Saturday 29 September 2012

Melihat Kepimpinan Diri Sendiri


Beberapa hari ini terfikir pada diri kenapa diri ini sejak sekolah tidak boleh duduk diam sahaja. Mememahami diri yang dari sekolah terimbau permulaan aku bersekolah rendah lagi di Sekolah Dato Undang Abdullah, Kampung Chennah di sebuah perkampungan luar bandar di daerah Jelebu Negeri Sembilan. Kalau ikutkan aku bukan seorang pelajar yang agak minat pada teori tetapi seorang yang lebih suka pada praktikal atau beraktiviti. Semasa sekolah aku mula mengingat kembali pada darjah 4, aku sudah diberikan tanggungjawab untuk menjadi Pustakawan dan menjadi Ketua Kelas. Pada masa itu, aku sebenarnya agak seorang pelajar yang kurang rasa yakin diri kerana ada perkara yang membuatkan aku takut untuk membuat keputusan. Biar sahaja itu rahsia.

Pada masa itu, aku masih ingat aku begitu meminati era Backstreet Boy ketika darjah 5 dan pada masa itu merupakan suatu tahun yang merupakan tahun yang agak kelakar kerana ada beberapa perkara melucukan aku lakukan ketika menghadiri kelas tambahan untuk persedian UPSR. Antaranya pengalaman yang melucukan ketika kelas tambahan subjek Matematik, aku disuruh untuk menjawab soalan dihadapan dan berpasangan dengan rakan kelas pelajar wanita. Sekiranya salah seorang gagal menjawab akan ada yang didenda untuk dicubit. Semasa rakanku itu gagal aku dibenarkan mencubitnya. Biasalah perangai yang kurang matang telah mencederakan perutnya dan luka. Pada kelas yang sama, guru Matematik, Cikgu Saufi yang mengajar terlalu marah dengan lawak aku menyuruh aku membuka mulut serta membaling kapur putih ke dalam mulut tetapi sebenarnya beliau bergurau padahal aku ingatkan beliau serius.

Itu mungkin beberapa selingan dari penulisanku pada kali ini. Pada ketika itu aku juga merupakan ketua kelas pada darjah 5 ketika itu. Semasa UPSR, aku agak gembira aku lulus dengan     3A2 B. Tetapi keputusan itu telah menyebabkan ayah aku hampir hendak pengsan kerana mengharapkan 5A. Tetapi bagi aku ketika itu janji dapat masuk tingkatan 1. Mungkin fikir seorang ayah berbeza. Memang dari kecil aku memang tidak suka diaturkan cara hidup yang dia mahukan.

Semasa 2002, aku berjaya masuk ke Sekolah Menengah Dato Undang Musa al-Haj, di mana merupakan sebuah sekolah yang melahirkan beberapa individu yang agak berpengaruh dalam di Negeri Sembilan dan Malaysia. Antaranya, Dato Seri Utama Rais Yatim yang pernah mengajar serta Pengarah Belia dan Sukan Negeri Sembilan.  Semasa di tingkatan 1, aku diletakkan dalam kelas kedua dari 6 kelas tingkatan satu dengan nama 1 Sarjana. Sebelum masuk aku juga mendapat tawaran masuk ke sekolah agama berasmara penuh tetapi masa itu aku ingat aku masuk kena jadi ustaz atas maklumat yang keluarga berikan. Maklumlah anak dan cucu sulung yang baru masuk ke sekolah menengah. Semasa pertengahan tahun, ayah aku telah mendapatkan maklumat dari bekas kawan seangkatan dalam tentera untuk memasukkan aku ke Maktab Tentera Diraja.  Ketika itu, fobia aku pada tentera menjengah kerana sejak dari kecil lagi aku sudah seperti direkrut dan perasaan tidak suka itu kembali menjengah. Aku suka menjadi orang awam.

Dipendekkan cerita, semasa pemilihan Putera untuk MTD dijalankan di Kem Tentera di Port Dikson. Semasa di sana aku berjaya melepasi ujian peperiksaan tetapi mengagalkan diri ketika sesi kecergasan kerana tidak mahu memasuki MTD. Untuk pengetahuan, sepanjang pemilihan peserta perlu tinggal di kem selama 3 hari. Bagi aku 3 hari sudah seperti 3 tahun. Selesai sahaja pemilihan, ayah aku telah bertemu dengan banyak sahabat beliau ketika dalam Amor, suatu unit untuk kenderaan perang. Di situ juga emak aku yang seorang Polis Tentera berkenalan dengan ayah aku.

Selepas peperiksaan pertengahan tahun tingkatan 1, aku mula mendengar nama aku bakal dilantik menjadi pengawas untuk tingkatan 1. Sebenarnya selepas aku memasuki tingkatan 1 aku mahu menjadi pelajar biasa kerana tidak perlu berada di hadapan pelajar menjaga barisan atau bertugas melakukan “spot check”. Ura-ura itu menjadi benar apabila aku telah dipanggil menjalani temuduga oleh cikgu pengawas tidak silap ketika itu Cikgu Omar yang merupakan guru sejarah aku juga. Beberapa minggu selepas itu, aku dilantik menjadi pengawas. Dan ingat tugas pertama kali aku ialah menaikkan bendera. Itulah pengalaman paling kelakar kerana bendera Negeri Sembilan berkibar terbalik serta merupakan permulaan aku kerap berjumpa dengan Pengetua yang bernama Puan Hawa Siti Majid yang kini menjadi Pengetua di SMK Puteri, Seremban.

Sepanjang awal pembabitan dalam kokurikulum ketika sekolah aku juga merupakan bekas ahli Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM), pemain bola keranjang, pelari untuk merentas desa dan ahli Persatuan Matematik dan Sains (subjek yang paling aku benci). Subjek kegemaran semasa menengah rendah ialah sejarah dan Geografi yang mana subjek ini juga aku berjaya memperoleh A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Semasa aku memasuki tingkatan 4, adalah kesilapan awal aku ialah memasuki Aliran Sains Tulen. Kerana sebenarnya aku lebih berminat memasuki aliran Sastera tetapi ada hikmah sebalik kejadian. Menjadi pelajar kelas pertama sedikit memberi tekanan kerana aku bukan jenis orang buku yang hanya membaca. Ini kerana tingkatan 4 jugalah, aku mula makin aktif dengan banyak aktiviti terutama dalam Pengawas yang mana semasa tingkatan 4, aku merupakan ketua Platun. Semasa tingkatan 4 ini nama aku sering dipanggil oleh guru. Masih ingat pada tahun 2005 ketika itu, aku diarahkan untuk menyertai Kursus Kepimpinan Pengawas peringkat Negeri Sembilan di SMK Simpang Glami, Jelebu. Pada tahun yang sama juga, aku diminta mewakili Negeri Sembilan ke Seminar kempimpinan Pengawas peringkat Kebangasaan di Kuala Terengganu. Ketika di Kuala Terengganu, sempat dibawa ke Dewan Undangan Negeri, aku sempat duduk di Menteri Besar Terengganu ketika itu, Ustaz Hadi Awang. Mungkin dari situ petunjuk-pentunjuk untuk lebih aktif.

Pada tingkatan 5, aku mula diberi amanah memikul amanah menjawat jawatan Penolong Setiausaha Pengawas. Di sini aku, selalu mendapat tunjuk ajar dari Cikgu Rozana, jasa beliau amat penulis hargai dan tidak lupakan. Di waktu itu juga, sikap sukarelawan jelas tampak kerana tiap kali awal pagi aku sudah terbiasa datang awal dengan mengemas kerusi-kerusi untuk guru setiap kali jika ada perhimpunan pagi. Kisah-kisah melucukan semasa perhimpunan juga membuatkan aku agak dikenali di dalam sekolah kerana sering melakukkan kesilapan teknikal yang jelas perasaan oleh pelajar-pelajar. Antaranya ialah aku diminta menjaga bilik PA Sistem, banyak kali tersilap pasang lagu seperti lagu Negeri Sembilan tetapi tertekan memainkan lagu joget dan tiap kali salah akan menghadap pengetua. Seperti sudah lali aku berjumpa dengan orang atasan ini.

Semasa di tingkatan 5 juga, aku juga menjadi peserta kuiz Antarabangsa PBSM peringkat daerah Jelebu tetapi yang aku kesal sampai sekarang selepas mengetahui sekolah aku menang tetapi tersalah umum setelah mengetahui dari pelajar sekolah daerah lain mengatakan kenapa tidak hadir pertandingan peringkat Negeri Sembilan yang mengenali. Pada tahun yang sama juga, aku juga dipilih mewakili sekolah untuk mesyuarat Mengatasi Jenayah di Sekolah bersama pihak Polis daera Jelebu. Itu pengalaman bermesyuarat dengan organisasi kerajaan. Sebelum terlupa, sepanjang persekolahan aku mempunyai beberapa orang guru yang membuatkan aku menjadikan mereka sebagai “role model” antara mereka Cikgu Saufi (cikgu yang mencampakkan kapur ke dalam mulut aku ketika aku melawak dalam kelas) tetapi dia tegas untuk mendidik seorang budak loya buruk ini. Tidak lupa cikgu Faisol (guru bahasa Melayu dan guru Kanan Hal Ehwal murid) yang mana aku darjah 4 ditangkap olehnya kerana aku pergi masuk tandas perempuan kerana ingin tahu mengapa pelajar lelaki tidak masuk tandas perempuan. Tetapi ingatan aku padanya ialah dia banyak beri peluang pada aku dalam kelas beliau untuk melakukan aktiviti pembelajaran. Mungkin itu sampai sekarang aku sentiasa berfikir melampau sangat sehingga ada persoalan yang aku tidak dapat jawapan. Semasa di sekolah menengah aku tertarik dengan penampilan seorang susuk tubuh yang bernama Cikgu Razak (Pak Jak) yang mana mula-mula aku berada di SMK Dato Undang Musa al Haj, aku sudah begitu kagum dengan cara cakap dia, keyakinan beliau, gaya menegur, serta cara hidupnya yang mana seorang aktif. Mungkin ini sedikit sebanyak meresap ke dalam diri aku. Teringat pula cikgu yang garang mengajar seperti Cikgu Azman, paling baru berjumpa beliau di Tesco Kuala Selangor. Terasa seperti mimpi kerana beliau mengajar di Jelebu mana mungkin berada di Kuala Selangor, rupanya beliau menghantar anaknya bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh di Jeram. Beliau mengajar Sejarah, kalau mengajar mesti menanyak banyak soalan kepada aku kerana beliau tahu aku minat Sejarah dan suka bantu beliau padam papan hitam. Walau dia suka marah dengan aku, dia tak jadi marah samalah juga dengan Puan Rozana yang mengajar aku bahasa Inggeris kerana ramai pelajar mengatakan beliau garang tapi dengan aku beliau tak jadi marah kerana aku banyak melawak dalam kelas dia sehingga dia tak tahu hendak buat apa lagi tetapi beliau banyak melatih aku keyakinan dan banyak beru peluang mencuba untuk bercakap di hadapan orang. Beliau juga pernah meminta agar masuk ke Tingkatan 6 supaya aku boleh menjadi Ketua Pengawas tetapi aku menolak sebab aku tidak suka peraturan sekolah dan aku adalah seorang yang suka bebas dan tidak terkongkong (fleksibel).

Selepas habis tingkatan 5, aku sebenarnya mahu melanjutkan pelajaran dalam perguaman tetapi dihalang oleh emak kerana pekerjaan guaman ini merupakan suatu pekerjaan yang membuatkan kita terjerumus dalam neraka. Setelah agak kecewa, aku mendapat 2 tawaran iaitu INSDTEC di Desaru kerana ayah aku orang Johor dan satu lagi tiba surat dari Universiti Industri Selangor meminta memohon kemasukan ke sana.Ketika itu aku memohon 3 kos iaitu Diploma Pengurusan Bisnes, Diploma Pengurusan Pentadbiran dan Diploma Akaun. Selepas itu, tiba surat tawaran dalam Diploma Pengurusan Pentadbiran pada kemasukan Julai 2007.

Semasa bermula belajar aku sebenarnya terlibat dengan banyak entiti persatuan antara yang awal ialah  selepas masuk aku berminat dengan UMAG sebuah persatuan yang lebih kepada aktiviti lasak dan pengembaraan tetapi jodoh aku tidak lama. Selepas itu, aku menyertai I-RAKAN yang agak berbeza gerakan ketika itu dengan sekarang. Semasa dalam I-RAKAN aku bermula dengan aktiviti Seminar Pengembaraan Ibnu Batutah yang mana ketika itu aku mula mengenali Grup Pengkaji Tamadun Dunia serta ketika itu majlis dikenali oleh Encik Izwan Shuhadak serta pengisian oleh abang Norzyal Zainal (yang kini merupakan pegawai Khas kepada Exco Kerajaan Negeri , YB Yakob Sapari) ketika itu merupakan Timbalan Presiden GPTD Pusat. Jadi jelas GPTD di UNISEL sudah lama bertapak momentumnya yang ada jelas mempertikaikan keberadaan GPTD dalam  UNISEL.

Selepas beberapa krisis dalam I-RAKAN, beberapa ahli dalam Biro Ibn Batutah telah membawa diri keluar dari I-RAKAN iaitu saudara Wan Ritini dan Exco Penerangan I-RAKAN, saudara Affendi Malek telah bersama saya menyusun suatu ekspedisi ke ACEH pada tahun 2008, atas misi tinjauan dan bantuan pendidikan selepas tsunami. Pergerakan Ibn Batutah ini telah mencetuskan momentum GPTD UNISEL selepas mendapat persetujuan dengan pihak GPTD Pusat untuk medaftarkan dibawah Hal Ehwal Pelajar (HEP) pada tahun 2009.

Pada masa sekitar 2007 hingga 2008, aku juga menganggotai  beberapa persatuan lain antara Kelab Fasilitator, silat gayung hanya sempat belajar sampai buah ke 10. Pada masa yang sama, ketika itu abang Azreen menjemput menjadi ahli awal GPMS ketika era Naib Canselor ketika Dato Dr Razali Agus dan awal penubuhan dihadiri oleh exco GPMS Pusat, abang Yaakob semasa era adik Dato Seri Anwar Ibrahim , Shuhaimi Ibrahim menjadi Presiden.

Tetapi pada tahun ketika 2009-2010, aku dirisik-risik untuk menyertai Majlis Perwakilan Pelajar UNISEL dan ketika itu aku baru sahaja memasuki Ijazah Sarjana Muda serta sebelum itu aku sedang memangku Presiden GPTD selepas Presiden ketika itu menghilangkan diri. Itu merupakan tahun yang agak berat kerana aku mengalami banyak masalah peribadi yang mana sepanjang menjadi Exco MPP memberikan lagi tekanan tetapi aku berjaya menghadapi ujian-ujian diri hingga habis penggal. Selepas habis penggal, ada permintaan untuk aku mengalas jawatan Presiden Persatuan Penggerak Mahasiswa UNISEL dari penggal 2010-2011. Sepanjang menjawat Presiden PPMU, fokus lebih kepada skill pemimpin dan fasilitator. Sebelum aku praktikal di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) (yang hanya 3 minggu sebelum dibuang dan menyambung 11 minggu lagi di UiTM ) telah dirisik oleh Grup Pengkaji Tamadun Dunia  UNISEL untuk menjadi Presiden sehingga sekarang.

Maka jelas, hala tuju yang aku lalui selama ini memberikan banyak pengalaman secara tidak langsung melatih diri aku ke arah menyiapkan diri sebelum habis belajar.  Kadang kala, kenapa momentum yang aku lalui jelas tampak ke arah memimpin? Itu aku mula berfikir.