Tuesday 15 September 2009

KEPERLUAN DALAM DEMOKRASI

Apabila Rousseau memperkenalkan slogan “keadilan, kebebasan dan kesaksamaan” bermaksud penanaman semangat mempercayai antara satu sama lain kerana tidak ada perbezaan di antara mereka. Demokrasi yang berjaya bergantung kepada kuasa yang datangnya dari suara rakyat dan buah fikiran dari rakyat serta dilaksanakan semata-mata untuk kepentingan rakyat.

Oleh itu penyertaan dari rakyat adalah penting. Rakyat tidak harus berdiam diri sekiranya tindak tanduk kerajaan tidak selari dengan kepentingan rakyat seperti keputusan yang tidak adil, kecuaian dalam pentadbiran apalagi kejujuran yang disangsikan. Sekiranya rakyat bersikap pasif dan tidak mengambil peduli, rakyat sendiri akan rugi kerana pemerintah akan mengambil kesempatan. Sebaliknya apabila rakyat sedar dan aktif, pentadbiran akan dijalankan dengan cara-cara yang menguntugkan rakyat.

Bagi menjayakan pemerintahan yang bercorak demokrasi, sifat, dan sikap toleransi antara satu individu dengan individu yang lain, atau di antara satu kelompok dengan kelompok yang lain harus disemai. Faham memaham tentang masalah yang mengakibatkan kehidupan sehari-hari hendaklah menjadi asas kepada perpaduan kerana negara tidak akan mencapai apa-apa kemajuan sekiranya sering terdapat perselisihan faham antara satu golongan dengan golongan yang lain.

Kesaksamaan dalam demokrasi tidak mungkin tercapai sekiranya terdapat perbezaan kelas, keturunan atau warna kulit. Sejarah telah membuktikan bahawa kebanyakan pergolakan politik di negara-negara baik yang sudah maju atau yang sedang membangun wujud disebabkan perbezaan warna kulit, keturunan atau agama. Di Afrika Selatan, orang-orang kulit hitam yang mendapat gelaran “fakir” di kalangan orang-orang kulit putih tidak akan mengalah kepada sistem pemerintahan kulit putih yang mengamalkan dasar aparteid mereka. Amerika Syarikat yang melaung-laungkan demokrasi tetapi menjadikan warna kulit hitam “memberontak” pada tahun enam puluhan. India tidak terlepas dari pergolakkan politik apabila orang-orang India yang beragama Islam sering bertelagah dengan orang-orang India yang beragama Hindu. Di Malaysia pula telah tercetus tragedi 13 Mei disebabkan oleh perbezaan kaum antara orang-orang Melayu dan orang-orang Cina.

Oleh itu, sifat toleransi bukan sahaja diperlukan di kalangan individu tetapi melibatkan semua kaum dan keturunan. Demokrasi yang paling sesuai ialah apabila ianya secara jelas member jaminan terhadap hak rakyat seperti hak untuk dilindungi, hak bersuara dan hak untuk memilih. Sebaliknya rakyat juga harus dipertanggungjawabkan dalam menjamin keutuhan dan kekekalan demokrasi dengan tidak menyalahgunakan kebebasan yang diberi yang boleh melemahkan sistem demokrasi itu sendiri.

No comments: