Wednesday, 2 December 2009

Islam memaksima keupayaan akal

Oleh : DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Mantan Presiden PKPIM

ISLAM adalah agama yang sentiasa menganjurkan umatnya agar memaksimakan keupayaan akal fikiran yang dikurniakan Allah. Malah al-Quran sebagai sumber wahyu utama turut menjadi faktor terpenting yang mendorong umat Islam agar sentiasa ghairah menimba ilmu dan meningkatkan penggunaan akal fikiran.

Al-Quran sarat dengan istilah-istilah yang mendorong manusia untuk meningkatkan penggunaan akal seperti perkataan-perkataan yang berteraskan kata ilmu, fikir, faqih dan sebagainya. Perkataan yang mempunyai kata teras ‘ilm, misalnya telah diulang-ulang dalam pelbagai bentuk konotasi sebanyak 750 kali di dalam al-Quran.

Menurut kajian Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya The Concept of Knowledge in Islam, perkataan yang berpaksikan akal seperti ‘ilm merupakan perkataan ketiga banyaknya disebut dalam al-Quran selepas perkataan Allah (2,500 kali) dan Rabb (950 kali). Ini sekali gus menggambarkan kepentingan akal sebagai antara konsep yang paling penting dalam Islam.

Penekanan Islam terhadap penggunaan akal fikiran tidak pula bermaksud meminggirkan kepentingan wahyu Ilahi. Sebaliknya akal yang difahami dalam tradisi Islam masih terpaut teguh pada sauh wahyu hingga tidak memungkinkan wujud pertentangan antara wahyu dan akal. Kalaupun berlaku pertembungan antara rasional akal dan ketentuan wahyu, keutamaan tetap diberi kepada tuntunan wahyu Ilahi.

Generasi

Integrasi antara akal dan wahyu turut dizahirkan al-Quran dengan menggunakan istilah ulul-albab. Ulul-albab ialah generasi yang terbina di atas dasar keimanan kukuh dan keupayaan intelektual yang tinggi hingga mampu mencetuskan idea-idea baru yang kreatif dan inovatif sekali gus menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang praktis.

Allah turut menukilkan sifat generasi ini sebagaimana firmanNya: Mereka itu yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka sentiasa memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi. (Ali-Imran: 191). Pembentukan generasi ulul-albab yang menyepadukan unsur ketuhanan (wahyu) dan nilai-nilai akliah sebagaimana acuan al-Quran inilah yang pernah memartabatkan umat Islam sebagai pelopor tamadun manusia selama beratus-ratus tahun.

Sesungguhnya tamadun Islam membangun pesat ketika Eropah masih dibelenggui zaman kelam yang turut dikenali sebagai The Dark Age. Para cendekiawan dan ahli saintis Islam mempelopori pembangunan dan pengkajian pelbagai cabang dan disiplin ilmu sepanjang tahun 700 hingga 1500 Masihi. Ibn Sina umpamanya menulis sebanyak 220 buah karya yang salah satu darinya al-Shifa’ (mengenai perubatan) mengandungi 8 jilid, Al-Kindi mengarang sebanyak 242 buah, Ibn ‘Arabi sebanyak 284 buah, Zakaria Ar-Razi 236 buah, Abu Hasan al-‘Ashaari sebanyak 93 buah.

Para ilmuwan Islam ini bukan sekadar menulis dalam satu bidang bahkan merangkumi pelbagai bidang ilmu yang terdapat pada zaman mereka. Fakhruddin al-Razi yang terkenal sebagai salah seorang ahli tafsir terkemuka turut menghasilkan 149 tajuk yang meliputi bidang metafizik, teologi, falsafah, fekah, sejarah, firasat, sihir dan nujum hatta mengenai minuman (al-‘Ashribah). Begitu juga Al-Jahiz yang terkenal sebagai ahli teologi aliran Muktazilah juga menulis dalam pelbagai bidang lain seperti Kitab al-Hayawan (buku mengenai binatang) yang masih menjadi rujukan di universiti-universiti di Barat dalam bidang zoologi.

Pembinaan Bayt al-Hikmah sebagai instituti penyelidikan dan penterjemahan terulung sekitar tahun 830 Masihi oleh Khalifah al-Makmun cukup menggambarkan komitmen tinggi kerajaan Islam yang turut berperanan merangsang pembangunan intelektual umat Islam. Hasil karya dan pengkajian sarjana-sarjana Islam ini jugalah yang mempengaruhi gerakan pencerahan atau dikenali sebagai Renaissance iaitu gerakan pembebasan daripada kongkongan pemikiran yang dilakukan oleh pihak gereja hingga menyebabkan rata-rata masyarakat Eropah berjiwa kerdil bagaikan tiada maruah.

Kebanyakan bahan-bahan penulisan cendekiawan Islam seperti ensiklopedia perubatan Ibn Sina dan Ar-Razi diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan bahasa Eropah lain serta dijadikan buku-buku rujukan utama di universiti-universiti di Eropah sehingga tahun 1600. Malah ribuan pelajar-pelajar dari Eropah membanjiri universiti-universiti utama yang dibina oleh kerajaan Islam seperti di Baghdad, Sepanyol, Syria, Mesir dan Iran.

Gambaran di atas menunjukkan betapa hebatnya tradisi pengupayaan akal dalam Islam yang sentiasa berpaksikan kepada tauhid atau keesaan kepada Allah. Justeru, tanggapan kononnya Islam merupakan agama yang terlalu mengongkong pemikiran umat dengan isu-isu sekitar halal dan haram hanyalah manifestasi kejahilan mengenai hakikat Islam.

Sebaliknya Islamlah satu-satunya agama yang sentiasa menganjurkan umatnya memaksimakan keupayaan akal fikiran berteraskan tuntunan wahyu Yang Maha Esa. Sebab itulah Islam tidak pernah memisahkan elemen ketuhanan dengan kehidupan sebagaimana yang difahami dalam ideologi sekular yang cuba diketengahkan kepada masyarakat kita.

No comments: