03 APRIL 2015 (JUMAAT)
Seawal jam 6.00 pagi seperti rutin kebiasaannya,
aku sudah bangkit dan bersedia untuk solat Subuh bersendirian, kalau bangun
lebih awal akan ke masjid atau surau berdekatan untuk berjemaah, tapi jika
sudah terlambat hanya bersendirian saja di rumah. Selesai saja bersolat Subuh,
kebiasaan aku jarang tidur kerana sudah menjadi rutin awal pagi akan melakukan
pelbagai aktiviti seperti membasuh pinggan mangkuk jika ada yang ada di singki,
menyapu, membasuh motosikal. Tambahan hari itu, aku perlu bersiap untuk mengemas
pakaian, peralatan serta dokumen perjalanan seperti tiket bas dan passport dari
Kuala Lumpur ke Pengkalan Kubor, untuk misi fasilitator di Pattani, Selatan
Thailand yang mana perjalanan pada sebelah malamnya.
Selesai sahaja aktiviti tersebut, aku kembali ke
bilik dan melihat suasana bilik yang tak berkemas, inilah masalah aku kerana di
luar kelihatan kemas, bilamana dalam bilik aku tak sukar berkemas, ditambah
sikap aku yang suka mengumpul barangan terpakai menjadikan bilik lebih
berselerak. Ditambah dengan sikap aku yang merupakan seorang yang agak “sentimental
value” tak suka membuang barangan yang sudah lama digunakan, yang
dihadiahkan kerana mahu dijadikan sebagai kenangan. Bagi sesetengah orang,
barangan yang sudah digunakan perlu dibuang.
Ketika melihat sekitar bilik, aku terlihat akan
komputer riba aku yang sudah lama tidak dibuka lalu mengambil dan membukanya,
benar sangkaan aku yang mana kelajuaan perisiannya semakin perlahan. Justeru
itu, konduksinya perlu dibaiki dengan “format”
semula kandungannya dan diberi nafas baru.
Alhamdulillah juga, sebelum ke Selatan Thailand
ini, aku menjumpai kunci pendua motosikalku yang telah hilang hampir 2 bulan.
Besar dugaannya bilamana motosikal yang menjadi nadi kehidupan untuk bergerak
seakan bilamana sukar untuk melakukan aktiviti harian. Bila cuba dihidupkan
motosikal, nampaknya tidak kelihatan motosikal itu mahu hidup. Tanggapan aku,
mungkin petrol sudah kehabisan tapi dibuka tangki motosikal penuh. Sangkaan
seterusnya mungkin tangki petrol dimasuki air, lalu aku mencabut wayar minyak
untuk membuang air yang masuk dan dicuba menghidupkannya semula nyata gagal.
Mahu tak mahu, aku perlu menghidupkan motosikal ini, ini kerana diri akan
merasa lebih tenang bilamana ke Selatan Thailand. Akhirnya, aku mengagak bila
semua sudah dicuba, hanya satu masalah utama motosikal iaitu nadi motosikal
ialah palam pencucuh, sememangnya betul anggapanku lalu aku meminjam motosikal
milik kawan baikku, Mohd Safarudin untuk ke bengkel berdekatan, tapi seperti
kebiasaan, bengkel motosikal masih belum dibuka jam 8.00 pagi dan untuk mencari
bengkel yang sudah buka aku perlu pergi ke bengkel yang agak jauh kerana
bengkel itu memang kebiasaan telah buka. Selesai membeli palam pencucuh
tersebut, aku menukarkannya dan akhirnya motosikal yang sudah hampir 2 bulan
tidak bernyawa kembali bernafas.
Selesai masalah motosikal, kini tinggal masalah
komputer ribaku pula perlu di “format” pula. Untuk itu,
aku menunggang motosikal ke sebuah kedai membaiki komputer yang biasa aku pergi
tapi bilamana sampai di kedai tersebut tidak dibuka, baru aku teringat,
kedainya tidak dibuka hari Jumaat. Lalu, aku pergi ke pusat siber café sebentar
untuk melayari internet bagi melihat beberapa info sebagai rutin harian. Ketika
membuka aplikasi Facebook, ketika melihat senarai “Friend”, aku teringat
beberapa individu yang boleh mem”format” komputer,
bertanya juga beberapa kenalan yang boleh. Akhirnya, seorang junior yang masih
menuntut di Universiti Islam Antarabangsa, lalu aku terus menghala ke
mahallahnya atau kolej kediamannya
Selesai menghantar, sempat membeli makanan di café
berdekatan mahallahnya. Lalu pulang ke rumah untuk bersedia untuk solat Jumaat.
Selesai makan, azan baru selesai berkemundang terus aku ke masjid. Selesai
solat Jumaat, terus pulang ke rumah untuk berehat bagi merehatkan badan bagi
persediaan perjalanan yang agak juah perjalanan nanti.
Ketika 06.00 petang, aku terjaga dek panggilan
telefon meminta aku berkumpul di Sekretariat Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam
Malaysia (PKPIM) di Wangsa Maju. Nasib baik bilamana kawan baikku Mohd
Safarudin sudi menghantarku ke sana. Di situ, bertemu dengan ahli ekspedisi
yang lain untuk program tersebut. Program ini bertujuan membantu anak-anak
yatim di situ untuk menyuntik semangat untuk lebih berminat belajar terutamanya
dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta memahami sosio budaya masyarakat
Melayu di Selatan Thailand.
Di situ juga, sempat mendengar amanat daripada
Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) untuk
agenda yang perlu dibawa ke sana bagi tujuaan pendidikan. Pada masa sama,
program ini anjuran Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Selangor (GPTD
UNISEL) bersama dengan Persatuan Anak – Anak Yatim Tanyung dan Yayasan Ehsan
Berhad.
Tepat jam 10.30 malam, kami dihantar ke tempat
menunggu bas di stesen petrol Shell kedua sebelum tol
Pantai Timur (Gombak). Ahli kumpulan terdiri dripada wakil dari Persatuan
Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), penasihat dan seorang ahli Grup
Pengkaji Tamadun Dunia UNISEL, dan aku.
Naik sahaja bas, aku sempat berjaga sehingga jam 12
tengahari ketika itu di Benta, Pahang, selepas itu terus lelap.
04 ARIL 2015 (SABTU)
Semasa jam 4.00 pagi, aku terjaga bilamana bas
berhenti di sebuah restoran bernama Sani Café, Merapoh. Selepas bas memulakan
perjalanan semula, mata aku liat mahu tidur kembali, lalu aku memerhati suasana
awal pagi yang yang indah sambil melihat bulan yang mengambang
penuh dan berfikir banyak perkara yang mana aku terfikir kenapa aku masih
mengembara seorang diri dengan umur yang makin meningkat. Terasa akan
keseorangan bilamana melihat ramai kawan-kawanku sudah berumah tangga serta ada
yang sudah mempunyai anak-anak mereka.
Sekitar jam 7.00 pagi, kami sampai di Pengkalan
Kubor. Di sana, kami berhenti singgah sebentar di masjid untuk berkumpul untuk
menunggu 3 orang lagi ahli kumpulan yang berasal dari Pantai Timur. Kami
dipermudahkan urusan bilamana tidak perlu berjalan sejauh 500 meter dengan
berjalan kaki bila salah seorang ahli kumpulan menunggu dengan bapanya
menghantarnya menaiki kereta. Kami dihentikan di Kompleks Kastam Pengkalan
Kubor dan berjalan berkaki ke kompleks jeti kerana di situ kaunter Imigresen
untuk urusan pemeriksaan dan pengesahan perjalanan.
Selesai semua urusan, kami mula menaiki bot untuk
ke seberang iaitu jeti Takbai atau Tabal di sebelah Thailand. Di situ, kami
perlu berjalan menuju pula ke kaunter Imigresen Thailand. Berbeza dengan
kaunter Imigresen Malaysia lebih mudah dan lokasi yang lebih strategik kerana
keluar saja dari kaunter terus jumpa jeti, kaunter Imigresen sebelah
Thailand perlu berjalan sedikit ke kaunter, jika ada yang tak mahu melakukan
pemeriksaan boleh terjadi. Jika bagi yang tidak mengetahui akan tercari-cari di
mana kedudukannya.
Setelah itu semua urusan di kaunter Imigresen
Thailand, kami dibawa oleh pengiring merangkap orang kuat program ini iaitu
encik Wan Abdul Rahman selaku CEO Yayasan Ehsan, di sana beliau telah
menyediakan pengangkutan iaitu grebar atau pacuan empat roda untuk ke wiayah
Pattani. Untuk makluman, wilayah Pattani merupakan sebuah wilayah di selatan
Thailand dan di utara wilayah Naratthiwat. Sebelum memulakan perjalanan yang
jauh, kami dibawa bersarapan di sebuah gerai berdekatan jeti Takbai. Ini juga,
bagi mengisi perut yang sudah lapar mungkin, kerana perjalanan yang jauh dari
Kuala Lumpur malah ada yang tak sempat untuk makan di mana-mana perhentian
kerana semua terlelap keletihan di dalam bas. Ini juga alas perut untuk
perjalanan yang agak jauh nanti. Perjalanan dari Bandar Takbai ke Pattani
memakan masa sekitar 2 jam.
Sepanjang perjalanan juga, kami sempat singgah ke
Akademi Pengajian Islam dalam Princesses of Naratthiwat University. Selesai saja
lawatan ke situ, kami meneruskan perjalanan dengan menziarahi beberapa lokasi
yang bersejarah seperti surau Wadi al-Hussein di Teluk Manok dalam wilayah
Naratthiwat, aku sempat membeli sehelai t-shirt sebagai kenangan dengan imej
surau Teluk Manok. Sekitar jam 12.30 tengahari waktu Thailand kami tiba di
Nattanyung di kompleks rumah anak yatim Tanyung.
Kami tiba dengan bersolat jamak di surau kampong
Aur berdekatan kompleks. Selesai solat kami dijamu dengan masyarakat kampung
dengan hidangan yang sungguh luar biasa banyak dengan lauk tomyam, telur dadar
dan wajib tambah nasi sekiranya dijemput orang kampong. Ini merupakan
pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Dengan tanpa menjatuhkan perasaan orang
kampung , aku menambah nasi.
Selesai sahaja makanan, ahli kumpulan mula
berkumpul untuk bermesyuarat untuk sesi pengenalan dengan ahli jawatankuasa
pengggerak program yang terdiri pengerusi rumah anak yatim, Tuan Haji Said
Abdullah Al-Jufri, Ustaz Osman dan beberapa pimpinan masyarakat kampong
Nattanyung.
Sekitar jam 4 petang waktu Thailand, kami mendapati
peserta-peserta program telah mula sampai untuk mendaftar. Kami ahli kumpulan
berpecah bilamana yang lelaki dibawa menginap di homestay yang baru siap
manakala yang wanita menginap di dalam kompleks. Ini sedikit
sebanyak dapat melepaskan penat perjalanan untuk berehat.
Sehingga waktu malam, kami telah dikumpulkan untuk
mesyuarat bagi aturcara pada keesokan hari bersama dengan fasilitator atau
murabi atau murabbiyah untuk kelancaran keesokan harinya untuk permulaan
program perasmian. Selesai mesyuarat, kami pulang ke tempat kediaman untuk
berehat.
05 APRIL 2015 (AHAD)
Hari yang dinantikan bermula dengan seawal jam jam
5.00 pagi waktu Thailand, pada asalnya aku sendiri terkejut jam aku telah jam 6
pagi, rupanya lewat sejam. Selesai saja waktu pagi aku memerhati telatah
anak-anak yang mana mereka sungguh nakal-nakal. Kalau tak nakal bukan budaklah.
Sekitar jam 9 pagi jam Thailand, bermula majlis
perasmiaan yang mana dihadiri oleh Tok Naro atau Datuk Bandar Tanyung, Syed
Mohamad al Idrus, Said Abdullah al-Jufri, pengerusi Persatuan Anak Yatim
Tanyung, Wan Abdul Rahman, CEO Yayasan Ehsan Berhad dan dirasmikan oleh Datuk
Bandar Tanyung.
Selesai sahaja majlis perasmian, maka program telah
bermula yang mana dengan pengajaran dalam Bahasa Melayu. Slot pagi, kami telah
mengajar asas bahasa diikuti dengan latihan berkumpulan sebelah petangnya pula.
Sebelah petangnya, aktiviti diambil alih pula oleh
fasilitator tempatan. Sehingga malam, kami berehat untuk persediaan pengajaran
pada hari Selasa nanti. Sebelum itu, sebelum tidor diadakan pertemuan untuk
mesyuarat untuk keesokannya.
06 APRIL 2015 (ISNIN)
Pada hari ini, kami tidak ada pengisian untuk
disampaikan. Cuma awal pagi, kami berbincang untuk modul pada keesokannya yang
mana akan mengajar Bahasa Inggeris. Ketika sedang rancak merancang, kami
dimaklumkan oleh pihak kompleks untuk mengadakan lawatan sekitar Bandar Pattani
Selesai solat Zuhur, kami telah dibawa menaiki
kenderaan pacuan empat roda dengan hentian pertama ke Surau Aur, Nattanyung
berdekatan kompleks. Keunikan surau ini mempunyai persamaan seni binaan dengan
surau di masjid Kampung Laut, Kelantan dan di pulau Jawa.
Seterusnnya, kami meneruskan perjalanan ke daerah
Yaring di mana kami dibawa melawat makam Tok Panjang,
di mana kisahnya seorang ulama yang dibunuh oleh raja yang zalim, dan ulama itu
bersumpah tidak akan diizinkan mayatnya ditanam di tanah jajahan raja tersebut
lalu mayatnya dihanyutkan ke laut. Menjadi ketakutan nelayan bilamana terlihat
mayat tersebut bangkit setiap kali terjumpa, lalu raja menitahkan bahawa
dikebumikan di Kampung Datuk. Menjadi lagi hairan, bilamana jasadnya semakin
memanjang lalu dititahkan lagi oleh raja untuk memasukkan saja mayat ke dalam
liang lahad. Begitulah mengikut kisah cerita penduduk di situ.
Selesai menziarahi, kami dibawa ke pantai Teluk
Kapur. Permandangannya sungguh indah kerana airnya yang membiru sungguh
menenangkan dengan tiupan angin yang membuai-buai sungguh melekakan. Yang
menarik di situ, kelihatan kambing-kambing biri berkeliaran memakan sampah.
Seterusnya, kami dibawa ke masjid kerisik, yang
mana masjid ini menyaksikan kesengsaraan masyarakat Islam Pattani dan salah
faham beragama di mana masjid ini hampir runtuh dibom serta dibedil dengan
peluru di setiap pelusuk penjuru.
Kami meneruskan perjalanan, ketika melalui Ban
Laenmok yang mana di situ, masyarakatnya mengusahakan tempat membuat garam
seolah sawah padi. Penghasilan garam itu merupakan salah satu produk eksport ke
Malaysia.
Selesai melawat tempat membuat garam, kami dibawa
ke Masjid Princes of Songkla kampus Pattani untuk solat Magrib. Selesai solat,
kami dipertemukan dengan seorang bekas dekan Fakulti teknologi dan sains,
Doktor Falsafah Wan Hassan Wan Hashim. Untuk solat isyak kami bersolat di
Masjid Jamek Pattani yang menempatkan juga Majlis Agama Islam Pattani dan
madrasah Darul Maarif.
Selesai solat, kami seterusnya dibawa meronda
sekitar Bandar Pattani, dan berhenti rehat dan makan malam di gerai dengan menikmati
sup air, tomyam, dan telur dadar. Yang menariknya di sini, air putih saja
disediakan, jika mahu boleh memesan air yang berperisa. Akhirnya, kami balik
untuk berehat.
07 APRIL 2015 (SELASA)
Seperti kebiasaan selalu di sana, kami bangun
seawal jam 4.30 pagi waktu Thailand, yang bersia-siap untuk solat subuh,
selesai solat Subuh, aku sudah berazam sepanjang di sini akan menyumbang dengan
membersihkan dan menyapu dalam kompleks yang mana lokasi tersebut akan
sentiasa kotor setiap kali ditinggalkan oleh adik-adik
peserta dengan sampah kecil dan pasir. Selesai menyapu, aku akan mula memerhatikan
suasana pagi yang cuba aku rakamkan dalam minda yang akan cuba
untuk tidak dilupakan.
Selesai adik-adik peserta bersarapan dan mandi
dalam sekitar jam 8.30 pagi waktu Thailand, maka bermula sesi kelas bahasa
Inggeris sehingga jam 3.00 petang waktu Thailand. Apa yang didapati sepanjang
pengajaran, ternyata tersilap perkiraan kerana adik-adik peserta tidak begitu
menunjukkan minat untuk belajar jika pembelajaran terlalu serius dan perlu
diselitkan hiburan dan jenaka bagi menarik minat mereka belajar. Dengan
kekurangan persediaan ternyata kelemahan ini boleh diperbaiki oleh adik-adik
yang bakal lagi ke Selatan Thailand untuk program seumpama itu.
Selesai mengajar, kami pulang berehat untuk
persediaan mesyuarat untuk waktu malam. Mesyuarat diadakan untuk melakukan
penyelarasan untuk program rehlah atau lawatan ke Narathiwat.
08 APRIL 2015 (RABU)
Rutin di awal pagi di sana, selesai sahaja
bersarapan, para peserta berkumpul untuk rehlah dan perjalanan ke Naratthiwat
dengan menaiki bas sebanyak 2 buah. Inilah pengalaman kedua aku menaiki bas di
luar Negara selepas di Aceh. Rehlah ini adalah ke sebuah lagi wilayah majority
Melayu di Selatan Thailand. Antara destinasi di sana ialah lokasi awal ke
Masjid Selindung Bayu dalam wilayah Pattani daerah Teluban atau Teluk Manok
atau Kampung Teluk. Seterusnya, ke masjid Teluk Manok iaitu di Wadi al-Hussein
serta makam 30 orang syuhada yang terbunuh peristiwa Takbai Berdarah. Selesai
saja lawatan ke situ, diteruskan perjalanan ke Narathiwat sebelum itu,
rombongan berhenti solat Zuhur di Masjid Jamek berdekatan pantai Narathiwat.
Sekitar jam 2.00 petang waktu Thailand, kami tiba di pantai. Di sana, kami
mencari kawasan lapang untuk berhimpun untuk makan tengahari. Antara makanan
yang telah disediakan, dibawa dari tapak program iaitu paprika dan teluk masak
merah, sungguh menyelerakan masakannya.
Selesai makan dan penyerahan wang saku yang telah
diamanahakan oleh pihak keluarga peserta, peserta dilepaskan sehingga jam 3
petang untuk bersiar di sekitar kawasan pantai dan rata-rata peserta menuju ke
gerai-gerai berdekatan pantai yang menjual bermacam-macam jenis barangan dan
makanan seakan-akan tapak bazaar yang sungguh meriah.
Bagi aku pula, banyak memerhati telatah anak-anak
peserta yang mana aku lihat mereka seronok dan nampak kekampungan kerana
Pattani masih Nampak ketradisionalan berbanding Narathiwat yang sudah dimamah
kemodenan. Terbayang aku dahulu begitu juga, seorang budak kampong. Seronok
apabila melihat mereka lagi, ragam berpusu-pusu menyerbu gerai-gerai makanan
padahal di situ banyak lagi gerai yang sama roti yang dibungkus gula-gula
kapas, sangat enak. Selain itu, aku juga sempat merasa aiskrim dalam kelapa.
Air teh yang berbagai jenis perisa yang sungguh cantik bungkusannya siap dengan
pembalut kertas. Aku juga sempat merasa mee kerabu atau Mama Yam yang sungguh
lazat serta terasa kepedasannya.
Setelah itu, sekitar jam 3.30 petang , kami
berkumpul dan mula menaiki bas untuk kembali ke Pattani. Sempat berhenti solat
Asar jam 5 petang di antara Narathiwat dan Pattani di sebuah masjid. Bas yang
dinaiki tiba di Nattanyung sekitar 6.00 petang, sesudah saja memunggah azan
Magrib berkemundang.
Malam itu, selesai makan malam, urusetia dan
peserta terus tidor awal untuk program keesokannya.
09 APRIL 2015 (KHAMIS)
Seperti kelaziman di sana, aku akan terjaga dan
akan terus menuju ke surau Aur untuk solat Subuh. Selesai saja solat, aku terus
ke kompleks anak yatim, untuk memulakan menyapu. Aku sudah memasang niat dari
awal lagi yang mana akan cuba membantu dengan menyapu kerana selesai saja
aktiviti para peserta di situ, akan nampak sampah dan pasir di atas lantai,
jadi untuk keselesaan mereka juga untuk beraktiviti.
Sebelum kami dibawa keluar, kami sempat menyaksikan
penyerahan sumbangan dari pegawai Koperasi Pattani ke Persatuan Anak Yatim
Tanyung iaitu Encik Mat Jaki kepada Ustaz Osman selaku timbalan persatuan anak
yatim Tanyung.
Hari itu, program diuruskan oleh murabi dan
murabiyyah untuk slot fardhu ain, kami yang dari Malaysia pula dibawa oleh
pihak penganjur melakukan kunjungan hormat ke pejabat Datuk Bandar Nattanyung.
Kebetulan ketika itu, tidak mengetahui akan ke pejabat beliau, jadi pakaian pun
tak formal, tapi nasib baik datuk Bandar juga berpakaian seluar jeans dan
berkemeja.
Sepanjang sesi kunjung hormat, kami sempat bertaruf
dengan pihak datuk Bandar serta mendengar penerangan berkaitan Pattani dan
kunjungan kami dialu-aluka oleh pihak Datuk Bandar dan menjemput membuat
pelbagai aktiviti di sana pada masa mendatang.
Selesai saja kunjungan hormat, kami dibawa pula ke
Ban Aun Ai, sebuah pusat pemulihan dadah, di situ kami dibawa menaiki bot laju
untuk mengelilingi sungai Pattani hingga ke jeti Nattanyung. Tidak aku
menyangka, inilah sungai yang menjadi laluan perdagangan serta laluan pendakwah
zaman dahulu ke Pattani.
Selesai sampai di jeti Nattanyung, kami berjalan
kaki menuju ke tapak program dan azan magrib berkemundang terus ke surau untuk
solat. Selesai saja solat, dan peserta makan malam, diadakan mesyuarat kali
terakhir untuk perbincangan untuk malam keesokkannya iaitu malam kebudayaan.
10 APRIL 2015 (JUMAAT)
Pagi ini merupakan hari Jumaat yang mana di sana
merupakan suatu buday yang hampir 2 tahun diamalkan penduduk kampung yang mana
mereka akan berkumpul di depan surau Aur untuk makan sarapan beramai-ramai
dengan juadah sarapan yang dibawa oleh penduduk atau ada penduduk yang akan
bergilir memasaknya. Selepas itu, duit derma dikutip untuk pembangunan dan
pembiayaian aktiviti untuk anak yatim dan juga surau Aur. Selesai saja makan
pagi, kami dari Malaysia menyiapkan penulisan travelog dan dimaklumkan oleh
pihak penganjur akan membawa kami ke tempat di mana perindustian industri kecil
di Nattanyung. Kami telah dibawa oleh ahli majlis Bandar, iaitu abang Ismail ke
beberapa tempat yang mana sebuah kedai baju melayu dan jubah, aku sempat
membeli sehelai baju melayu dengan harga 380 baht bersamaan dengan RM38.
Selesai saja ke situ kami dibawa ke sebuah kedai lagi yang mana kedai ini
merupakan lokasi pengumpul tempahan baju yang disebarkan ke seluruh Selatan
Thailand dan juga Malaysia. Akhir sekali ke sebuah rumah yang mana tempat jual
tudung, untuk ahli kumpulan yang lelaki , kami telah balik lebih awal untuk ke
Masjid Nattanyung untuk solat Jumaat.
Selesai solat Jumaat, aku berjalan kaki menuju ke
tapak program, semasa perjalanan aku merakam pemandangan sekitar kampong yang
mana takkan aku dapat lupakan detik itu.
Petang itu, aku memerhati para peserta bersiap
untuk acara malam itu di mana ada yang akan menyanyi, melawak, berlakon dan
bacaan al Quran.
Malam yang dinantikan, malam itu majlis dimulakan
oleh presiden Persatuan Anak Yatim Tanyung, Tuan Haji Said Abdullah dan ucapan
perasmiaan oleh Said Hakim selaku Timbalan Datuk Bandar Pattani.
Sepanjang majlis aku melihat, tapak program
dipenuhi masyarakat kampong dan ibu bapa peserta yang aku anggap sungguh meriah
dengan telatah kelakar peserta yang mencuit hati.
Selesai malam itu, aku terasa sebak dan susah
hendak tidor,aku mengemas dan menyusun kerusi untuk memudahkan orang mengangkat
ke atas lori, lalu aku menuju ke dapur membasuh pinggan dan cawan yang masih
belum dibasuh. Selesai saja, aku menuju ke rumah penginapan dan terlelap.
11 APRIL 2015 (SABTU)
Pagi itu, aku bangun dengan seribu jenis perasaan,
mungkin hari itu merupakan hari terakhir di sana, lalu bangkit menuju ke
kompleks menyapu untuk kali terakhir. Justeru itu, aku balik ke rumah
penginapan untuk berkemas dan menyusun pakaian ke dalam beg untuk persiapan
pulang. Pagi itu, majlis perpisahan dimulakan dengan kata-kata amanat murabi
dan murbiyyah kepada peserta. Majlis berakhir dengan nyanyian dan selawat
sebelum dilepaskan pulang. Aku cukup terkesan dengan seorang anak yatim ini
yang mana beliau aku lihat seperti tabah bilamana dia berkejaran ke pintu
walaupun peserta lain disambut oleh ibu dan bapa. Bersyukurlah kepada sesiapa
yang mempunyai ibu dan ayah.
Selesai majlis, kami ke tempat makan dan selesai
makan, azan Zuhur berkemundang lalu kami bersalaman dengan murabi dan
murbaiyyah. Selesai solat Zuhur, kami berkumpul untuk pulang. Kami dibawa
menaiki dua buah kenderaan hingga ke Takbai sebuah daerah dihujung selatan
Thailand bersempadan Malaysia Cuma dipisahkan oleh sungai.
Perjalanan ke Takbai mengambil masa 2 jam perjalan
dan ketika tib di Takbai sekitar jam 4.30 petang dan kami sempat dibawa ke
gerai untuk minum dan peluang itu digunakan untuk berbual dengan Tuan haji Said
Abdullah, pengerusi Persatuan Anak Yatim Tanyung, Ustaz Osman, timbalan
pengerusi, abang Mad selaku speaker Majlis Perbandaran, cikgu Qassim, ketua
jurulatih guru-guru persatuan, dan beberapa orang lagi.
Selesai minum, kami dibawa menuju sehingga ke
imigresen Thailand, aku sempat menukarkan wang baht ke ringgit untuk sedikit
wang bekalan untuk pulang. Selesai urusan di pejabat Imigresen kami bersalaman
kali terakhir dengan pihak yang menghantar kami, dan inilah pengalaman pertama
menaiki sampan menyeberangi sempadan, kebiasaan dengan feri. Sampai saja di
jeti di Pengkalan Kubor, selesai saja di imigresen Malaysia kami berpisah di
situ, dan aku dan 2 lagi kumpulan menunggu di stesen bas sehingga jam 8.00
malam untuk pulang ke Kuala Lumpur.
Kesimpulan sepanjang program ini, mengajar banyak
erti kehidupan dan pencarian diri aku yang kadang kala berbolak balik. Mungkin
masih belum Nampak siapa aku yang sebenarnya. Aku teringat pesanan seorang
senior yang mana kalau kita kekusutan, beruzlah untuk mencari makna kehidupan.