Monday 14 December 2009

Stop Car Litter

Semasa perjalanan balik dari Unisel melalui Genting Peras yang menghubungkan Jelebu dengan Hulu Langat,tangan penulis merasa nakal nak buang sampah dekat luar kereta. Tiba-tiba penulis terlihat akan sesuatu lalu terlintas di hati nak baling botol mineral yang sudah kosong yang ada dalam kereta ke arah benda itu.

Tapi hati merasa was-was kerana benda yang penulis nampak itu adalah seperti lembaga berbentuk manusia. Dengan hati yang tidak dapat dikawal oleh pemikiran terus penulis mencampak botol air itu ke arah lembaga.

Dengan lontaran yang padu, botol tersebut mengena lembaga itu dan lembaga itu mengejar penulis seolah-olah benda itu terbang menerkam. Penulis terlupa yang mana kawasan tersebut merupakan kawasan yang agak keras dan kejadian pembunuhan pernah berlaku di mana Arwah Along Spoon pernah dilaporkan dicampak di kawasan berhampiran.

Dengan menekan minyak dengan laju, penulis berusaha untuk lari daripada lembaga itu dan perasaan cuak di hati amat berdebar-debar hanya Allah sahaja yang tahu.Akhir sekali, penulis berjaya melarikan diri daripada lembaga itu dan di dalam hati tidak mahu membuang sesuatu lagi dari dalam kereta.

Kesimpulan, membuang sampah adalah sesuatu yang membahayakan orang lain dan ingat seandainya kita dibaling apa perasaan kita?Jadi renung-renungkan...Tak tahu nak tag sape kali ni huhuhu..


Wednesday 9 December 2009

Cinta dari konsep Islam

Cinta di dalam Islam sebenarnya tiada hubungan romantik atau caring atas alasan jika benar pencinta yang memahami corak Islam lebih ke arah menulis peringatan-peringatan Allah di dalam konteks cara perhubungan walaupun mungkin tidak pernah berdating...malah orang yang bercinta dalam bentuk syariat Islam takut untuk berhubungan secara menulis...kerana was-was dengan keupayaan menahan bentuk luahan hati yang akan menimbulkan *zina hati*. Malah orang yang benar-benar beriman takut untuk berhubungan melalui telefon atau kaedah bercakap yang penuh lemah-lembut dalam bentuk hubungan lain seperti chatting kerana biasanya kekerapan hubungan percakapan lebih ke arah tidak tertapis dan bisa ~menggoda keimanan~ dengan rasa ^rindu^ dengan suara dan gurauan sehingga akhirnya membuat tautan rasa cinta ~asmaradana~ bermula kecuali bagi mereka yang benar-benar tiada masalah hati...itu pun boleh menjadi satu bentuk perhubungan awalan jika tidak disekat.

Semakin kerap berhubung akan menjadikan semakin rapat perhubungan dan akhirnya tanpa mengimbangkan ^kewarasan akal^ dan lebih mementingkan ^perasaan & nafsu^ akhirnya menjerumus kepada fahaman itulah ^chenta^ yang sebenarnya. Kerana atas dasar apa?? >>>rasa rindu yg amat sangatt<<< ...sedangkan hakikat rindu yang sebenar hanyalah satu; rindukan Allah. Orang yang beriman dapat menangkis ketahanan rindu apabila asas cinta benar-benar berlandaskan –->iman<--. Cinta berasaskan Islam ialah cintakan [kebaikan] [keimanan] dan [keutuhan pendirian] kerana ia adalah asas kepada tiang pengukuhan iman di hari depan. Malah cinta di dalam Islam lebih ke arah rasa hormat, malu dengan kewarakan responden kerana itulah cinta hakiki yang tidak boleh dijual beli. Malah malu untuk berkata-kata di sebalik kata-kata yang tidak sepatutnya. Malah, masalah samada sayang ke, samada tak sayang ke...tidak timbul...kerana asas cinta sebenar ialah keupayaan untuk sama-sama menggembleng meningkatkan iman andaikata terbina ikatan yang di akhiri ukhwah Islamiyah di dalam pemantapan jasmani & rohani. Itulah cinta yang sebenar di dalam Islam...bukan seperti sebahagian anak muda yang tidak memahami konteks percintaan hakiki yang yang mana terlalu mudah jatuh cinta dengan hanya sekali pandang, dan juga dengan hanya tautan kata-kata. Sememangnya tidak dinafikan kuasa cinta benar-benar dapat menguasai respondennya. Ada yang berubah sikap dengan rangsangan cinta...contoh ada yang semakin beriman, semakin baik dan semakin terdidik kerana nasihat & peringatan oleh orang yang di cintainya. Tetapi adakah rangsangan itu akan terus berkekalan andaikata :: cinta berpaling arah :: atau tidak menjadi. Inilah yang di bimbangi kerana rangsangn cinta murahan hanya satu yang tidak berkekalan atas asas tujuan untuk memikat hati. Ada yang jadi baik...bercakap yang baik2 di depan orang yang di cintainya...al-maklum le yang di cintai itu seorang yang beriman...tetapi bila bercakap dengan kawan-kawan yang lain mulalah membebel ntah ape ape kerana asas malu tiada.

Sebab itu di dalam konteks perhubungan cinta sesama Islam...jika ingin memulakan ikatan cinta itu...berasaskan cinta yang penuh didikan “iman”... perhati muamalat responden agar tidak tersalah jatuh di dalam ^jerat percintaan^ yang tak patut...sebab ia lebih ke arah mengheret masalah baru...mungkin akan menjatuhkan ke lembah hina.

Bila seorang menyampaikan hasrat cintanya...perhatikan agamanya, kebaikannya dan segalanya sejak dia belum mengenali kita...maksud sifat asalnya dan muamalat asalnya...kerana jika kita mudah membenarkan hati di lalui...ia hanya akan membuka peluang kepada ke arah #ketidakfahaman# konsep cinta berasaskan Islam. Uji mereka dulu dengan corak akhlak dan pergaulan yakni jangan membenarkan diri kita dirapati akan perasaan mereka...agar menimbulkan keraguan dan was-was yang kita tidak menerima cinta mereka.

Ini tidak, anak gadis dan pemuda suka ::melayan & melayan:: dan akhirnya terbuai kata-kata asmara yang terbina sendiri dan menimbulkan kerosakan hati di dalam hati-hati mereka sendiri. Biarlah di katakan diri kita EGO...ego untuk kebaikan yakni menjaga diri untuk mengimbangi antara kewarasan akal dan iman yang akan menjadi benteng dan senjata melumpuhkan pihak lawan...benarkah begitu?? Sebab bagi perempuan mahupun lelaki yang beriman, mempunyai sifat-sifat yang [[[konkrit]]] di dalam pendirian mahupun akhlak...bukankah akhlak yang *cantik* terbina dari didikan hati nurani iman yang cantik...?

Jadi, kata-kata bidalan “berkawan biar beribu bercinta biar satu” tidak begitu tepat di dalam konteks Islam dan patut ditambah +++;bercinta biarlah untuk teman di akhirat yang dihalalkan oleh Islam;+++ bersebabkan faktor-faktor semua ~panahan cinta~ di atas konsep berkawan adalah tidak tepat dan bercanggah di dalam konteks perhubungan di dalam Islam sebab kerana ia hanya boleh menjatuhkan ke arah perhubungan dalam suasana =fitnah=.

Akhir kalam, hanya Jauhari sahaja yang mengenal Manikamnya yakni hanya orang-orang yang beriman akan menghargai dan mengagungi keimanan orang yang patut dicintainya kerana hanya orang yang baik-baik sahaja yang inginkan sesuatu yang baik...di situ sudah menampakkan penilaiannya...di mana jodoh yang baik adalah untuk orang yang baik... dan begitulah sebaliknya. Kerana orang yang tidak baik tidak menyanggupi untuk hidup bersama dengan orang yang baik kecuali dalam dirinya itu adalah mempunyai zat yang baik juga.

Berkata Imam Nawawi:

“Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu,
jika kau hilangkan agama dalam dirimu,
hilanglah cintaku padamu”

sumber: http://mujahidahmardhiah.blogspot.com

Tuesday 8 December 2009

Sejarah Gerakan Anti-Hadis

Oleh: Hasmadi Hamdan, Al al-Bayt University

HADIS ataupun Sunnah ialah segala perkataan, perbuatan atau pengakuan Nabi. Rasulullah ialah penyampai wahyu daripada Allah. Firman Allah: Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada tuhanmu (al-Maidah: 67). Baginda juga merupakan penerang al-Quran. Firman Allah Taala: Dan telah Kami turunkan kepadamu al-Dzikr (peringatan) untuk kau terangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan moga-moga mereka berfikir (al-Nahl: 44).

Kadangkala Rasulullah menerangkan ayat al-Quran melalui perbuatannya dan ada kalanya juga baginda menerangkan menerusi perbuatannya. Dan ada kalanya baginda menerangkan melalui perbuatan dan perkataan sekaligus. Sabda baginda: Solatlah sepertimana kamu melihat aku bersolat dan sabda baginda lagi: Ambillah daripadaku perbuatan-perbuatan haji. Kedua-dua sabda baginda ini merupakan penerangan daripada al-Quran yang diterangkan secara umum. Tidak terdapat satu perbuatan pun yang semata-mata berpunca daripada sabda baginda melainkan perbuatan itu disebutkan oleh al-Quran secara umum. Firman Allah Taala di dalam al-Quran: Dan apa yang didatangkan oleh Rasul kepada kamu, maka ambillah! Dan apa yang ditegahnya, jauhilah! (al-Hasyr: 7). Dan firman-Nya lagi: Katakanlah! Sekiranya kamu menyintai Allah Taala, maka ikutlah aku. Kamu akan dikasihi Allah. Dan Dia akan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun Maha Penyayang. Katakanlah! Taatlah akan Allah dan Rasul. Dan sekiranya kamu berpaling maka sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang kafir (Al Imran: 32).

Para Sahabat juga sepakat mengatakan hadis sebagai hujjah. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang hanya beramal dengan al-Quran sahaja. Dan apa yang pernah diriwayatkan bahawa ada sebahagian daripada mereka yang menolak hadis yang diriwayatkan kepada mereka bukan bermakna mereka menolaknya, tetapi dia tidak yakin dengan kesahan hadis tersebut atau terdapat hadis lain yang baginya lebih kuat.
Dari segi logik akal pula, al-Quran memberitahu kita bahawa Allah telah menurunkan al-Quran kepada Rasul untuk diterangkan pula kepada manusia. Dan penerangan ini juga merupakan wahyu yang wajib dituruti. Seseorang tidak dikatakan sebagai taat sekiranya dia hanya patuh kepada ayat al-Quran dengan tidak berpegang kepada orang yang menerangkannya kerana penerangan sampai bila-bila pun tidak dapat dipisahkan daripada orang yang menerangkannya. Sekiranya dia beramal dengan al-Quran seperti yang diterangkan oleh Rasulullah, maka dia telah taat kepada Allah melalui ayat al-Quran dan taat juga kepada Rasul melalui penerangannya. Sekiranya dia mengabaikan penerangan Rasulullah, maka dia telah berdosa kepada Allah kerana tidak beramal sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah.


Beberapa kumpulan yang cacat daripada orang-orang yang mendakwa Islam telah menolak hadis sebagai sumber perundangan Islam. Mereka berkata: Cukuplah al-Quran. Apa yang Allah haramkan di dalam al-Quran kami haramkannya dan apa yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkannya. Kemudian mereka mengatakan al-Quran telah menerangkan semua tanpa terkecuali sesuatu pun. Firman Allah yang bermaksud: Dan kami tidak alpakan sesuatu pun di dalam kitab (al-An'am: 38). Dan firman Allah lagi bermaksud: Dan telah kami turunkan kepada kamu al-Kitab untuk menerangkan setiap sesuatu (al-Nahl: 89). Mereka juga berkata sunnah merupakan undang-undang yang lain dan tersendiri bertentangan dengan khabar-khabar Allah. Mereka berpendapat apalah gunanya lagi al-Sunnah sekiranya Allah sudah pun menerangkan setiap sesuatu tanpa meninggalkan apa-apa lagi untuk diterangkan oleh Nabi Muhammad.


Sebenarnya jawapan ini sudah pun diketahui oleh mereka sendiri. Tetapi mereka sengaja buat-buat tidak mengerti. Mereka cuba mencari jalan keluar yang lain dengan menterjemah al-Quran mengikut kehendak mereka. Mereka terpaksa lari daripada tafsiran Nabi S.A.W dan sahabat r.a dan mencipta terjemahan yang lain daripada yang lain untuk mencipta kebenaran. Sebenarnya terjemahan mereka lari daripada kaedah Bahasa Arab. Al-Kitab berasal daripada kata terbitan - kataba - kitabatan. Di dalam al-Quran terdapat 318 perkataan yang berasal daripada kata terbitan KATABA. Bagi perkataan al-Kitab sahaja terdapat 230 perkataan manakala 12 perkataan Kitab (tanpa alif lam). Ada juga perkataan al-Kitab ini yang disebut secara kata jamak (Kutubun) sebanyak 3 perkataan. Untuk mengetahui makna-makna ini kita terpaksa merujuk kepada Bahasa Arab kerana al-Quran itu diturunkan di dalam Bahasa Arab.


Jadi terjemahan al-Kitab di dalam surah al-Ana'am: 38 kepada al-Quran bukanlah terjemahan yang sebenar mengikut mafhum Bahasa Arab. Al-Kitab di dalam ayat itu bermaksud Loh Mahfudz, bukanlah al-Quran. Dalilnya ayat yang sebelum itu menyebut yang bermaksud: Dan binatang-binatang yang ada di bumi dan burung yang terbang dengan kedua sayapnya adalah seperti kamu juga. Tiadalah kami alpakan sesuatu pun di dalam al-Kitab. Kemudian mereka akan dikumpulkan kepada Tuhannya. Dan ada sepotong ayat yang lain di dalam surah Hud yang bermaksud: Dan tiada binatang di bumi ini melainkan Allah yang menanggung rezekinya. Dan Dia mengetahui kediaman dan tempat menyimpannya. Semuanya ada di dalam Kitab yang terang (Hud: 6). Sekiranya kita menerima-pakai bahawa al-Kitab di dalam ayat ini bermaksud al-Quran seperti dakwaan mereka, tetapi ayat itu tidak membantu mereka menolak sunnah. Segala hukum yang disebut oleh al-Quran secara sepintas lalu, tidak mungkin dapat dilaksanakan jika tidak didapati perinciannya di dalam sunnah. Mengabaikan sunnah samalah seperti mengabaikan hukum-hukum yang disebut secara ringkas seperti firman Allah: Dan dirikanlah solat serta tunaikanlah zakat (al-Baqarah: 43). Tanpa ada penerangan daripada sunnah, kita tidak dapat menunaikan solat dan mengeluarkan zakat. Apabila tidak menunaikan solat dan mengeluarkan zakat kerana tidak ada perincian di dalam al-Quran, bermakna kita telah mengabaikan suruhan Allah tersebut.


Catatan pertama tentang penolakan sunnah pernah dituliskan oleh Imam Syafei (150H-204H) di dalam bukunya al-Umm. Menurut catatan tersebut, beliau telah berdebat dengan seorang anti-hadis. Tetapi tidak pula disebutkan siapa orang itu. Beliau hanya menyebutkan orang itu sebagai musuh (al-Khasm).

Kata al-Syafei: Seorang daripada intelektual telah berkata kepadaku: Anda ialah seorang Arab. Al-Quran diturunkan menurut bahasa anda. Tentulah anda lebih memahaminya. Di dalamnya terdapat hukum-hukum yang berupa fardhu. Sekiranya seseorang merasa syak di dalam satu huruf di dalam al-Quran, dia diminta bertaubat. Sekiranya dia tidak bertaubat, anda membunuhnya sedangkan Allah berfirman yang bermaksud: Dan telah kami turunkan kepada kamu al-Kitab untuk menerangkan setiap sesuatu (al-Nahl: 89). Jadi bagaimanakah anda dapat menentukan di mana tempat am dan ada kalanya pula anda mengatakan fardhu itu sebagai khas? Bagaimana anda dapat membezakan pula yang mana satu perintah yang wajib dan ada ketika yang lain pula anda mengatakan sebagai sunat atau harus. Pemisahan ini anda lakukan bedasarkan pula kepada satu riwayat, dua riwayat sehinggalah sampai kepada Rasulullah S.A.W. dan tidak aku dapati ada di kalangan mereka yang tersilap dan lupa pula di dalam riwayatnya. Bahkan aku mendapati anda juga pernah berkata kepada beberapa perawi: Si polan ini telah tersilap di dalam hadis sekian. Dan aku mendapati juga bahawa anda pernah berkata: Sekiranya seorang lelaki meriwayatkan hadis yang mengharamkan dan menghalalkan untuk kamu, anda mebuat kesimpulan bahawa hadis itu mengkhaskan umum al-Quran. Sedangkan Rasulullah tidak pernah berkata demikian. Jadi anda telah tersilap besar. Anda meletakkan perkataan-perkataan dusta daripada perawi-perawi ini sama mertabatnya dengan al-Quran?


Di dalam perdebatan tersebut, mereka memperkatakan tentang firman Allah yang bermaksud: Dialah yang yang telah mengutuskan kepada kaum yang ummi seorang Rasul di antara mereka , untuk membaca keterangan-keterangan Tuhan, membersihkan mereka dan mengajar kepada mereka al-Kitab dan al-Hikmah, sedangkan mereka seberada di dalam kesesatan yang nyata.

Kata musuh itu: Aku tahu bahawa al-Kitab itu ialah al-Quran. Apa pula al-Hikmah?


(Imam) berkata: Sunnah Rasulullah S.A.W.

Kata musuh itu: Mungkin al-Hikmah itu al-Quran. Jadi ayat itu bermaksud: Dia mengajar al-Kitab secara amnya dan mengajar hukum-hukum secara khasnya pula.

Jawab Imam Syafei: Sekiranya engkau berkata begitu, jadi ayat ini bermaksud: Dia mengajar hukum-hukum al-Quran yang disebut secara am seperti solat, zakat, haji dan lain-lain. Ini bermaksud Allah menentukan sesuatu hukum di dalam kitab-Nya. Kemudian Dia menerangkan hukum-hukum ini menerusi lidah Rasulnya.

Kata musuh itu: Boleh jadi juga.

Kata Imam al-Syafei: Sekiranya anda berpegang dengan pendapat yang kedua (al-Hikmah bererti perincian terhadap makna al-Quran), kamu tidak akan menjumpai hukum-hukum ini melainkan dengan hadis Rasulullah.

Kata musuh itu: Kalau sekiranya aku berkata pula, al-Kitab dan al-Hikmah ini termasuk di dalam jenis pengulangan perkataan?

Jawab Imam Syafei: Yang manakah lebih baik? Membawa satu makna di dalam dua perkataan ataupun masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza?

Kata musuh itu: Barangkali juga seperti apa yang kau katakan. Al-Kitab ialah al-Quran dan al-Hikmah pula ialah sunnah. Dan keberangkalian lain juga akan berlaku: al-Kitab ialah al-Hikmah itu sendiri.

Imam Syafei berkata: Tetapi yang paling jelas maknanya ialah yang pertama. Hal ini demikian kerana ada bukti-bukti yang membenarkannya daripada al-Quran.

Kata musuh itu: Di mana?

Kata Imam al-Syafei: Firman Allah yang bermaksud: Dan bacalah di rumah-rumah kamu daripada ayat-ayat Allah dan al-Hikmah (al-Ahzab: 34). Di dalam ayat ini Allah memberitahu bahawa terdapat dua jenis bacaan yang terdapat di rumah.

Musuh itu berkata: al-Quran memang boleh dibaca. Tetapi bagaimana pula untuk membaca al-Hikmah?

Imam Syafei berkata: Jadi makna membaca ialah membaca sunnah seperti membaca al-Quran.

Jawab musuh itu pula: Oleh itu, maksud al-Hikmah lebih mirip kepada apa yang kamu maksudkan.


Pada zaman ini, terdapat juga intelek-intelek yang mengaku sebagai Islam mempopularkan kembali ide-ide ini. Di antaranya rencana yang ditulis oleh Doktor Tawfiq Sidqi yang bertajuk "Islam ialah al-Quran Sahaja". Rencana ini disiarkan di dalam majalah al-Manar bilangan 7 dan 12. Kita dapat simpulkan isi-isinya seperti berikut:

Pertama: Dia mengambil dalil daripada firman Allah yang bermaksud: Dan kami tidak alpakan sesuatu pun di dalam al-Kitab (al-An'am: 38). Katanya ayat ini bermaksud al-Quran telah pun mengandungi semua hukum. Jadi al-Quran tidak perlu kepada benda lain untuk menerangkannya seperti al-Sunnah.

Kedua: Dia juga telah mengambil dalil daripada al-Quran yang bermaksud: Kami telahpun menurunkan al-Dzikr dan Kami jugalah yang akan menjaganya (al-Hajr: 9). Dia mengatakan Allah hanya memerintahkan supaya menjaga al-Quran sahaja tanpa sunnah. Sekiranya sunnah juga merupakan dalil dan boleh dijadikan hujjah seperti al-Quran, tentulah Allah akan memerintahkan untuk memeliharanya juga.

Ketiga: Sunnah hanya dituliskan pada zaman terkemudian selepas berlakunya kesilapan dan ada setengah-setengahnya sudah pun dilupai. Penyelewengan dan pengubahan mudah sahaja berlaku di dalam hadis. Oleh itu, perkara yang syak sebegini tidak sesuai dijadikan sumber hukum sayarak (sila rujuk dakwaan yang serupa di dalam buku Muhammedanische Studien oleh Ignaz Golgziher).

Keempat: Katanya lagi, Nabi juga pernah mengatakan sunnah tidak boleh diterima sebagai sumber hukum. Sabda baginda yang bermaksud: Sesungguhnya hadis akan tersebar daripadaku. Apa yang datang kepada kamu yang bertepatan dengan al-Quran, maka ia adalah daripadaku. Dan sekiranya ia bertentangan dengan al-Quran, maka ia bukanlah daripadaku.


Doktor Mustaffa al-Sibai’ ketika menjawab dakwaan-dakwaan ini mengatakan:

Pertama: al-Quran mengandungi dasar-dasar hukum secara am. Sebahagian hukum dijelaskan secara terang. Sementara itu sebahagian lagi ditinggalkan kepada Rasululah S.A.W untuk menerangkannya. Allah Taala mengutuskan Rasul kepada manusia untuk menerangkan hukum agama meraka. Justeru, Allah mewajibkan kepada manusia mengikut apa yang dihuraikan oleh Rasulullah.

Kedua: Penjagaan terhadap al-Dzikr sebenarnya tidak terhad kepada al-Quran semata-mata. Tetapi ia bermaksud hukum-hukum agama ataupun hukum syarak yang telah diutuskan kepada Rasulnya. Justeru al-Dzikr lebih umum daripada al-Quran dan Sunnah. Dalilnya ialah firman Allah yang bermaksud: Bertanyalah kepada ahl al-Dzikr sekiranya kamu tidak mengerti (al-Nahl: 43). Sekarang jelas bahawa ahl al-Dzikr bermaksud orang yang mempunyai ilmu di dalam syariat dan hukum-hukum islam. Tidak syak lagi bahawa Allah memelihara al-Sunnah sepertimana Dia memelihara al-Quran.

Ketiga: Kebanyakan mereka tidak pernah cuba menyelidiki usaha-usaha ulama Islam mengekang penyelewengan dan pemalsuan hadis. Apabila sunnah dibawa dari satu generasi ke satu generasi, ia dibawa dengan susunan riwayat yang berturutan daripada zaman sahabat sehingga akhir kurun pertama. Jadi tidak ada ruang untuk kita mengesyaki ketidak-sahihan hadis tersebut kerana para perawi ini diletakkan beberapa syarat yang ketat (Lihat A. Sprenger, Ueber das Traditionswesen bei den Araben).

Keempat: Hadis yang disebutkan di dalam dakwaan Dr. Sidqi ialah daripada Khalid bin Abu Karimah daripada Abu Jaafar daripada Rasulullah S.A.W. Khalid ialah seorang yang tidak dikenali manakala Abu Jaafar bukanlah seorang sahabat Rasulullah. Jadi, hadis ini tidak boleh diterima sebagai dalil untuk dijadikan hujah.

Daripada nukleus dan sel-sel inilah bermulanya gerakan anti-hadis di dalam masyarakat Islam di Timur dan Barat. Gerakan ini bukanlah baru kerana dakwaan-dakwaan serupa itu telah pun wujud lebih 1300 tahun yang lampau. Sekiranya kita perhatikan hujah-hujah golongan anti-hadis pada masa kini, kita tidak mendapati suatu hujah baru pun meski pun mereka mendakwa diri mereka sebagai The Thinkers ataupun yang sering digelar sebagai intelektual. Ini tidaklah menghairankan kerana Imam al-Syafei sendiri pun mengatakan mereka sebagai intelektual. Hujah-hujah mereka pun sudah dipatah-riukkan oleh ulama-ulama Islam. Malangnya buku-buku ini jarang didapati oleh kebanyakan orang. Buku-buku ini ditulis di dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris dan sukar untuk dibaca oleh orang-orang yang tidak menguasai kedua-dua bahasa ini.

Di antara pelopor-pelopor golongan ini yang terkenal kurun ini ialah Rashad Khalifa, Ismail Adham, Kassim Ahmad dan Othman Ali. Untuk menguatkan lagi pendapat mereka bahawa hadis tidak perlu di dalam syariat Islam, mereka mengambil pula hujah-hujah dari kalangan orientalis yang terdiri daripada Ignaz Goldziher di dalam bukunya Muhammedanische Studien dan Joseph Schact di dalam bukunya An Introduction To Islamic Law.

Bagi dakwaan Ignaz Goldziher di dalam Muhammedanische Studien, perlu diingatkan bahawa buku tersebut ditulis pada tahun 1890. Selepas itu, banyak manuskrip tentang hadis telah dicetak dan diterbitkan. Jadi perlulah ada ulang-kaji semula terhadap buku yang dikarang oleh Ignaz Goldziher tersebut dengan meneliti manuskrip yang telah disemak dan diterbitkan. Manakala dakwaan-dakwaan Schact pula telahpun dijawab oleh Muhammad Mustafa Azami di dalam bukunya Studies In Early Hadith Literature.

Justeru, golongan ini hanyalah memutarkan ide-ide lama. Dengan adanya internet, mereka cuba meneroka jalan-jalan baru untuk meramaikan pengikut mereka. Mereka menjangkakan dapat menarik perhatian orang-orang yang sering merantau di dalam internet ini. Sebenarnya kami yakin terhadap para pengguna internet ini. Masing-masing mempunyai akal untuk berfikir dan sanggup pula berbincang untuk menerima kebenaran. Dan tentulah mereka tidak akan mengikut sesuatu tanpa ada dalil dan hujah yang munasabah.

Buku-buku rujukan yang boleh anda rujuk ialah:
1. Ajjaj al-Khatib, al-Sunnah Qabla al-Tadwin.
2. Ignaz Goldziher, Muhammedanische Studien.
3. Joseph Schact, An Introduction To Islamic Law.
4. Mustaffa al-Sibai, al-Sunnah wa Makanatuha fi Tasyri' al-Islami.
5. Muhammad Mustaffa Azami , Studies In Early Hadith Literature.

Monday 7 December 2009

Cinta Itu Buta

Cinta adalah makhluk tidak bernyawa. Ia tidak berjisim, tidak berjirim, tidak punya rupa dan fizika. Tetapi ia ajaib dan berkuasa. Ia menjalar dalam jiwa dan menggetarkan rasa. Siapakah sang ajaib Penciptanya?

Cinta adalah biasan dari Penciptanya yang Maha Pencinta. Ia dibiaskan kepada segala ciptaan-Nya supaya mereka dapat hidup dalam cinta, kasih dan mesra, serta aman bahagia.

Cinta adalah fitrah dan cinta adalah suci. Cuma, kerana hawa nafsu buas, cinta disalahgunai. Cinta suci telah dicemarkan oleh manusia yang tamak, tidak sabar, gelojoh, rendah akal dan terpengaruh oleh hasutan dan desakan keji syaitan.

Masa remaja adalah masa cinta berbunga. Pantas sekali remaja bercinta, mencari cinta dan mahu dicintai. Cinta remaja kini sudah menjadi fenomena. Di merata-rata didapati remaja bercinta, malah tenggelam dan hanyut dalamnya, lalu mati, terkorban, korban cinta yang ngeri dan menjijik serta bangkainya membusukkan.

Berbicara soal cinta remaja adalah berbicara soal hubungan dan pergaualan remaja lelaki dan perempuan. Yang dimaksudkan dengan cinta remaja dalam tulisan ini hanyalah cinta remaja yang bathil, yang salah, yang terlarang, dan yang haram, dan bukan cinta remaja yang suci. Yang dimaksudkan dengan cinta remaja dalam tulisan ini ialah cinta remaja sebelum mereka bernikah, iaitu mereka bercinta dengan lelaki bukan hak halal mereka ie bukan suami mereka.

Senarai beberapa panduan dalam manual kehidupan seorang bernama Muslim:

1. Hubungan Lelaki dan Wanita atas Keperluan

Umum mengetahui bahawa sistem kehidupan manusia yang paling sempurna dan agung ie Islam membataskan hubungan antara lelaki dan wanita dengan hikmah tertentu yang Allah lebih mengetahui sebagai Pencipta kedua-dua jantina itu. Dari pemisahan tempat solat dan susunan sofnya sudah ternyata hakikat pemisahan antara lelaki dan wanita. Komunikasi antara dua jantina ini bagaimanapun diizinkan dalam hal-hal keperluan seperti urusan muamalat harian, tetapi tidak dalam hal-hal kehendak yang banyak didorong oleh hawa nafsu seperti kehendak berhibur dan berseronok lelaki dengan wanita luar nikah. Kehendak seperti itu adalah berlandaskan hasutan syaitan dan desakan hawa nafsu semata yang mengindahkan dunia sementara tapi mengazabkan akhirat hidup yang selama.

Cinta remaja adalah perlakuan yang terkategori dalam kehendak yang berlandas hawa nafsu. Maka ia adalah perhubungan yang tidak terizin, dengan kata laras hukum; haram.

2. Khalwat Fizikal dan Khalwat Hati adalah haram

Rasulullah s.a.w bersabda "Setiap kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita, syaitan akan menjadi orang ketiga."

Sudah termaklum dalam masyarakat Muslim bahawa khalwat adalah haram. Umumnya, orang memahami bahawa khalwat terjadi hanya setelah seorang lelaki dan seorang wanita bersama-sama bersendirian, terutama di tempat tiada orang lain. Khalwat itu bahaya dan haram. Persoalannya, apakah tidak berkhalwat, tidak bahaya dan tidak haram jika ada tiga orang atau lebih terdiri daripada lelaki dan wanita, di suatu tempat yang di sana mereka tidak ada perasaan malu lagi untuk berbuat maksiat, seperti di pusat-pusat hiburan dan arak? Persoalan lain, apakah tidak berkhalwat, tidak bahaya dan tidak haram dua orang dari lelaki dan wanita bersama-sama di khalayak ramai, sedang hati kedua-duanya tertaut rapat oleh hawa nafsu dan perlakuan kedua-duanya adalah perlakuan seperti orang berkhalwat, yang tidak rasa malu kepada sesiapa di sekeliling, bahkan tidak rasa malu kepada Yang Maha Melihat? Persoalan lain lagi ialah apakah tidak termasuk khalwat dua orang lelaki dan wanita yang terjalin dengan hubungan hati berlandas maksiat dalam perbualan secara langsung mahupun melalui telefon dan alat komunikasi lain?

Ternyata kondisi-kondisi tersenarai di atas adalah maksiat semata dan terkategori khalwat juga, kerana khalwat itu bukan pada fizikal sahaja, tetapi juga pada hati, malah khalwat hati itu lebih terdahulu bermula kerana setiap perbuatan dan perkataan adalah hasil dari ilham hati. Khalwat jasadi (badan) hadir setelah khalwat qalbi (hati).

Dalam soal cinta remaja, khalwat secara fizikal di tempat tiada orang lain berkemungkinan terjadi, bahkan memang sejarah membuktikan ia pasti terjadi, yang menentukan hanya asri (masa), lambat atau cepat. Lebih mudah terjadi dari khalwat jasadi ialah khalwat hati yang berlangsung secara terbuka atau tertutup. Dalam situasi terbuka umpama pertemuan lelaki dan wanita di khalayak umum, jasad keduanya tidak berkhalwat, tetapi hati keduanya bias saja berkhalwat melalui tautan nafsu yang melahirkan kata-kata lunak manja wanita dan pandangan serta jelingan mata panah syaitan. Disebabkan khalwat hati, remaja bercinta hilang perasaan malu kepada orang lain dan kepada Rabb mereka, sekalipun di tempat umum dan di khalayak ramai, mereka melakukan apa saja maksiat yang memenuhi citarasa hawa nafsu. Tambahan lagi masyarakat individualistic hari ini sudah tidak peduli maksiat berlangsung hebat depan mata mereka asal kamu nikmat dan aku tidak terganggu bahkan dapat mengongsi sama nikmat maksiatmu. Astaghfirullah. Na'uzubillah. Khalwat hati bisa saja terjadi sepanjang perhubungan langsung muka ke muka mahupun melalui media; telefon, pesanan tek, surat, emel dan sebagainya. Jelas bahawa cinta remaja adalah terlarang kerana khalwat fizikal dan hati yang mengisi cinta remaja itu adalah haram.

3. Bertentang Mata adalah Panahan Beracun Iblis

"Pandangan itu adalah panahan beracun Iblis. Siapa yang meninggalkannya kerana takutkan Aku nescaya akan Aku gantikan ia dengan iman dan dia akan memperoleh kemanisan dalam hatinya." (hadis riwayat at Tabrani dan al Hakim)

Tentu sekali tidak ada antara kita yang mahu terkena panahan, apalagi panahan beracun. Inikan pula panahan beracun yang bukan sebarangan, tapi panahan beracun dari musuh kita, Iblis dan syaitan yang dilaknat Allah. Terkena panahan saja, kita tidak mahu kerana ia menyakitkan. Semua orang dapat mengagak kesakitan dari terkena panahan. Bertentang mata antara lelaki dan wanita sebenarnya menyakitkan kerana ia adalah dosa dan dosa pasti menyakitkan di neraka nanti, walaupun tidak sekarang menyakitkan tetapi akan menyakitkan di hari kemudian; akhirat. Hanya pada fizikalnya pertentangan mata lelaki wanita itu tidak menyakitkan, malah menikmatkan kerana ia berempahkan nafsu, padahal hakikatnya amat menyakitkan.

Panahan kosong saja sudah sangat menyakitkan, apa lagi panahan beracun. Semua orang tahu racun kesannya bukan sedikit, malah boleh bertindak cepat dan menyebar ke seluruh badan, hingga ia mengalir dalam darah dan meracuni seluruh urat, saraf, otot dan anggota . Bertentang mata lelaki wanita itu panahan beracun. Maka amat senang sekali dimengertikan kita bahawa ia akan segera menusuk masuk dalam darah, dan berlari, menyebar ke seluruh badan dengan pantas serta menyerang bahagian-bahagian badan lain. Sebab itu, sekali saja bertentang mata lelaki perempuan, hati dengan pantas terus bergetar, bergegar dengan niat dan bayangan yang jahat, dan seluruh anggota pun bangkit bersemangat untuk bertindak, padahal tindakan itu adalah maksiat. Demikianlah kuasa tindak sepantas kilat yang bisa tergenerate dari sekilas pertentangan mata dua jantina.

Apatah lagi panahan beracun ini bukan milik pemanah sebarangan, tapi si pemanah musuh kita yang jelas lagi nyata. Dan dia musuh yang berkuasa. Mesti dan sedapat-dapatnya kita mengelak panahan beracun ini.

Menyentuh cinta remaja, seolah-olah terbayang remaja lelaki dan perempuan bergelimpangan, mati merana dan merata di jalanan kerana terkena panahan beracun Iblis dan syaitan. Bagaimana mereka bisa mengelak dari terkena panahan itu kalau mereka sendiri yang pergi mencari-cari dan menghadapkan diri dan mata mereka pada panahan itu. Amat sukar dan ironis untuk difahami, mereka itu pergi menghadapkan diri di depan panahan beracun syaitan secara berdepan-depan, seolah–olah menyerah diri dan lagi mereka mengambil jarak yang amat dekat, sehingga kuasa panahan yang mengena itu amat kuat.

Memang telah terang lagi nyata, panahan beracun Iblis itu bahaya dan setiap yang bahaya tidak boleh diambil, dilarang mengambilnya apatah lagi bermain-main dan berseronok dengannya. Pertentangan mata lelaki wanita itu bahaya, maka dilarang bahkan haram melayani, bermain-main dan berseronok dengannya. Pendeknya, cinta remaja yang sudah semestinya terbina dari pertentangan-pertentangan mata lelaki dan wanita itu adalah bahaya, maksiat, dosa dan haram.

4. Suara Lunak Lemak Manja Wanita adalah Aurat

Surat al Ahzab ayat 32: "Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik" . Yang dimaksud dengan tunduk di sini ialah bukanlah tunduk pandangan semasa berbicara, tetapi tunduk di sini bermakna melembutlunakmanjakan suara semasa wanita berbicara dengan lelaki sehingga bias menimbulkan keberahian lelaki itu untuk bertindak tidak baik terhadap mereka. Contoh sikap demikian ialah bertutur secara lunak, lemah gemalai, manja, dan menggoda hawa nafsu lelaki. Yang dimaksud dengan dalam hati mereka ada penyakit ialah orang yang mempunyai niat berbuat serong dengan wanita, seperti melakukan zina atau pembukaan kepadanya.

Nah! Isteri-isteri Nabi yang merupakan para wanita yang paling mulia dan merupakan ibu kepada kaum mukminin itu pun diberi panduan, amaran dan peringatan agar tidak melunakkan suara apabila berbicara dengan lelaki. Para isteri Nabi yang suci pun diberikan peringatan keras, apatah lagi kaum mukminat seluruhnya. Kaum lelaki dalam kuatnya secara jasadi sebenarnya lemah terhadap tarikan wanita. Ternyata percakapan wanita yang lunak, manja, dan menggoda kepada lelaki yang bukan merupakan suaminya adalah maksiat yang jelas dan tentunya haram. Sedang dalam cinta remaja itu, lagak pergaulan, percakapan dan komunikasi antara kedua-dua orang dari pasangan remaja itu tidak banyak bezanya dengan lagak pergaulan seorang suami isteri yang semestinya berkasih-kasihan dan manja kepada pasangannya semasa perhubungan dan perbualannya. Mereka bertutur dengan kata-kata manja dan nada menggoda. Perlakuan sedemikian padahal tidak layak sama sekali bagi pasangan bukan suami isteri, bahkan haram. Demikian sebabnya, cinta remaja yang memang mengandung perlakuan tidak halal ini adalah terlarang, malah haram.

5. Bersentuhan antara lelaki dan wanita

Bersentuhan antara lelaki dan wanita menurut syariat (undang-undang) Islam adalah haram. Bersentuhan saja sudah haram, apatah lagi perlakuan yang lebih dari itu. Rasulullah s.a.w bersabda: "Jika kepala kamu ditikam dengan besi, itu lebih baik daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal untuk kamu." (hadis riwayat at Tabrani dan al Baihaqi). Kepala ditikam dengan besi itu bukan hal yang baik, malah terlalu pedih azabnya. Tapi, ini dikatakan lagi bahawa hal yang terlalu pedih azabnya itu (kepala ditikam dengan besi) lebih baik daripada lelaki menyentuh wanita yang tidak halal untuk disentuhnya. Ini sudah bermakna, lelaki menyentuh wanita yang tidak halal untuk disentuh itu terlalu jauh lebih teruk dan buruk dari teruk dan pedihnya kepala ditikam dengan besi. Kami berlindung dengan Allah dari hal itu. Buruk dan teruknya lelaki menyentuh wanita yang tidak halal untuk disentuhnya itu adalah dari aspek moralnya dan juga dari aspek hukumannya yang tersangat dahsyat di hari perhitungan kelak.

Dalam kasus cinta remaja, kalau sudah wujud pertemuan jasadi (ie dating) malah pertemuan qalbi (hati) itu, pastilah berlaku kedekatan secara jasad (ie fizikal lelaki dan wanita berada dalam jarak yang dekat, "close proximity "wink. Padahal lelaki dan wanita itu ibarat dua magnet berbeza kutub, pastilah saling tarik menarik apabila berdekatan. Semakin dekat kedudukan, semakin kuat tarikannya. Tarikan itu akhirnya berakhir dengan sentuhan antara keduanya, malah bukan sekadar tersentuh, bahkan terikat rapat, erat dan ketat. Itu sudah hukum logik ciptaan Pencipta lelaki, wanita dan magnet. Begitulah juga lelaki dan wanita, tarikan antara keduanya tidak ubah seperti tarikan dua magnet. Maka memang berlaku kemungkinan, malah bukan setakat mungkin, realiti yang lepas sudah membuktikan bahawa berlaku persentuhan antara jasad lelaki dan wanita dalam cinta remaja, malah banyak kasus yang melebihinya hingga berlaku perihal yang tidak diminta. Bencana dan dosa zina.

Disebabkan cinta remaja itu mengandungi komponen haram, ie bersentuhan antara lelaki dan wanita, maka cinta remaja itu sendiri adalah haram. Itulah hakikat yang terpaksa diterima sebagai seorang Islam, sesuai dengan makna Muslim iaitu tunduk dan patuh pada Allah, seluruhnya dan sebulat-bulatnya secara total, tanpa argumen.

6. Perkara yang mendekatkan kepada zina

Sudah jelas dalam syariat Islam bahawa zina itu haram. Telah jelas juga termaktub dalam Perlembagaan Tertinggi bagi orang Islam iaitu al Quran bahawa perkara yang mendekatkan kepada zina juga adalah haram. Surat al Israk ayat 32 menjelaskan "Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk." Pernyataan 'jangan' dengan jelas menunjukkan bahawa perbuatan mendekatkan kepada zina adalah haram. Cuma, masyarakat Islam yang belum jelas hakikat ini. Kalau pun sudah jelas, sengaja berpura-pura tidak tahu seolah-olah ayat ini tidak pernah exist dalam al Quran yang mereka baca secara lisan. Padahal kepura-puraan mereka itu hanyalah menipu diri sendiri kerana hendak menurut, memuja, mengagung dan memuaskan nafsu yang memang suka kepada perbuatan terlarang mendekatkan diri kepada zina.

Lagi dalam hal cinta remaja, perkara yang mendekatkan kepada zina memang jelas wujud. Berkedudukan lelaki dan perempuan dalam jarak dekat, baik secara terlindung (khalwat) atau pun secara jelas di khalayak (ie dating di tempat awam atau rumah makan), persentuhan lelaki perempuan, bahkan yang lebih dari itu, pertentangan pandangan mata, pandangan mata kepada berlainan jenis secara bernafsu, perbualan lelaki perempuan yang intim, mesra, manja, lunak, menggoda dan bernafsu, pembukaan dan pendedahan aurat terutama di pihak wanita, semuanya adalah perkara-perkara yang membuka pintu, mendorong, menggalakkan, memudahkan, meransang, membawa dan mendekatkan kepada zina. Hal-hal ini wujud dalam cinta remaja, maka cinta remaja itu sendiri adalah pembuka pintu, pendorong, penggalak, pemudah, peransang, pembawa dan pendekat kepada zina.

Maka sekali lagi jelas, bahawa perkara yang mendekatkan kepada zina itu haram dan kerana cinta remaja itu mendekatkan kepada zina, maka cinta remaja adalah haram.

Jadi, apa jalan yang halal?

Pertanyaan ini pasti berlegar di pemikiran para remaja yang di zaman emas cinta ini amat membutuhkan untuk mencintai dan dicintai, kerana itu memang sudah fitrah ciptaan Ilahi. Sesungguhnya cinta itu suci. Surat an Nur ayat 32 menjawab pertanyaan di atas: " Dan kahwinkanlah orang-orang yang sedirian antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." Memang ternyata perkahwinan adalah penyelesai masalah, kerana sesudahnya semua yang haram sebelumnya menjadi halal. Wah, indahnya!

Tetapi realitinya, banyak remaja belum siap untuk kahwin. Bahkan, dalam konsepsi yang salah, mereka seperti memandang kahwin itu penghalang keseronokan, pengakhir zaman keemasan dan pelbagai fahaman yang silap, kerana mereka tidak mengerti bahawa kahwin itulah justeru pembangkit keseronokan hidup, kebahagiaan, ketenangan dan pemula zaman emas dalam hidup dan cinta. Lantas, bagaimana bagi mereka yang belum sedia untuk kahwin atau belum mampu, padahal keinginannya sentiasa mahu.

Islam sebagai sistem yang lengkap dan penyelesai masalah, bukan penyebab masalah, tetap saja mempunyai penyelesaian untuk problematika itu. Surat an Nur, ayat 33 menjawab; "Dan orang-orang yang tidak mampu kahwin hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, sehingga Allah memampukan mereka dengan karunia-Nya. Dan hamba sahaya yang kamu miliki yang memginginkan perjanjian, hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, jika kamu mengetahui ada kebaikan pada mereka, dan berikanlah kepada mereka sebahagian dari harta Allah yang dikaruniakan-Nya kepadamu. Dan janganlah kamu paksa hamba-hamba wanitamu untuk melakukan pelacuran, sedang mereka sendiri mengingini kesucian, karena kamu hendak mencari keuntungan duniawi. Dan barangsiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (kepada mereka) sesudah mereka dipaksa itu."

"Dan orang-orang yang tidak mampu kahwin hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, sehingga Allah memampukan mereka dengan karunia-Nya. …". Banyak sarana yang boleh dipraktis dalam usaha menjaga kesucian diri. Antaranya ialah amalan mulia menjaga pandangan mata bagi lelaki dan wanita serta amalan berpuasa.

Menjaga Pandangan Mata

Surat an Nur ayat 30: "Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." Surat an Nur ayat 31 pula: "Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung."

Ternyata, untuk menjaga kesucian diri, bagi seluruh kaum muslimin dan muslimat, terutama yang belum berkahwin, salah satu sarana yang wajib diamalkan ialah menjaga pandangan mata, jangan sampai bertentang mata antara lain jantina atau memandang lain jantina dengan nafsu al hawa atau juga memandang perilaku maksiat. Mata sesungguhnya sangat besar peranannya dalam menghindar maksiat dan menjaga kesucian diri, kerana mata adalah deria yang menerima input. Sedang input adalah modal yang akan diproses oleh hati dan menghasilkan output ie tindak laku manusia. Inputlah yang menjadi pencadang output. Baik input, maka insyaAllah baiklah output, sedang buruknya input menghasilkan output yang buruk. Maka sebab itulah amat penting untuk menjaga pandangan mata dan mengawalnya agar tidak terterima atau sengaja menerima input yang negatif yang bakal menghasilkan output perilaku yang negatif dan berdosa pula.



Menutup Aurat dan Menyembunyikan Perhiasan Wanita

Ayat 31 surat an Nur juga memberi panduan khususnya untuk wanita, dalam upaya memelihara kesucian diri: "... janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. ..." Perhiasan pada diri wanita itu terbahagi dua; perhiasan internal dan perhiasan eksternal. Badan wanita itu sendiri adalah perhiasan dan merupakan perhiasan internal. Sedang segala perhiasan yang dipakaikan kepada wanita itu dari pakaian, barangan kemas, bau-bauan, warna-warnaan dan lain-lain adalah perhiasan eksternal. Maka, wanita sewajibnya tidak menampakkan perhiasan internal dan eksternal mereka. Aurat wanita adalah sebahagian dari perhiasan internal. Maka aurat hendaklah ditidaknampakkan atau disembunyikan dari pandangan lelaki baik dari segi permukaan aurat itu, warnanya, malah bentuknya ie bentuk anggota badan terutama yang sensitif pada pandangan lelaki. Pernyataan "... kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. ..." dalam ayat 32 surat an Nur itu merujuk perkara yang pada waktu kebiasaannya memang tampak, seperti luaran pakaian, muka dan tangan. Tapi itu tidak bermakna wanita boleh berpakaian, atau menghias muka dan tangan sampai boleh menarik perhatian lelaki seperti memakai pakaian yang ketat atau sendat ke bentuk badan, nipis hingga menampakkan dalaman badan atau berwarna terang ranggi yang menarik perhatian, atau memakai bau-bauan semata menarik perhatian, umpama warna dan bau bunga menarik kumbang. Muka dan tangan pun tidak sepantasnya dihias sehingga menarik perhatian lelaki bukan suami. Sedang larangan inilah yang menjadi budaya wanita moderat hari ini. Inilah cabaran dan ujian buat Muslim agar mereka layak diganjari syurga di mana Muslimat akan menjadi bidadari dan Muslimin akan bercinta dengan mereka
Dengan seindah-indah cinta syurga yang tidak pernah wujud dalam cinta hawa nafsu manusia dunia yang hina.

Diberikan lagi panduan dalam ayat 31 surat an Nur manual bagaimana wanita hendak memelihara kesucian diri "... Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan."

Diberikan panduan secara jelas, terang lagi bersuluh agar wanita menutup perhiasannya dengan lebih kemas pada bahagian tertentu dari perhiasan itu. " ... Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, …". Memang dapat difahami bahawa ia perlu ditutup dan tidak dibuka, perlu ditidaknampakkan bentuknya, serta penutupan itu bersifat menyeluruh bukannya parsial, iaitu meliputi seluruh anggota dan bukan separuh-separuh saja atau sekadar ambil-ambil nama tutup. Yang ditutup itu adalah perhiasan, maka selayaknya ia ditutup secara total supaya sedikitpun tidak terkena kotor. Ada yang mempersoal, kalau ia ádalah perhiasan kenapa ia mesti ditutup sedangkan perhiasan adalah untuk ditayang dan diperagakan. Ya, memang ia untuk ditayang dan diperagakan, tapi ia bukan perhiasan sebarangan yang boleh ditayang kepada sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa, tetapi dia ádalah perhiasan yang tersangat mahal, mulia dan istimewa dan layak ditayang pada masa-masa tertentu di tempat-tempat tertentu kepada orang yang istimewa dan berhak sahaja ie suami tercinta.

Menjauhi Perbuatan yang Menarik Perhatian Lawan Jantina

"… Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." Satu lagi panduan berguna buat menjaga kesucian diri. Secara fiziknya dapat difahami bahawa perbuatan memukul kaki itu termasuklah menggerakkan, melangkah, menghayun atau menggoyangkan kaki agar mengeluarkan bunyi (sama ada dari hentakan sandal, loceng, gelang kaki atau lain-lain) untuk menarik perhatian lelaki terutama semasa berjalan. Amat ironis perbuatannya, pada masa dia berbuat ketaatan kepada Rabbnya dengan menyembunyikan perhiasannya, pada masa sama juga dia ingin berbuat keingkaran (maksiat) kepada Rabbnya. Dia berbuat begitu semata-mata kerana masih mahu menurut hawa nafsunya, padahal dia pun tahu bahawa kaki yang hendak digunakan untuk maksiat itu pun dari Allah. Tidakkah dia berasa malu menggunakan harta seseorang untuk menentang orang itu sendiri, padahal dia hanyalah peminjam harta itu (ie kaki)?

Berpuasa

Berpuasa adalah sarana yang amat berkuasa dan berkesan dalam menjaga kesucian diri. Rasulullah telah memberitahu dengan jelas: "Wahai para pemuda, siapa sahaja di antara kalian yang mampu menikah, maka menikahlah. Dan siapa sahaja yang belum mampu menikah, hendaklah ia berpuasa, sebab puasa itu memiliki pembenteng (wija)" (HR. Bukhari Muslim).

Ternyata sekali bahawa puasa itu benteng kukuh untuk para mukminin dan mukminat terutama para remaja Islam yang belum kahwin dalam usaha menjaga kesucian diri dari melakukan fahsyak kerana desakan hawa nafsu dan bujukan syaitan berupa jin dan manusia. Ya, hari ini jin-jin syaitan tidak nampak kerana ghaib tetapi syaitan berupa manusia memang banyak berkeliaran di mana-mana bahkan mereka bergiat mendakyahkan kemaksiatan kepada manusia melalui pelbagai sarana, media dan wacana.

Surat al Baqoroh 183 memberitahu hasil puasa: "Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atasmu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa." Ya, itu kesannya puasa, menghasilkan muslim yang bertaqwa. Muslim bertaqwa tentu sekali menjaga kesucian dirinya secara awas dan ketat.

"Puasa itu menjadi perisai." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Satu lagi hadis yang menyokong kekuatan puasa sebagai wahana berguna dalam upaya menjaga kesucian diri. Puasa secara saintifiknya mengecilkan pembuluh darah sekaligus menyukarkan syaitan untuk berlari di dalamnya, secara automatis men de-active kan mereka.

Semoga kita semua tergolong dalam orang-orang yang suci dan menjadi orang yang mensucikan diri. Sesungguhnya Allah itu Maha Suci dan menyukai kesucian, lahir dan batin.


Sucikanlah dosa kami Ya Rabb yang Maha Suci.
Amin. sumber : http://islamaienn89.blogspot.com/

Oh Bangsaku, Melayu

MELAYU..
Sebuah bangsa yang majoritinya tinggal di Malaysia.
ada juga tinggal di Indonesia dan lain², tetapi begitu sinonim dengan Malaysia.
Sebuah bangsa yang mempunyai pelbagai budaya serta dialek yang berbeza ataupun hampir sama bagi setiap negeri.

Aku Melayu..
Ibu Bapa aku melayu.
Adik beradik aku melayu.
Kawan² aku ramai yang melayu..
Memang ramai Melayu disekeliling aku.

Ada Melayu Semenanjung
Ada Melayu Sabah dan Sarawak
Ada Melayu Singapura.
Dan banyak lagi jenis² Melayu.

Apabila ditanya dari mana Melayu berasal.?
Biasa jawapan yang kita dengar adalah dari Nusantara.
Betul jawapan itu. Memang benar melayu adalah salah satu pecahan dari Nusantara.



Jom kita soroti sedikit sejarah..

Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:
  • Zaman kerajaan Melaka
  • Zaman kerajaab Acheh
  • Zaman kerajaan Johor-Riau


Dahulu,
sebut sahaja Melayu, gerun bagi sesiapa yang mendengar..
Pelayar yang hebat.
Peniaga yang berjaya.
Pahlawan yang terkenal.
Semangat patriotik yang begitu tinggi.
Penuh dengan kesopanan dan budi bahasa.

Tetapi itu dahulu..
Sekarang.?
Melayu - Malas
Melayu - Jatuhkan bangsa sendiri
Melayu - Hasad dengki
Melayu - Arak
Melayu - Clubbing

Bukan hendak kata tiada yang tidak baik tentang Melayu. ada. Banyak juga yang baik². Tetapi perkara yang tidak baik bertambah saban hari. Tidak kira masalah sosial, rempit, dadah, dan banyak lagi masalah. Hilang tanda kemegahan Melayu, timbul kekurangan Melayu dek terlalu banyak perkara negatif yang dicetuskan oleh bangsa sendiri.

Aku.?
Bukanlah hendak membuka keburukan Melayu untuk mencemarkan bangsa sendiri.
Cuma sekadar peringatan dan juga pendedahan, apa yang sebenarnya telah berlaku dalam bangsa Melayu ketika ini.
Supaya kita sama² sedar dan mengambil iktibar.

Melayu Oh Melayu.
Apa Sudah Jadi Denganmu..


-thanx to unwanted86-

Wednesday 2 December 2009

Islam memaksima keupayaan akal

Oleh : DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Mantan Presiden PKPIM

ISLAM adalah agama yang sentiasa menganjurkan umatnya agar memaksimakan keupayaan akal fikiran yang dikurniakan Allah. Malah al-Quran sebagai sumber wahyu utama turut menjadi faktor terpenting yang mendorong umat Islam agar sentiasa ghairah menimba ilmu dan meningkatkan penggunaan akal fikiran.

Al-Quran sarat dengan istilah-istilah yang mendorong manusia untuk meningkatkan penggunaan akal seperti perkataan-perkataan yang berteraskan kata ilmu, fikir, faqih dan sebagainya. Perkataan yang mempunyai kata teras ‘ilm, misalnya telah diulang-ulang dalam pelbagai bentuk konotasi sebanyak 750 kali di dalam al-Quran.

Menurut kajian Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya The Concept of Knowledge in Islam, perkataan yang berpaksikan akal seperti ‘ilm merupakan perkataan ketiga banyaknya disebut dalam al-Quran selepas perkataan Allah (2,500 kali) dan Rabb (950 kali). Ini sekali gus menggambarkan kepentingan akal sebagai antara konsep yang paling penting dalam Islam.

Penekanan Islam terhadap penggunaan akal fikiran tidak pula bermaksud meminggirkan kepentingan wahyu Ilahi. Sebaliknya akal yang difahami dalam tradisi Islam masih terpaut teguh pada sauh wahyu hingga tidak memungkinkan wujud pertentangan antara wahyu dan akal. Kalaupun berlaku pertembungan antara rasional akal dan ketentuan wahyu, keutamaan tetap diberi kepada tuntunan wahyu Ilahi.

Generasi

Integrasi antara akal dan wahyu turut dizahirkan al-Quran dengan menggunakan istilah ulul-albab. Ulul-albab ialah generasi yang terbina di atas dasar keimanan kukuh dan keupayaan intelektual yang tinggi hingga mampu mencetuskan idea-idea baru yang kreatif dan inovatif sekali gus menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang praktis.

Allah turut menukilkan sifat generasi ini sebagaimana firmanNya: Mereka itu yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka sentiasa memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi. (Ali-Imran: 191). Pembentukan generasi ulul-albab yang menyepadukan unsur ketuhanan (wahyu) dan nilai-nilai akliah sebagaimana acuan al-Quran inilah yang pernah memartabatkan umat Islam sebagai pelopor tamadun manusia selama beratus-ratus tahun.

Sesungguhnya tamadun Islam membangun pesat ketika Eropah masih dibelenggui zaman kelam yang turut dikenali sebagai The Dark Age. Para cendekiawan dan ahli saintis Islam mempelopori pembangunan dan pengkajian pelbagai cabang dan disiplin ilmu sepanjang tahun 700 hingga 1500 Masihi. Ibn Sina umpamanya menulis sebanyak 220 buah karya yang salah satu darinya al-Shifa’ (mengenai perubatan) mengandungi 8 jilid, Al-Kindi mengarang sebanyak 242 buah, Ibn ‘Arabi sebanyak 284 buah, Zakaria Ar-Razi 236 buah, Abu Hasan al-‘Ashaari sebanyak 93 buah.

Para ilmuwan Islam ini bukan sekadar menulis dalam satu bidang bahkan merangkumi pelbagai bidang ilmu yang terdapat pada zaman mereka. Fakhruddin al-Razi yang terkenal sebagai salah seorang ahli tafsir terkemuka turut menghasilkan 149 tajuk yang meliputi bidang metafizik, teologi, falsafah, fekah, sejarah, firasat, sihir dan nujum hatta mengenai minuman (al-‘Ashribah). Begitu juga Al-Jahiz yang terkenal sebagai ahli teologi aliran Muktazilah juga menulis dalam pelbagai bidang lain seperti Kitab al-Hayawan (buku mengenai binatang) yang masih menjadi rujukan di universiti-universiti di Barat dalam bidang zoologi.

Pembinaan Bayt al-Hikmah sebagai instituti penyelidikan dan penterjemahan terulung sekitar tahun 830 Masihi oleh Khalifah al-Makmun cukup menggambarkan komitmen tinggi kerajaan Islam yang turut berperanan merangsang pembangunan intelektual umat Islam. Hasil karya dan pengkajian sarjana-sarjana Islam ini jugalah yang mempengaruhi gerakan pencerahan atau dikenali sebagai Renaissance iaitu gerakan pembebasan daripada kongkongan pemikiran yang dilakukan oleh pihak gereja hingga menyebabkan rata-rata masyarakat Eropah berjiwa kerdil bagaikan tiada maruah.

Kebanyakan bahan-bahan penulisan cendekiawan Islam seperti ensiklopedia perubatan Ibn Sina dan Ar-Razi diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan bahasa Eropah lain serta dijadikan buku-buku rujukan utama di universiti-universiti di Eropah sehingga tahun 1600. Malah ribuan pelajar-pelajar dari Eropah membanjiri universiti-universiti utama yang dibina oleh kerajaan Islam seperti di Baghdad, Sepanyol, Syria, Mesir dan Iran.

Gambaran di atas menunjukkan betapa hebatnya tradisi pengupayaan akal dalam Islam yang sentiasa berpaksikan kepada tauhid atau keesaan kepada Allah. Justeru, tanggapan kononnya Islam merupakan agama yang terlalu mengongkong pemikiran umat dengan isu-isu sekitar halal dan haram hanyalah manifestasi kejahilan mengenai hakikat Islam.

Sebaliknya Islamlah satu-satunya agama yang sentiasa menganjurkan umatnya memaksimakan keupayaan akal fikiran berteraskan tuntunan wahyu Yang Maha Esa. Sebab itulah Islam tidak pernah memisahkan elemen ketuhanan dengan kehidupan sebagaimana yang difahami dalam ideologi sekular yang cuba diketengahkan kepada masyarakat kita.

MARI KITA BERSAMA MEMAHAMI APA DIA SISTEM DUA PARTI

WALAU PUN TULISAN ARAB - IANYA MASIH MILIK MUSUH UMAT MANUSIA

PEPSI DAN COKE – ADIDAS DAN PUMA

Pada tahun 2009 ini wacana politik dalam negara kita cuba menyebarkan berita tentang kemungkinan terwujudnya sistem dua parti – Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Malah huh hah huh hah tentang sistem dua parti ini telah tersebar lama. Ada yang menyeringai gembira seperti di malam pertama bedua-duaan di bilik bersama kekasih bila mendengar kemungkinan ini.

Sistem dua parti ini adalah satu penipuan. Satu illusi yang dirancang oleh kaum pemodal. Satu pemesongan projek demokrasi yang amat terancang untuk mengkaburi mata orang ramai agar gagal melihat intipati politik dan makna hakiki demokrasi.

Lalu saya bertanya adakah sesiapa yang dapat membezakan Pepsi dengan Coke? Adakah sesiapa yang dapat membezakan Adidas dengan Puma? Hakikatnya - pemilik saham Pepsi adalah juga pemilik saham Coke. Hakikatnya - Puma dan Adidas adalah dua beradik yang membuka peniagaan yang sama – satu kedai di kiri jalan dan sebuah lagi di kanan jalan. Kedua-duanya mengamalkan sistem kapitalis yang berlandaskan keuntungan. Yang membezakan hanya ejaan nama yang bermula dengan A dan P.

Kita wajib sedar bahawa kaum pemodal akan terus merancang untuk memastikan kepentingan ekonomi mereka selamat. Apa yang mereka pertahankan bukan saekar kebun getah atau sebuah Kancil. Yang mereka pertahankan ialah sistem ekonomi kapitalis yang selama 150 tahun ini telah mengembongkan saku dan dompet mereka. Sistem ini telah menjadikan mereka senang lenang dan kaya raya dengan harta berbilion-bilion dolar dan ringgit.

Kuasa yang mengancam dan menyusahkan kehidupan umat manusia dalam dunia hari ini sebenarnya adalah kuasa kaum pemodal. Kaum pemodal inilah yang merancang untuk memastikan parti apa yang naik and parti apa yang turun. Siapa dapat jadi menteri dan siapa yang akan dipencenkan. Para politikus dalam sistem kapitalis ini hanyalah Mat Heboh yang diupah berlabun di parlimen untuk mengubal undang-udang dan memastikan kepentingan kaum pemodal dijaga rapi.

Perhatikan bagaimana undang-undang yang diluluskan di parlimen TIDAK akan dan TIDAK pernah menyebelahi kepada kepentingan kaum buruh atau kaum pekerja. Perhatikan cukai mukai yang di kenakan. Pemotongan cukai untuk kaum pemodal akan diutamakan. Dalam masa yang sama mereka yang miskin akan berselirat dengan cukai mukai. Kalau tidak percaya sila tunggu cukai baru : Cukai Barang dan Khidmat. Akan terlondeh seluar dalam Mak Minah dan akan tergadai Cupcai Pak Ali bila cukai ini sampai.

Jika masih belum yakin biar saya nyatakan satu lagi contoh terbaik : lihat apa yang terjadi kepada dasar kerajaan Pakatan Selangor yang melarang bangunan didirikan di lereng bukit. Ini cita-cita Pakatan Rakyat ketika berkempen untuk membawa kebaikan dan keselamatan kepada warga. Lihat apa yang berlaku dibelakang tabir. Kaum pemodal – pemaju dan para kontrektor telah melobi. Akhirnya larangan ini ditarik kembali. Kenduri menarah bukit diteruskan kembali.

Lihat pula apa yang terjadi apabila berlaku runtuhan di Bukit Antarabangsa. Laporan yang ingin diumumkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal kerana laporan ini disimpai oleh Akta Rahsia. Akta seperti ini semuanya diwujudkan untuk memastikan kaum pemodal – syarikat pemaju , kontrektor dan syarikat air - terselamat dan keuntungan mereka terjamin. Yang mati terkambus telah selamat ditalkinkan - jangan buat bising biarkan badan mereka dimakan cacing.

Ini bukan tohmah, propaganda atau berita putar yang saya ajukan kerana saya muflis dan tidak memiliki harta kekayaan. Ini adalah hakikat dihadapan mata kita. Buka mata dan dengar. Buka telinga dan lihat. Klik komputer dan baca. Jangan menjadi Mat Malas. Ketuk kepala lutut dan goncangkan kepala untuk berfikir. Nilai dan fahami mana yang tohmah, mana yang putar alam dan apa dia kebenaran

Kaum pemodal dan para kapitalis bergerak dengan licik. Ketika ini kaum pemodal di Malaysia melihat dan membaca tanda-tanda politik yang sedang berlaku dalam negara ini. Mereka menyedari bahawa gaya dan politik lama yang selama ini membawa keuntungan yang amat lumayan tidak mungkin akan berterusan. Apa yang terjadi pada 8 March 2008 mengajar mereka untuk memahami bahawa warga dalam negara ini mahukan perubahan dan sedang menuntut hak demokratik mereka.

Dengan arif dan dengan wang ringgit - kaum pemodal merancang untuk melahirkan apa yang dipanggil sistem dua parti. Contoh sistem dua parti ini sedang kita lihat berjalan dengan lancar di United Kingdom dan di Amerika Syarikat. Di UK ada Parti Konservatif dan Parti Buruh. Di Amerika ada Parti Republican dan Parti Democrat.

Parti-parti ini bertukar ganti untuk menjalankan pentabiran. Madame Thatcher dari Parti Konservatif akhirnya diganti oleh Tony Blair dari Parti Buruh. George Bush Senior dari Republican di ganti oleh Bill Clinton dari Democrat. Kemudian Clinton di ganti oleh George Bush Junior yang kemudiannya digantikan pula oleh Barack Obama dari Parti Democrat.

Parti politik dan susuk yang memimpin pentabiran kelihatan ini bertukar berganti. Tetapi hakikatnya sistem ekonomi kapitalis tidak berubah. Inilah dia silap mata Pepsi Cola dan Coca Cola yang selama ini telah berjaya menipu. Kapitalisma tidak berganjak. Kaum pemodal tidak hilang keuntungan walau parti mana pun yang naik atau turun.

Justeru, perubahan antara Democrat ke Republican atau dari Konservatif ke Parti Buruh hanyalah satu ilusi untuk menipu orang ramai. Tidak ada apa-apa perubahan yang hakiki telah berlaku. Tuan punya bank masih kaya raya. Tuan punya kilang masih memerah tenaga buruh murah. Para kontrektor masih membalon orang ramai. Cukai masih di tahap yang sama. Kaum pemodal terus melipatkan gandakan keuntungan.

Orang ramai dan para pengundi digula-gulakan dengan perubahan dari parti ini ke parti itu. Dari presiden yang ini ke presiden yang itu. Ini adalah helah kaum pemodal agar orang ramai tidak akan menuntut perubahan sistem yang sedia ada.

Didalam kempen-kempen pilihan raya kita akan mendengar labon dan heboh heboh dari Mat Heboh yang ingin menjadi YB. Teliti dengan rapi : mereka semuanya berjanji untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang lebih baik dari yang sedia ada.

Apa sebenarnya janji-janji para Mat Heboh bakal YB ini? Mereka berjanji akan menjalankan pentabiran dengan lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih. Ini ertinya mereka berjanji akan menjadi Mat Heboh yang lebih cekap, lebih amanah dan lebih bersih kepada kaum pemodal. Merekalah Mat Heboh yang terbaik untuk mengendalikan sistem ekonomi kapitalis ini.

Tidak pernah kita mendengar bahawa yang haprak dan yang membawa kemudaratan terhadap umat manusia hari ini ialah sistem ekonomi kapitalis yang mengajukan rukun iman : keuntungan maksima.

Rukun iman inilah yang sedang membawa porak peranda kepada kita semua hari ini. Keuntungan maksima yang dijadikan rukun iman ini akan membolehkan apa sahaja dilakukan asalkan ianya membawa untung. Balak dikeluarkan kerana ianya membawa untung. Pelacur datang dari China kerana ianya membawa untung. Hospital diswastakan kerana ianya membawa untung. Dadah diniagakan kerana ianya membawa untung.

Jika kita menyedari hakikat ini maka kita tahu bahawa sistem dua parti ini adalah kong kalikong. Tidak ada apa apa perubahan hakiki yang akan berlaku jika yang diajukan untuk dipilih hanyalah siapa yang lebih cekap mentabir sistem kapitalis.

Adakah Barisan Nasional lebih baik untuk keuntungan kapitalis atau Pakatan Rakyat yang akan mentabir dengan baik sistem kapitalis ini? Jika ini yang dipersoalkan maka saya jamin kita semua kena tipu oleh kaum pemodal dengan sistem dua parti yang sedang mereka rancangkan.

Apa yang seharusnya kita tuntut bukan sistem dua parti. Bukan siapa yang lebih cekap dan lebih amanah mentabirkan sistem kapitalis. Yang wajib menjadi rukun iman kita ialah menghancurkan sistem ekonomi yang berasaskan keuntungan maksima. Yang menjadi rukun iman kita ialah kita berjuang untuk melahirkan sistem ekonomi yang berasaskan kebajikan untuk umat manusia.

Sistem dua parti atau dua ratus buah parti ini tidak memiliki apa-apa makna yang hakiki jika kita masih lagi dalam sistem ekonomi yang berimankan keuntungan maksima. Apa yang wajib kita sokong bukan mereka yang berijazah, berdatuk, bertun atau berserban - ini tidak penting. Yang penting ialah mereka yang kita pilih akan berani bangun berjuang untuk melahirkan satu sistem ekonomi yang berimankan kebajikan untuk manusia.

Kita jangan ditipu untuk diberi pilihan sama ada untuk membeli kasut Adidas atau kasut Puma. Kita mahukan kasut kulit yang baru. Kita jangan ditipu untuk memilih Coke Cola atau Pepsi Cola. Kita tidak mahu minuman itu. Kita mahu air advocado yang sehat untuk umat manusia.(TT)

nota: tulisan ini boleh diambil untuk membuat kebaikan

Penulis ialah saudara Hishamuddin Rais.

MENDEPANI ZAMAN : Melayu untuk Abad ke-21


Saudara Nik Nazmi telah menghasilkan buku beliau yang pertama telah diterbitkan. Beliau merupakan Ahli Undangan Seri Setia dan merupakan setiausaha Politik kepada Meneteri Besar Selangor. Buku tersebut diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris sebagai Mendepani Zaman: Melayu untuk Abad ke-21 / Moving Forward: Malays for the 21st Century.

Marshall Cavendish Malaysia menerbitkan buku tersebut.

Memetik kata-kata beliau. "Sudah lama saya mengimpikan untuk menulis sebuah buku memandangkan saya menulis di pelbagai media. Usaha ini sendiri mengambil masa beberapa tahun (malah sebelum 8 Mac 2008) tetapi saya menghabiskan sebahagian besar 2009 menyediakan draf akhir Mendepani Zaman."

Wacana mengenai orang Melayu di Malaysia sudah berubah pada abad ke-21. Saya mengemukakan hujah bagaimana orang Melayu perlu mendepani zaman bagi survival dan kejayaan menghadapi cabaran dunia hari ini: kemunculan politik baru, ke arah merakyatkan ekonomi, menyelesaikan persoalan pendidikan, kedudukan Islam dalam masyarakat majmuk dan keruntuhan sosial.

Walaupun begitu beliau mengakui kaum Melayu akan terus penting sebagai satu identiti, namun Mendepani Zaman mencabar andaian menang-kalah dalam perkiraan perkauman, memandangkan akhirnya masa depan orang Melayu tidak boleh dipisahkan daripada rakyat Malaysia.

Buku ini didedikasikan khas buat ibu bapa beliau.

Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim, akan melancarkan buku beliau pada minggu hadapan. Butir-butirnya adalah seperti berikut:

Tarikh: 8 Disember 2009 (Selasa)
Masa: 3.15 petang
Tempat: Itudio Studio, 31D-2 Kelana Mall, Jln SS 6/12, 47301, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia (peta di http://www.itudiostudio.com/about-us)
Hubungi: Saifullah 0378063660 / saifullah@niknazmi.com
Kod pakaian: Smart casual / pakaian pejabat

Buku tersebut boleh dibeli pada harga RM24.90 di kedai-kedai buku utama termasuk Kinokuniya KLCC dan Popular Bookstores. Pengedar yang berminat boleh menghubungi penerbit melalui Michelle Low tel: 03-5628 5928 atau michelle@my.marshallcavendish.com.

-------------------------------------------------------------------------------------------------=

Komen: Buku ini harus dimiliki kerana memaparkan cabaran dan dugaan bagi umat Melayu dari mata realiti yang memerlukan pemikiran orang Melayu lebih terbuka dan tidak disempitkan dengan budaya politik yang sempit. Wallahualam.

Cemburu Tandanya...


“Saya nak minta pandangan dari akak cara untuk mengelakkan cemburu. Sejak akhir-akhir ini perasaan cemburu terhadap orang di sekeliling saya termasuk teman rapat saya sering timbul. Saya merasakan diri saya tak sebaik mereka. Kadang-kadang saya tidak bertegur sapa hanya kerana soal cemburu.”

Perkongsian untuk direnungkan bersama:

Sebagai manusia biasa yang serba kekurangan, kita kadang-kadang dilanda rasa cemburu apabila melihat seseorang punya kelebihan berbanding kita. Rasa cemburu kadang-kadang mengabui mata hingga kita melihat diri kita sebagai orang yang serba kurang dan orang lain sentiasa lebih dari kita.

Saya pernah rasa cemburu pada teman yang keputusan peperiksaannya lebih cemerlang daripada saya. Cemburu itu membuatkan saya menangis kerana merasa kalah dan terus mendorong saya berusaha keras menyaingi mereka.

Saya pernah rasa cemburu pada teman yang punya keluarga yang kaya raya. Saya mencemburui mereka kerana bisa memiliki pakaian yang cantik dan baru, mencemburui mereka kerana memiliki barangan yang berjenama, mencemburui mereka kerana berpeluang memiliki apa sahaja yang diingini.

Saya pernah rasa cemburu pada teman yang punya wajah cantik dan diminati ramai. Yang sentiasa mendapat pujian dan perhatian. Tetapi saya tiada daya dalam menambah kecantikan saya kerana saya telah dilahirkan dengan rupa saya yang begini.

Itu kisah saya dahulu, sebelum saya kenal agama, sebelum saya pasti tujuan hakiki hidup ini. Persoalannya, di manakah duduknya rasa cemburu kita? Apakah rasa cemburu kita sekadar suatu rasa yang berlalu di hati kemudian hilang atau ia menghantui pemikiran hingga menyebabkan jiwa tertekan dan iman berkurang?

Rasa cemburu jika dibiarkan menguasai diri boleh melarat kepada kedengkian. Untuk menangani secebis perasaan ini, kita haruslah mempunyai ilmu tentangnya. Kita perlu faham akan besarnya bahaya kedengkian agar dapat meletakkan rasa iri dan cemburu kita pada tempat yang sebetulnya.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Takutlah kamu semua akan sifat dengki sebab sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Riwayat Abu Daud daripada Abi Hurairah)

Menurut Imam Al-Ghazali, dengki itu ada tiga macam:

Pertama; menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan digantikan kepadanya.

Kedua; menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, baik kerana merasa mustahil dirinya akan dapat menggantikannya atau memang kurang senang memperolehinya atau sebab lain. Asal orang itu jatuh, ia gembira. Ini lebih jahat daripada dengki yang pertama.

Ketiga; tidak ingin kalau kenikmatan orang lain itu hilang tetapi ia benci kalau orang itu mendapat kenikmatan lebih daripada kenikmatan yang dimilikinya.
Dengki hanya dimiliki orang yang berjiwa rendah dan sifat itu mendorongnya berangan-angan kosong untuk mendapatkan kenikmatan yang dimiliki orang lain.

Dalam Islam, rasa dengki dan iri hanya dibolehkan dalam dua perkara:

Ibn Masud meriwayatkan, Rasulullah ada bersabda bermaksud: “Tidak digalakkan adanya perasaan iri hati melainkan pada dua keadaan. Pertama, keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda dan membelanjakannya kepada perkara kebajikan. Kedua keadaan orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan Agama lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya.”
         (Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi)

Begitulah agama Islam yang mulia menasihati kita tentang dengki. Setelah memahami semuanya, tanyalah dirimu, apakah rasa cemburumu di luar atau di dalam lingkungan dua perkara yang dibenarkan agama. Jika tidak, hapuskanlah rasa cemburumu itu.

Namun begitu, rasa cemburu kadang kala hadir juga. Bagaimanakah kita dapat menanganinya? Bagi menjawab soalan adik Anonymous, antara tips menangani sifat cemburu ialah:

1. Merasa qanaah (cukup) dengan apa yang dikurniakan Allah kepadamu. Sentiasa merasakan rezeki yang dikurniakan Allah dalam bentuk apa pun adalah yang telah ditetapkan buat kita dan adalah yang terbaik untuk kita. Merasai berpada dan syukur atas nikmat yang diberi mendatangkan rasa lapang dan redha dalam menerimanya.

2. Menjadikan rasa cemburu sebagai sesuatu yang positif iaitu menjadikan ia dorongan untuk berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki serta memajukan diri. Menjadikan ia sebagai satu motivasi untuk berlumba-lumba membuat kebaikan (fastabiqul khoirat) terutamanya dalam menuntut ilmu untuk meningkatkan darjat diri di sisi Allah.

3. Katakan pada diri bahawa aku adalah yang terbaik, aku diciptakan cukup sempurna. Mempercayai bahawa setiap orang punya kelebihan tersendiri. Mungkin anda tidak cantik, tetapi anda bijak belajar. Mungkin anda tidak bijak belajar, tetapi anda punyai kemahiran berniaga atau memasak. Mungkin anda miskin, tetapi anda sempurna anggota. Tinggal sahaja anda menggilap segala kelebihan yang Allah berikan kepada anda untuk mencemerlangkan diri. Buangkan rasa rendah diri yang melemahkan semangat anda.

4. Melihat sesuatu hikmah di sebalik kekurangan yang dimiliki dan mensyukurinya. Anda mungkin miskin tetapi anda punyai keluarga yang bahagia. Anda mungkin anak yatim tetapi anda punyai kasih sayang dari teman-teman serta mampu pergi ke sekolah. Anda mungkin tidak cantik tetapi anda selamat dari kedengkian manusia. Anda mungkin tidak miliki segala yang anda ingini, tetapi anda juga tidak kurang sifat berbanding insan lain yang lebih malang nasibnya daripada anda.

5. Tips ulama dalam menghadapi rasa cemburu ialah melihat orang yang di bawah anda dalam perkara duniawi, tetapi melihat orang yang di atas anda dalam perkara agama.

Kunci kepada mengatasi rasa cemburu ini adalah meyakini bahawa dunia ini bersifat sementara dan hanyalah ladang untuk akhirat. Apalah guna kita menyesakkan hati dengan kedengkian dan cemburu sedangkan nilai dunia di sisi Allah adalah lebih kecil dari sebelah sayap lalat.

Wallahua'lam. Buat Adik Anonymous, semoga perkongsian ini ada manfaatnya dan menjadi muhasabah untuk kita bersam

sumber: suluhhati.blogspot.com