Friday 17 April 2015

TRAVELOG KEM MUSIM PANAS, SELATAN THAILAND 2015

03 APRIL 2015 (JUMAAT)
Seawal jam 6.00 pagi seperti rutin kebiasaannya, aku sudah bangkit dan bersedia untuk solat Subuh bersendirian, kalau bangun lebih awal akan ke masjid atau surau berdekatan untuk berjemaah, tapi jika sudah terlambat hanya bersendirian saja di rumah. Selesai saja bersolat Subuh, kebiasaan aku jarang tidur kerana sudah menjadi rutin awal pagi akan melakukan pelbagai aktiviti seperti membasuh pinggan mangkuk jika ada yang ada di singki, menyapu, membasuh motosikal. Tambahan hari itu, aku perlu bersiap untuk mengemas pakaian, peralatan serta dokumen perjalanan seperti tiket bas dan passport dari Kuala Lumpur ke Pengkalan Kubor, untuk misi fasilitator di Pattani, Selatan Thailand yang mana perjalanan pada sebelah malamnya.
Selesai sahaja aktiviti tersebut, aku kembali ke bilik dan melihat suasana bilik yang tak berkemas, inilah masalah aku kerana di luar kelihatan kemas, bilamana dalam bilik aku tak sukar berkemas, ditambah sikap aku yang suka mengumpul barangan terpakai menjadikan bilik lebih berselerak. Ditambah dengan sikap aku yang merupakan seorang yang agak “sentimental value” tak suka membuang barangan yang sudah lama digunakan, yang dihadiahkan kerana mahu dijadikan sebagai kenangan. Bagi sesetengah orang, barangan yang sudah digunakan perlu dibuang.
Ketika melihat sekitar bilik, aku terlihat akan komputer riba aku yang sudah lama tidak dibuka lalu mengambil dan membukanya, benar sangkaan aku yang mana kelajuaan perisiannya semakin perlahan. Justeru itu, konduksinya perlu dibaiki  dengan “format” semula kandungannya dan diberi nafas baru.
Alhamdulillah juga, sebelum ke Selatan Thailand ini, aku menjumpai kunci pendua motosikalku yang telah hilang hampir 2 bulan. Besar dugaannya bilamana motosikal yang menjadi nadi kehidupan untuk bergerak seakan bilamana sukar untuk melakukan aktiviti harian. Bila cuba dihidupkan motosikal, nampaknya tidak kelihatan motosikal itu mahu hidup. Tanggapan aku, mungkin petrol sudah kehabisan tapi dibuka tangki motosikal penuh.  Sangkaan seterusnya mungkin tangki petrol dimasuki air, lalu aku mencabut wayar minyak untuk membuang air yang masuk dan dicuba menghidupkannya semula nyata gagal. Mahu tak mahu, aku perlu menghidupkan motosikal ini, ini kerana diri akan merasa lebih tenang bilamana ke Selatan Thailand. Akhirnya, aku mengagak bila semua sudah dicuba, hanya satu masalah utama motosikal iaitu nadi motosikal ialah palam pencucuh, sememangnya betul anggapanku lalu aku meminjam motosikal milik kawan baikku, Mohd Safarudin untuk ke bengkel berdekatan, tapi seperti kebiasaan, bengkel motosikal masih belum dibuka jam 8.00 pagi dan untuk mencari bengkel yang sudah buka aku perlu pergi ke bengkel yang agak jauh kerana bengkel itu memang kebiasaan telah buka. Selesai membeli palam pencucuh tersebut, aku menukarkannya dan akhirnya motosikal yang sudah hampir 2 bulan tidak  bernyawa kembali bernafas.
Selesai masalah motosikal, kini tinggal masalah komputer ribaku pula perlu di “format” pula. Untuk itu, aku menunggang motosikal ke sebuah kedai membaiki komputer yang biasa aku pergi tapi bilamana sampai di kedai tersebut tidak dibuka, baru aku teringat, kedainya tidak dibuka hari Jumaat. Lalu, aku pergi ke pusat siber café sebentar untuk melayari internet bagi melihat beberapa info sebagai rutin harian. Ketika membuka aplikasi Facebook, ketika melihat senarai “Friend”, aku teringat beberapa individu yang boleh mem”format”  komputer, bertanya juga beberapa kenalan yang boleh. Akhirnya, seorang junior yang masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa, lalu aku terus menghala ke mahallahnya atau kolej kediamannya
Selesai menghantar, sempat membeli makanan di café berdekatan mahallahnya. Lalu pulang ke rumah untuk bersedia untuk solat Jumaat. Selesai makan, azan baru selesai berkemundang terus aku ke masjid. Selesai solat Jumaat, terus pulang ke rumah untuk berehat bagi merehatkan badan bagi persediaan perjalanan yang agak juah perjalanan nanti.
Ketika 06.00 petang, aku terjaga dek panggilan telefon meminta aku berkumpul di Sekretariat Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Wangsa Maju. Nasib baik bilamana kawan baikku Mohd Safarudin sudi menghantarku ke sana. Di situ, bertemu dengan ahli ekspedisi yang lain untuk program tersebut. Program ini bertujuan membantu anak-anak yatim di situ untuk menyuntik semangat untuk lebih berminat belajar terutamanya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta memahami sosio budaya masyarakat Melayu di Selatan Thailand.
Di situ juga, sempat mendengar amanat daripada Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) untuk agenda yang perlu dibawa ke sana bagi tujuaan pendidikan. Pada masa sama, program ini anjuran Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Selangor (GPTD UNISEL) bersama dengan Persatuan Anak – Anak Yatim Tanyung dan Yayasan Ehsan Berhad.
Tepat jam 10.30 malam, kami dihantar ke tempat menunggu bas di stesen petrol Shell  kedua sebelum tol Pantai Timur (Gombak). Ahli kumpulan terdiri dripada wakil dari Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), penasihat dan seorang ahli Grup Pengkaji Tamadun Dunia UNISEL, dan aku.
Naik sahaja bas, aku sempat berjaga sehingga jam 12 tengahari ketika itu di Benta, Pahang, selepas itu terus lelap.


04 ARIL 2015 (SABTU)
Semasa jam 4.00 pagi, aku terjaga bilamana bas berhenti di sebuah restoran bernama Sani Café, Merapoh. Selepas bas memulakan perjalanan semula, mata aku liat mahu tidur kembali, lalu aku memerhati suasana awal pagi yang  yang indah sambil melihat bulan yang mengambang penuh dan berfikir banyak perkara yang mana aku terfikir kenapa aku masih mengembara seorang diri dengan umur yang makin meningkat. Terasa akan keseorangan bilamana melihat ramai kawan-kawanku sudah berumah tangga serta ada yang sudah mempunyai anak-anak mereka.
Sekitar jam 7.00 pagi, kami sampai di Pengkalan Kubor. Di sana, kami berhenti singgah sebentar di masjid untuk berkumpul untuk menunggu 3 orang lagi ahli kumpulan yang berasal dari Pantai Timur. Kami dipermudahkan urusan bilamana tidak perlu berjalan sejauh 500 meter dengan berjalan kaki bila salah seorang ahli kumpulan menunggu dengan bapanya menghantarnya menaiki kereta. Kami dihentikan di Kompleks Kastam Pengkalan Kubor dan berjalan berkaki ke kompleks jeti kerana di situ kaunter Imigresen untuk urusan pemeriksaan dan pengesahan perjalanan.
Selesai semua urusan, kami mula menaiki bot untuk ke seberang iaitu jeti Takbai atau Tabal di sebelah Thailand. Di situ, kami perlu berjalan menuju pula ke kaunter Imigresen Thailand. Berbeza dengan kaunter Imigresen Malaysia lebih mudah dan lokasi yang lebih strategik kerana keluar saja dari kaunter terus jumpa jeti, kaunter  Imigresen sebelah Thailand perlu berjalan sedikit ke kaunter, jika ada yang tak mahu melakukan pemeriksaan boleh terjadi. Jika bagi yang tidak mengetahui akan tercari-cari di mana kedudukannya.
Setelah itu semua urusan di kaunter Imigresen Thailand, kami dibawa oleh pengiring merangkap orang kuat program ini iaitu encik Wan Abdul Rahman selaku CEO Yayasan Ehsan, di sana beliau telah menyediakan pengangkutan iaitu grebar atau pacuan empat roda untuk ke wiayah Pattani. Untuk makluman, wilayah Pattani merupakan sebuah wilayah di selatan Thailand dan di utara wilayah Naratthiwat. Sebelum memulakan perjalanan yang jauh, kami dibawa bersarapan di sebuah gerai berdekatan jeti Takbai. Ini juga, bagi mengisi perut yang sudah lapar mungkin, kerana perjalanan yang jauh dari Kuala Lumpur malah ada yang tak sempat untuk makan di mana-mana perhentian kerana semua terlelap keletihan di dalam bas. Ini juga alas perut untuk perjalanan yang agak jauh nanti. Perjalanan dari Bandar Takbai ke Pattani memakan masa sekitar 2 jam.
Sepanjang perjalanan juga, kami sempat singgah ke Akademi Pengajian Islam dalam Princesses of Naratthiwat University.  Selesai saja lawatan ke situ, kami meneruskan perjalanan dengan menziarahi beberapa lokasi yang bersejarah seperti surau Wadi al-Hussein di Teluk Manok dalam wilayah Naratthiwat, aku sempat membeli sehelai t-shirt sebagai kenangan dengan imej surau Teluk Manok. Sekitar jam 12.30 tengahari waktu Thailand kami tiba di Nattanyung di kompleks rumah anak yatim Tanyung.
Kami tiba dengan bersolat jamak di surau kampong Aur berdekatan kompleks. Selesai solat kami dijamu dengan masyarakat kampung dengan hidangan yang sungguh luar biasa banyak dengan lauk tomyam, telur dadar dan wajib tambah nasi sekiranya dijemput orang kampong. Ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Dengan tanpa menjatuhkan perasaan orang kampung , aku  menambah nasi.
Selesai sahaja makanan, ahli kumpulan mula berkumpul untuk bermesyuarat untuk sesi pengenalan dengan ahli jawatankuasa pengggerak program yang terdiri pengerusi rumah anak yatim, Tuan Haji Said Abdullah Al-Jufri, Ustaz Osman dan beberapa pimpinan masyarakat kampong Nattanyung.
Sekitar jam 4 petang waktu Thailand, kami mendapati peserta-peserta program telah mula sampai untuk mendaftar. Kami ahli kumpulan berpecah bilamana yang lelaki dibawa menginap di homestay yang baru siap manakala yang wanita menginap di dalam kompleks.  Ini sedikit sebanyak dapat melepaskan penat perjalanan untuk berehat.
Sehingga waktu malam, kami telah dikumpulkan untuk mesyuarat bagi aturcara pada keesokan hari bersama dengan fasilitator atau murabi atau murabbiyah untuk kelancaran keesokan harinya untuk permulaan program perasmian. Selesai mesyuarat, kami pulang ke tempat kediaman untuk berehat.


05 APRIL 2015 (AHAD)
Hari yang dinantikan bermula dengan seawal jam jam 5.00 pagi waktu Thailand, pada asalnya aku sendiri terkejut jam aku telah jam 6 pagi, rupanya lewat sejam. Selesai saja waktu pagi aku memerhati telatah anak-anak yang mana mereka sungguh nakal-nakal. Kalau tak nakal bukan budaklah.
Sekitar jam 9 pagi jam Thailand, bermula majlis perasmiaan yang mana dihadiri oleh Tok Naro atau Datuk Bandar Tanyung, Syed Mohamad al Idrus, Said Abdullah al-Jufri, pengerusi Persatuan Anak Yatim Tanyung, Wan Abdul Rahman, CEO Yayasan Ehsan Berhad dan dirasmikan oleh Datuk Bandar Tanyung.
Selesai sahaja majlis perasmian, maka program telah bermula yang mana dengan pengajaran dalam Bahasa Melayu. Slot pagi, kami telah mengajar asas bahasa diikuti dengan latihan berkumpulan sebelah petangnya pula.
Sebelah petangnya, aktiviti diambil alih pula oleh fasilitator tempatan. Sehingga malam, kami berehat untuk persediaan pengajaran pada hari Selasa nanti. Sebelum itu, sebelum tidor diadakan pertemuan untuk mesyuarat untuk keesokannya.


06 APRIL 2015 (ISNIN)
Pada hari ini, kami tidak ada pengisian untuk disampaikan. Cuma awal pagi, kami berbincang untuk modul pada keesokannya yang mana akan mengajar Bahasa Inggeris. Ketika sedang rancak merancang, kami dimaklumkan oleh pihak kompleks untuk mengadakan lawatan sekitar Bandar Pattani
Selesai solat Zuhur, kami telah dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda dengan hentian pertama ke Surau Aur, Nattanyung berdekatan kompleks. Keunikan surau ini mempunyai persamaan seni binaan dengan surau di masjid Kampung Laut, Kelantan dan di pulau Jawa.
Seterusnnya, kami meneruskan perjalanan ke daerah Yaring di mana kami dibawa melawat  makam Tok Panjang, di mana kisahnya seorang ulama yang dibunuh oleh raja yang zalim, dan ulama itu bersumpah tidak akan diizinkan mayatnya ditanam di tanah jajahan raja tersebut lalu mayatnya dihanyutkan ke laut. Menjadi ketakutan nelayan bilamana terlihat mayat tersebut bangkit setiap kali terjumpa, lalu raja menitahkan bahawa dikebumikan di Kampung Datuk. Menjadi lagi hairan, bilamana jasadnya semakin memanjang lalu dititahkan lagi oleh raja untuk memasukkan saja mayat ke dalam liang lahad. Begitulah mengikut kisah cerita penduduk di situ.
Selesai menziarahi, kami dibawa ke pantai Teluk Kapur. Permandangannya sungguh indah kerana airnya yang membiru sungguh menenangkan dengan tiupan angin yang membuai-buai sungguh melekakan. Yang menarik di situ, kelihatan kambing-kambing biri berkeliaran memakan sampah.
Seterusnya, kami dibawa ke masjid kerisik, yang mana masjid ini menyaksikan kesengsaraan masyarakat Islam Pattani dan salah faham beragama di mana masjid ini hampir runtuh dibom serta dibedil dengan peluru di setiap pelusuk penjuru.
Kami meneruskan perjalanan, ketika melalui Ban Laenmok yang mana di situ, masyarakatnya mengusahakan tempat membuat garam seolah sawah padi. Penghasilan garam itu merupakan salah satu produk eksport ke Malaysia.
Selesai melawat tempat membuat garam, kami dibawa ke Masjid Princes of Songkla kampus Pattani untuk solat Magrib. Selesai solat, kami dipertemukan dengan seorang bekas dekan Fakulti teknologi dan sains, Doktor Falsafah Wan Hassan Wan Hashim. Untuk solat isyak kami bersolat di Masjid Jamek Pattani yang menempatkan juga Majlis Agama Islam Pattani dan madrasah Darul Maarif.
Selesai solat, kami seterusnya dibawa meronda sekitar Bandar Pattani, dan berhenti rehat dan makan malam di gerai dengan menikmati sup air, tomyam, dan telur dadar. Yang menariknya di sini, air putih saja disediakan, jika mahu boleh memesan air yang berperisa. Akhirnya, kami balik untuk berehat.


07 APRIL 2015 (SELASA)
Seperti kebiasaan selalu di sana, kami bangun seawal jam 4.30 pagi waktu Thailand, yang bersia-siap untuk solat subuh, selesai solat Subuh, aku sudah berazam sepanjang di sini akan menyumbang dengan membersihkan dan menyapu dalam kompleks yang mana lokasi tersebut akan sentiasa  kotor setiap kali ditinggalkan oleh adik-adik peserta dengan sampah kecil dan pasir. Selesai menyapu, aku akan mula  memerhatikan suasana pagi  yang cuba aku rakamkan dalam minda yang akan cuba untuk tidak dilupakan.
Selesai adik-adik peserta bersarapan dan mandi dalam sekitar jam 8.30 pagi waktu Thailand, maka bermula sesi kelas bahasa Inggeris sehingga jam 3.00 petang waktu Thailand. Apa yang didapati sepanjang pengajaran, ternyata tersilap perkiraan kerana adik-adik peserta tidak begitu menunjukkan minat untuk belajar jika pembelajaran terlalu serius dan perlu diselitkan hiburan dan jenaka bagi menarik minat mereka belajar. Dengan kekurangan persediaan ternyata kelemahan ini boleh diperbaiki oleh adik-adik yang bakal lagi ke Selatan Thailand untuk program seumpama itu.
Selesai mengajar, kami pulang berehat untuk persediaan mesyuarat untuk waktu malam. Mesyuarat diadakan untuk melakukan penyelarasan untuk program rehlah atau lawatan ke Narathiwat.


08 APRIL 2015 (RABU)
Rutin di awal pagi di sana, selesai sahaja bersarapan, para peserta berkumpul untuk rehlah dan perjalanan ke Naratthiwat dengan menaiki bas sebanyak 2 buah. Inilah pengalaman kedua aku menaiki bas di luar Negara selepas di Aceh. Rehlah ini adalah ke sebuah lagi wilayah majority Melayu di Selatan Thailand. Antara destinasi di sana ialah lokasi awal ke Masjid Selindung Bayu dalam wilayah Pattani daerah Teluban atau Teluk Manok atau Kampung Teluk. Seterusnya, ke masjid Teluk Manok iaitu di Wadi al-Hussein serta makam 30 orang syuhada yang terbunuh peristiwa Takbai Berdarah. Selesai saja lawatan ke situ, diteruskan perjalanan ke Narathiwat sebelum itu, rombongan berhenti solat Zuhur di Masjid Jamek berdekatan pantai Narathiwat. Sekitar jam 2.00 petang waktu Thailand, kami tiba di pantai. Di sana, kami mencari kawasan lapang untuk berhimpun untuk makan tengahari. Antara makanan yang telah disediakan, dibawa dari tapak program iaitu paprika dan teluk masak merah, sungguh menyelerakan masakannya.
Selesai makan dan penyerahan wang saku yang telah diamanahakan oleh pihak keluarga peserta, peserta dilepaskan sehingga jam 3 petang untuk bersiar di sekitar kawasan pantai dan rata-rata peserta menuju ke gerai-gerai berdekatan pantai yang menjual bermacam-macam jenis barangan dan makanan seakan-akan tapak bazaar yang sungguh meriah.
Bagi aku pula, banyak memerhati telatah anak-anak peserta yang mana aku lihat mereka seronok dan nampak kekampungan kerana Pattani masih Nampak ketradisionalan berbanding Narathiwat yang sudah dimamah kemodenan. Terbayang aku dahulu begitu juga, seorang budak kampong. Seronok apabila melihat mereka lagi, ragam berpusu-pusu menyerbu gerai-gerai makanan padahal di situ banyak lagi gerai yang sama roti yang dibungkus gula-gula kapas, sangat enak. Selain itu, aku juga sempat merasa aiskrim dalam kelapa. Air teh yang berbagai jenis perisa yang sungguh cantik bungkusannya siap dengan pembalut kertas. Aku juga sempat merasa mee kerabu atau Mama Yam yang sungguh lazat serta terasa kepedasannya.
Setelah itu, sekitar jam 3.30 petang , kami berkumpul dan mula menaiki bas untuk kembali ke Pattani. Sempat berhenti solat Asar jam 5 petang di antara Narathiwat dan Pattani di sebuah masjid. Bas yang dinaiki tiba di Nattanyung sekitar 6.00 petang, sesudah saja memunggah azan Magrib berkemundang.
Malam itu, selesai makan malam, urusetia dan peserta terus tidor awal untuk program keesokannya.


09 APRIL 2015 (KHAMIS)
Seperti kelaziman di sana, aku akan terjaga dan akan terus menuju ke surau Aur untuk solat Subuh. Selesai saja solat, aku terus ke kompleks anak yatim, untuk memulakan menyapu. Aku sudah memasang niat dari awal lagi yang mana akan cuba membantu dengan menyapu kerana selesai saja aktiviti para peserta di situ, akan nampak sampah dan pasir di atas lantai, jadi untuk keselesaan mereka juga untuk beraktiviti.
Sebelum kami dibawa keluar, kami sempat menyaksikan penyerahan sumbangan dari pegawai Koperasi Pattani ke Persatuan Anak Yatim Tanyung iaitu Encik Mat Jaki kepada Ustaz Osman selaku timbalan persatuan anak yatim Tanyung.
Hari itu, program diuruskan oleh murabi dan murabiyyah untuk slot fardhu ain, kami yang dari Malaysia pula dibawa oleh pihak penganjur melakukan kunjungan hormat ke pejabat Datuk Bandar Nattanyung. Kebetulan ketika itu, tidak mengetahui akan ke pejabat beliau, jadi pakaian pun tak formal, tapi nasib baik datuk Bandar juga berpakaian seluar jeans dan berkemeja. 
Sepanjang sesi kunjung hormat, kami sempat bertaruf dengan pihak datuk Bandar serta mendengar penerangan berkaitan Pattani dan kunjungan kami dialu-aluka oleh pihak Datuk Bandar dan menjemput membuat pelbagai aktiviti di sana pada masa mendatang.
Selesai saja kunjungan hormat, kami dibawa pula ke Ban Aun Ai, sebuah pusat pemulihan dadah, di situ kami dibawa menaiki bot laju untuk mengelilingi sungai Pattani hingga ke jeti Nattanyung. Tidak aku menyangka, inilah sungai yang menjadi laluan perdagangan serta laluan pendakwah zaman dahulu ke Pattani.
Selesai sampai di jeti Nattanyung, kami berjalan kaki menuju ke tapak program dan azan magrib berkemundang terus ke surau untuk solat. Selesai saja solat, dan peserta makan malam, diadakan mesyuarat kali terakhir untuk perbincangan untuk malam keesokkannya iaitu malam kebudayaan.


10 APRIL 2015 (JUMAAT)
Pagi ini merupakan hari Jumaat yang mana di sana merupakan suatu buday yang hampir 2 tahun diamalkan penduduk kampung yang mana mereka akan berkumpul di depan surau Aur untuk makan sarapan beramai-ramai dengan juadah sarapan yang dibawa oleh penduduk atau ada penduduk yang akan bergilir memasaknya. Selepas itu, duit derma dikutip untuk pembangunan dan pembiayaian aktiviti untuk anak yatim dan juga surau Aur. Selesai saja makan pagi, kami dari Malaysia menyiapkan penulisan travelog dan dimaklumkan oleh pihak penganjur akan membawa kami ke tempat di mana perindustian industri kecil di Nattanyung. Kami telah dibawa oleh ahli majlis Bandar, iaitu abang Ismail ke beberapa tempat yang mana sebuah kedai baju melayu dan jubah, aku sempat membeli sehelai baju melayu dengan harga 380 baht bersamaan dengan RM38. Selesai saja ke situ kami dibawa ke sebuah kedai lagi yang mana kedai ini merupakan lokasi pengumpul tempahan baju yang disebarkan ke seluruh Selatan Thailand dan juga Malaysia. Akhir sekali ke sebuah rumah yang mana tempat jual tudung, untuk ahli kumpulan yang lelaki , kami telah balik lebih awal untuk ke Masjid Nattanyung untuk solat Jumaat.
Selesai solat Jumaat, aku berjalan kaki menuju ke tapak program, semasa perjalanan aku merakam pemandangan sekitar kampong yang mana takkan aku dapat lupakan detik itu.
Petang itu, aku memerhati para peserta bersiap untuk acara malam itu di mana ada yang akan menyanyi, melawak, berlakon dan bacaan al Quran.
Malam yang dinantikan, malam itu majlis dimulakan oleh presiden Persatuan Anak Yatim Tanyung, Tuan Haji Said Abdullah dan ucapan perasmiaan oleh Said Hakim selaku Timbalan Datuk Bandar Pattani.
Sepanjang majlis aku melihat, tapak program dipenuhi masyarakat kampong dan ibu bapa peserta yang aku anggap sungguh meriah dengan telatah kelakar peserta yang mencuit hati.
Selesai malam itu, aku terasa sebak dan susah hendak tidor,aku mengemas dan menyusun kerusi untuk memudahkan orang mengangkat ke atas lori, lalu aku menuju ke dapur membasuh pinggan dan cawan yang masih belum dibasuh. Selesai saja, aku menuju ke rumah penginapan dan terlelap.


11 APRIL 2015 (SABTU)
Pagi itu, aku bangun dengan seribu jenis perasaan, mungkin hari itu merupakan hari terakhir di sana, lalu bangkit menuju ke kompleks menyapu untuk kali terakhir. Justeru itu, aku balik ke rumah penginapan untuk berkemas dan menyusun pakaian ke dalam beg untuk persiapan pulang. Pagi itu, majlis perpisahan dimulakan dengan kata-kata amanat murabi dan murbiyyah kepada peserta. Majlis berakhir dengan nyanyian dan selawat sebelum dilepaskan pulang. Aku cukup terkesan dengan seorang anak yatim ini yang mana beliau aku lihat seperti tabah bilamana dia berkejaran ke pintu walaupun peserta lain disambut oleh ibu dan bapa. Bersyukurlah kepada sesiapa yang mempunyai ibu dan ayah.
Selesai majlis, kami ke tempat makan dan selesai makan, azan Zuhur berkemundang lalu kami bersalaman dengan murabi dan murbaiyyah. Selesai solat Zuhur, kami berkumpul untuk pulang. Kami dibawa menaiki dua buah kenderaan hingga ke Takbai sebuah daerah dihujung selatan Thailand bersempadan Malaysia Cuma dipisahkan oleh sungai.
Perjalanan ke Takbai mengambil masa 2 jam perjalan dan ketika tib di Takbai sekitar jam 4.30 petang dan kami sempat dibawa ke gerai untuk minum dan peluang itu digunakan untuk berbual dengan Tuan haji Said Abdullah, pengerusi Persatuan Anak Yatim Tanyung, Ustaz Osman, timbalan pengerusi, abang Mad selaku speaker Majlis Perbandaran, cikgu Qassim, ketua jurulatih guru-guru persatuan, dan beberapa orang lagi.
Selesai minum, kami dibawa menuju sehingga ke imigresen Thailand, aku sempat menukarkan wang baht ke ringgit untuk sedikit wang bekalan untuk pulang. Selesai urusan di pejabat Imigresen kami bersalaman kali terakhir dengan pihak yang menghantar kami, dan inilah pengalaman pertama menaiki sampan menyeberangi sempadan, kebiasaan dengan feri. Sampai saja di jeti di Pengkalan Kubor, selesai saja di imigresen Malaysia kami berpisah di situ, dan aku dan 2 lagi kumpulan menunggu di stesen bas sehingga jam 8.00 malam untuk pulang ke Kuala Lumpur.
Kesimpulan sepanjang program ini, mengajar banyak erti kehidupan dan pencarian diri aku yang kadang kala berbolak balik. Mungkin masih belum Nampak siapa aku yang sebenarnya. Aku teringat pesanan seorang senior yang mana kalau kita kekusutan, beruzlah untuk mencari makna kehidupan.


No comments: