Sunday 30 August 2009

DEFINISI NEGARA

Beberapa definisi telah diusulkan oleh beberapa penulis terkemuka dalam bidang kenegaraan. Mengikut Saltau , negara merupakan satu jentera atau agensi yang mempunyai kekuasaan tertentu bagi mengurus atau mentadbir hal ehwal rakyat bagi pihak rakyat itu sendiri. Ini member pengertian bahawa agensi atau jentera yang dimaksudkan diberi kuasa bagi mengurus segala hal ehwal masyarakat sebagai wakil kepada masyarakat tadi. Ini bermakna bahawa apabila Negara diberi kuasa untuk memerintah ianya masih tertakluk kepada persetujuan orang yang diperintah. Dalam hal ini pendapat Harold Laski tidak mempunyai banyak perbezaan. Dia berpendapat bahawa negara itu merupakan satu kelompok masyarakat yang telah bersatu dan mendapat satu kuasa yang sah di sisi undang-undang. Kuasa ini pula mengatasi kuasa-kuasa lain yang kini dipunyai oleh individu atau kumpulan yang menjadi sebahagian dalam masyarakat tadi. Masyarakat pula merupakan kumpulan-kumpulan yang terdiri daripada individu yang bersama-sama bekerja dan hidup untuk kepentingan dan kebaikan masyarakat itu sendiri. Oleh itu, setiap ahli masyarakat tadi harus patuh kepada segala peraturan yang telah ditetapkan berdasarkan kepada persetujuan ramai. Dalam perhubungan di antara rakyat dan negara, Laski cuba mebuat perbezaan yang agak jelas dapat dilihat dari segi cara-cara kuasa diperolehi dan cara-cara kuasa dilaksanakan.
M. Mc. Iver pula merumuskan bahawa negara itu merupakan satu persatuan di mana segala tindakan dibuat menerusi proses undang-undang. Kuasa untuk memksa boleh digunakan oleh pemerintah untuk mencapai matlamat negara.
Definisi yang agak lengkap telah diberikan oleh Pennock dan Smith yang berpendapat bahawa negara merupakan suatu sistem politik yang terdiri daripada penduduk-penduduk dalam satu kawasan atau wilayah yan telah ditetapkan dan mempunyai organisasi (kerajaan). Kerajaan ini pula mempunyai kekuatan dan kuasa yang dijalankan ke atas setiap penduduk di wilayah itu sekiranya perlu secara paksaan (menggunakan kuasa fizikal). Kuasa ini pula lebih tinggi keadaannya dari kuasa-kuasa yang lain.
Dari beberapa definisi dan pandangan-pandangan yang telah diberikan kita tidak dapat melihat persamaan pendapat di antara seorang penulis dengan penulis yang lain. Ada yang berpendapat bahawa negara itu merupakan struktur kelas, ada yang mengatakan ianya satu sistem kuasa dan ada pula yang beranggapan bahawa negara itu sebuah organisasi kebajikan. Sebagaimana yang pernah dikatakan oleh A.C. Kapur, “sekiranya penulis itu seorang pakar sosiologi, seperti perilaku atau peguam, pendapatnya yang tersendiri boleh memesongkan perkara yang sebenar dengan menitikberatkan beberapa ciri negara yang sebenar dan membelakangkan yang lainnya, atau membebaskan dirinya sama sekali dari kenyataan dengan member gambaran mengenai negara dari apa yang difikirkannya sendiri.
Apabila setiap unsur penting dalam definisi di atas tadi dipetik dan dikoordinasikan kembali maka dapatlah kita merumuskan bahawa negara itu merupakan satu wilayah di mana terdapatnya organisasi yang ditubuhkan melalui sistem politik yang mempunyai kekuatan dan kekuasaan yang tertinggi bagi membolehkan ianya membuat peraturan-peraturan yang harus ditaati oleh semua. Di zaman moden sekarang ini, kuasa untuk membuat dan melaksanakan peraturan selalunya didapati melalui proses undang-undang.

No comments: