GPTD UNISEL mengukuhkan faham idealisme perjuangan umat. Maknanya kesatuan pemikiran, kesatuan hati dan kesatuan kerja perlu meratakan dikalangan aktivis agar tidak ada yang rasa keseorangan dan putus asa kerana yang pasti Allah SWT sentiasa bersama hambanya.
Kerja Didahulukan, Komitmen Diutamakan pula adalah tagline mencerminkan gerak kerja aktivis dalam menjalankan amanah yang telah ditaklifkan. Takrif kerja dimudahkan dengan memahami makna istilah kerja dalam bahasa arab iaitu amal. Setiap amal yang diniatkan kerana Allah SWT akan dikira sebagai ibadah. Jelas gagasan ini mengajak aktivis & simpatisan untuk bersama-sama membina komuniti dalam kapasiti masing-masing dan semata-mata kerana Ilahi. Tidak tamat idea diari minda, tidak habis retorika di lidah tetapi kena dilanjutkan dengan perlaksanaan kerja.
Bicara soal kerja tidak terlepas kita kepada tuntutan amanah samada daripada Allah, Rasul, dunia, negara, masyarakat, keluarga dan diri. Kerja pula mesti mengikut kepada fiqh awlawiyyat (fekah keutamaan), agar tiada yang tercicir dipertengahan jalan.Tiada amal atau kerja yang sempurna tanpa komitmen 100%. Oleh kerana itu sambungan kepada tagline awal ialah komitmen diutamakan dengan merujuk kepada faham jihad. Jihad bermakna bersungguh-sungguh dalam erti kata yang lain komitmen perlu diberikan sepenuh dalam segala kerja atau amal yang telah diamanahkan.
Dalam al-Quran menjelaskan yang mafhumnya jihad itu mesti ada 2 elemen iaitu harta dan diri. Segala perlaksanaan komitmen sudah pasti memerlukan pengorbanan harta (kewangan) seperti contoh untuk menjalankan misi luar negara. Kewangan mesti cukup barulah layak untuk menampung sara diri, tiket pengangkutan dan lain-lain. Kemudian, diri perlu dipersiapkan dalam maksud sedia spiritual, intelektual dan fizikal kerana cabaran di luar negara di luar jangkaan. Ketika itulah insuran tawakal kepada Ilahi yang paling penting.
1 GPTD, Kerja Didahulukan, Komitmen Diutamakan merupakan suatu faham yang punya tujuan.Tujuannya hanya satu iaitu untu melahirkan suatu peradaban unggul dengan masyarakat adabi. Suatu peradaban akan muncul dan kekal jika dan hanya jika masyarakatnya memiliki nilai ta'dib (faham tarbiyyah & adab). Tugas ini tidak mudah, tetapi tidak mustahil untuk digerakkan. Dengan strategi dan iltizam setiap aktivis yang pelbagai latarbelakang tidak menghalang usaha murni ini kerana "Kita mulakan dengan apa yang kita tahu, Kita bina dengan apa yang kita ada". Setiap kekurangan akan kita tampung bersama dan setiap kelebihan akan kita kongsi bersama. Apa yang penting? Kerjasama...& faham ilmu merupakan prasyarat untuk menggerakkan dan menjayakan misi ini.
Saudara Izwan Shuhadak
Penasihat GPTD Unisel
No comments:
Post a Comment