Thursday 26 March 2015

Hidup Belajar Melalui Pengalaman

Rupanya hari ini, membuka minda aku untuk lebih memikirkan kehidupan. Ingatkan aku mahu lari dari kehidupan yang sebenarnya aku rasa bukan kehidupan yang aku mahu, tetapi semakin aku lari, semakin aku dekat kehidupan yang mana aku cuba elakkan.

Pada hematnya, aku mahu suatu hidup yang sekadar  hidup dan buat amalan untuk diri aku dan aku mahukan kehidupan yang ‘low profile ’. Banyak pertanyaan yang aku cuba bertanya pada orang yang aku kenali. Ada yang menjawab, ada yang tak bagi pandangan, serta ada yang menjawab sekadar  menjawab. Aku merupakan seorang yang sebenarnya banyak persoalan yang berlegar dalam kepala tapi kadang kala ada terjawab, kadang kala tak terjawab dibiarkan saja.

Dalam dibiarkan berjawab, aku memahami secara praktikal dan pengulangan. Ini yang aku dapat pada hari ini, dan persamaaan jawapan. Aku beberapa bulan  kebelakangan ini, terkeliru dengan cara hidup yang aku cuba bina. Ada orang mengatakan begini, ada orang mengatakan perlu begini. Aku cuba mengikut rentak, tapi bila kelamaan aku memahami aku perlu belajar asertif.

Apa itu asertif? Asertif adalah dari perkataan Inggeris 'assertive', yang diberi makna dalam kamus English-Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka adalah sebagai"menyatakan, menegaskan atau menuntut". Sementara Webster's Third International Dictionary memberi penerangan "assert" bermakna "to state or affirm positively, assuredly, plainly or strongly”.

Dalam perbincang kaunseling kelakuan asertif ialah "kita melahirkan perasaan dan tindakan kita secara jujur, berterus terang dan ikhlas tanpa mencabuli batas-batas hak orang lain. Dengan ertikata , kita menghurmati diri kita dan dalam masa yang sama kita menghurmati diri orang lain. Kita bertindak dalam sempadan hak kepunyaan kita, kita mengawal diri kita dan tidak membenarkan orang lain mengawal diri kita. Kita tidak campur tangan dalam sempadan hak orang lain.

Ini bermakna, berkelakuan asertif adalah kita yang mengawal hidup diri kita sendiri serta tidak pula mengawal hak mutlak orang lain. Dalam hidup bermasyarakat masalah perhubungan dan konflik tidak dapat dielakkan . Dalam rumahtangga, tempat kerja, dipejabat , disekolah malah ditempat ibadat pun masih wujud masalah perhubungan. Kepelbagaian kelakuan dan perbezaan kelakuan ini tidak seharusnya mempengaruhi kita mengikut jejak orang lain terutama kelakuan pasif dan agresif.

Gangguan emosi boleh wujud dengan segera disebabkan daripada masalah perhubungan. Perhubungan suami isteri boleh bertukar kepada perselisihan, perhubungan persahabatan boleh bertukar kepada permusuhan begitu juga perhubungan ibubapa dengan anak remaja ataupun anak menantu.

Mudah-mudahan dengan bersikap asertif, memperkatakan sesuatu secara berpatutan, bertindak secara menghurmati orang lain, dapat mewujudkan perhubungan yang tulin dan harmoni dikalangan sesama kita. Sekurang-kurangnya kita menyedari bahawa kita adalah hamba Allah yang dijadikan untuk mengabdikan diri kepadaNya, dengan menyedari bahawa kita mempunyai beberapa kekurangan dan hidup dimuka bumi ini sebagai "sharing" atau perkongsian sesama kita.

Untuk menjadi asertif , maka perlunya kita mempunyai kemahiran asertif dan pengetahuan mengenai dengannya untuk membantu kita bersikap asertif.

Adakalanya ramai orang tidak dapat bezakan antara sikap asertif dengan sikap agresif. Agresif adalah lebih kepada menyerang orang lain, tanpa memikirkan dan memperdulikan perasaan orang lain. Yang dipeliharanya adalah emosi kita sendiri, boleh jadi ia berlaku tanpa kita sedari atau lebih kepada sikap mempertahankan diri sebagai "defence mechanism".

Sikap asertif ataupun agresif diukur melalui ciri-cirinya yang terbentuk dari implikasi tingkah laku terhadap diri kita dan orang lain, juga dikur melalui budaya masyarakat setempat dan yang lebih penting adalah mengikut ukuran ajaran Agama.

Agresif menggambarkan kemarahan dan kekecewaan sesaorang dan bertindak bagi melepas perasaan yang beremosi itu terhadap orang lain jika tidak untuk melukai orang lain secara sedar.

Orang yang bersikap asertif mempunyai empat kriteria.

Pertama: Kita bebas menyatakan diri kita, melalui perkataan atau tindakan iaitu seperti "saya rasa, saya fikir atau saya berpendapat.

Kedua: Kita boleh berhubung dengan siapa saja pada setiap peringkat, samada kawan, keluarga, orang asing, orang berpangkat dan sebagainya. Perhubungan itu sentiasa terbuka, jelas, jujur dan berpatutan.

Ketiga: Kita mempunyai haluan yang aktif terhadap hidup kita. Kita tidak menunggu sesuatu berlaku, berubah atau mengharapkan orang lain bertindak untuk kita, sebaliknya kita mencuba, berusaha dan bertindak keatas apa yang kita mahu.

Keempat: Kita bertindak mengikut keupayaan kita, Kita sedar yang kita tidak semestinya sentiasa berjaya serta mendapat apa yang kita mahu. Kita terima had keupayaan kita. Kita sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik. Samada berjaya atau tidak, kita tetap mempunyai harga dan penghormatan diri.

Kelahiran ilmu kaunseling dizaman moden ini adalah suatu ilmu bertujuan membantu atau proses menolong untuk mencari kesejahteraan hidup, yang dicari oleh semua orang yang mana datangnya kesejahteraan itu dari jiwa sesaorang. Sejarah kemasyhuran ilmu kaunseling yang dipopularkan pada zaman awalnya oleh Sigmund Freud dengan mencipta teori psikoanalisanya berasaskan pengalamannya sendiri, kajian keatas pesakit-pesakitnya dan pemerhatianya adalah bagi mencari erti kesejahteraan yang berpunca dari jiwa dan mencari jalan untuk memperolehinya. Begitu juga dengan Carl Rogers diawal tahun 40an dengan teori kemanusiaannya. Teori psikoanalisa Siugmnd Freud adalah berasaskan kepada manusia dipengaruhi oleh alam tidak sedar (unconscious) sementara pula teori kemanusiaan Rogers adalah berasaskan kepada alam sedar (conscious) tetapi diherot-berotkan oleh pengalaman-pengalaman sesaorang, perbezaan ini adalah berdasarkan kepada penemuan oleh mereka.

Sementara teori kaunseling tingkahlaku pula menekankan keyakinan kepada perubahan kelakuan manusia berdasarkan kepada ransangan ataupun gerakbalas. Ransangan yang positif kepada sesaorang membolehkan orang itu memperolehi kesejahteraan. Umpamanya sesaorang yang diberi pujian , imbuhan , penghargaan dan sebagainya membolehkan mengubah tingkah laku sesaorang kerana rangsangan itu memberi kebahagiaan pada jiwanya berdasar teori Pavlov.

Menjadi diri sendiri, sekiranya kita menghadapi kesukaran untuk menyatakan kemahuanatau pendapat kita kepada orang lain, jika sekiranya kita merasa sukar untuk menyatakan tidak boleh , sedangkan itulah sebenarnya yang kita mahu katakan dan jika sekiranya kita merasa begitu sukar untuk berbincang dengan hati yang terbuka dengan anak-anak kita,serta putus asa untuk menasihati mereka hanya disebabkan banyak kali mereka tidak mempedulikan kata-kata kita, atau pun sekiranya kita tidak berani untuk menyatakan hak kita kepada orang lain maka kelakuan kita itu menunjukkan bahawa kita adalah seorang yang tidak asertif. Orang yang tidak asertif selalunya takut, bimbang, tidak puas hati, murung dan tidak dapat berkembang maju sertatingkahlakunya tersekat. Jika sekiranya kita tidak mahu terus berkeadaan seperti itu maka mari kita belajar untuk berubah menjadi seorang yang asertif, sebagai seorang ibubapa yang asertif, sebagai seorang staf yang asertif, sebagai seorang suami atau isteri yang asertif, sebagai seorang anak yang asertif, sebagai seorang pelajar yang asertif dan sebagainya.