Dewasa ini, bagi menjayakan sistem demokrasi dalam sebuah negara memerlukan penyertaan rakyat baik secara langsung ataupun tidak langsung. Kuasa rakyat dijadikan kayu ukur yang asas dalam menjayakan arah dan corak pemerintahan sebuah negara itu.
Semasa zaman pemerintahan kota Greek dan Rom, rakyat lelaki telah dewasa akan mengadakan perhimpunan sekerap mungkin untuk berbincang atau berdebat mengenai urusan dan pentadbiran kerajaan mereka. Rakyat sendiri datang dan menyatakan pendapat mereka mengenai undang-undang, cukai yang secara langsung mengambil bahagian dalam urusan-urusan negara sistem ini dipanggil dengan nama demokrasi langsung atau demokrasi tulin. Sistem ini jarang didapati sekarang kecuali di negara-negara yang terlalu kecil. Di Switzerland, sistem ini dipanggil dengan nama landsgemeinde atau perundangan rakyat. Dalam sistem ini rakyat akan berhimpun pada hari Ahad bulan April atau Mei bagi membahaskan undang-undang yang baru, belanjawan negara dan juga pemilihan pemimpin-pemimpin. Sistem demokrasi tulin jarang didapati sekarang ini kerana agak mustahil bagi sebuah negara untuk menghimpun seluruh rakyatnya dalam satu persidangan dan membahaskan urusan-urusan negara. Kita dapat bayangkan perhimpunan seluruh rakyat di sebuah stadium atau di tanah lapang di mana seluruh rakyat diberi peluang mengambil bahagian dalam perbahasan. Sedangkan di landsgemeinde sekalipun perbahasan yang melibatkan rakyat secara langsung dibuat di peringkat Canton atau daerah. Memang tidak dapat dinafikan (sekurang-kurang pada teorinya) bahawa demokrasi secara langsung atau demokrasi tulin ini merupakan kaedahyang baik kerana penglibatan rakyat secara langsung dalam menentukan dasar negara. Selepas Perang Dunia Pertama, sistem ini dilaksanakan di negara-negara sperti Jerman, Estonia,Ireland, Rusia dan sesetengah negeri di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, dalam situasi yang semakin kompleks seperti yang terdapat sekarang ini, sistem ini didapati kurang berkesan terutamanya dari segi pelaksanaan. Oleh itu, kerajaan Ireland terpaksa mengakhiri sistem ini pada tahun 1928. Di Jerman pula, perlembagaan ini telah ditamatkan oleh Hitler. Sistem yang sama tidak dilaksanakan di Amerika Syarikat kecuali di beberapa negeri dalam negara itu.
Oleh sebab demokrasi secara langsung ini didapati semakin sukar untuk dilaksanakan, maka demokrasi tidak langsung atau lebih dikenal dengan nama demokrasi perwakilan merupakan cara yang banyak dilaksanakan kebanyakan negara yang mengekalkan sistem demokrasi. Dalam sistem ini rakyat akan memilih wakil-wakil untuk menjalankan tugas bagi pihak rakyat. Suara dan kehendak rakyat akan disalurkan melalui wakil rakyat untuk dibincang dengan pihak pembuat dasar. Oleh itu, hak rakyat ialah untuk memilih siapakah yang sebenarnya layak untuk mewakili mereka.
Wakil rakyat adalah terpilih mengikut penggal dan setiap satu penggal adalah antara satu hingga lima tahun. Pada penghujung penggal, setiap wakil rakyat akan “dinilai” dan “diadili” oleh rakyat sendiri sama ada mereka patut dipilh semula atau tidak.
Sistem di atas didapati lebih sesuai dan berkesan kerana ianya menjamin kebebasan politik dan menentukan pertalian yang rapat di antara pemerintah dan orang yang diperintah. Namun demikian wakil rakyat sering menghadapi masalah kerana desakan dari pengundi-pengundi, kadang-kala merupakan perkara-perkara yang sukar dilaksanakan terutamanya sekali apabila ianya menyentuh seperti mengadakan rumah murah, membuka tanah, mengadakan lesen berniaga selalunya terpaksa dilakukan melalui pelbagai proses. Adakalanya wakil rakyat pula mengambil kesempatan dengan menggunakan kuasa yang diberikan kepada pihak yang mempunyai kepentingan diri sendiri. Dengan kata lain, kebebasan politik yang disalahgunakan akan mencacatkan sistem demokrasi yang diperjuangkan oleh setiap rakyat.
No comments:
Post a Comment