Wednesday, 22 April 2015

Masjid Kerisik


Masjid Kerisik dalam bahasa Thailand dikenali Krue Se Mosque atau Pitu Krue-ban Mosque, terletak dalam wilayah Pattani, Thailand. “Kerisik” ialah perkataan Melayu yan bererti pasir di kawasan pantai yang berwarna putih bagaikan mutiara. Pada zaman dahulu, apabila orang-orang Arab belayar sampai ke pantai ini, mereka menamakan kawasan ini “lu’ lu’ ” atau “mutiara” dalam bahasa Melayu. Perkataan ini kemudiannya menjadi nama kepada sebuah kampung yang pada masa ini dikenali dengan panggilan “Tanjung Luluk”.

Nama rasmi Masjid Kerisik ialah “Masjid Sultan Muzaffar Shah”. Inilah masjid yang pertama di Asia Tenggara yang dibina dengan menggunakan bata merah buatan kampung Tarab Bata (sekarang di Mukim Gamia, Muang, Pattani). Binaanya mengikut senibina Timur Tengah. Cara penyusunan batanya dilakukan dengan menggunakan campuran kulit kerang dengan beras pulut hitam yang ditumbuk lumat kemudiannya dicampurkan bahan tersebut dengan adunan telur ptih dengan manisan cair. Cara ini merupakan salah satu kebijaksanaan Melayu temptan pada masa itu.

Masjid ini dibangunkan pada zaman Sultan Muzaffar Shah pada tahun 2057 B.E / 1514 A.D (Anan Watananikorn 2531 : 64) mengikut saranan Syeikh Shafiyuddin Al-Abbas (ulamak Fiqih yang digelar Dato’ Faqih Diraja). Setelah selesai pembinaannya, Masjid Kerisik ini dianggap sebagai Masjid Rasmi Kerajaan Melayu Pattani Darussalam. Selain daripada berperanan sebagai tempat ibadah, di sini juga dijadikan pusat hal ehwal agama Islam dan juga sumber pengajian berbagai-bagai bidang ilmu berkaitan Islam.

Kesan keruntuhan yang jelas kelihatan pada bahagian kubahnya itu akibat daripada peperangan yang berlaku di antara Pattani dan Siam pada Julai – November 1786 (Zamabai A Melik : 1993 :96). Meskipun masa telah berlalu selama 5 abad, Masjid Kerisik masih tegak bertahan sebagai tempat yang sangat bernilai dari sudut sejarah, kesenian dan seni bina sejak dahulu sampailah sekarang.

Pada 28 April 2013, sudah 9 tahun tragedi Majid Kerisik (Kruse Mosque ) berlalu dan yang pasti kenangan pahit ini tidak akan hilang di hati rakyat Pattani. Mereka kehilangan saudara-mara dengan sekelip mata sahaja dan ada juga yang cacat kekal. Sehingga sekarang menurut masyarakat setempat,  pembunuhnya tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa sehingga sekarang.

Masjid Kerisik Pattani melihat serta menjejaki sejarah masjid ini. Berdasarkan kepada maklumat  yang diperolehi Selatan Thailand merupakan wilayah asal orang Melayu sehingga sekarang dan jika di selidik sejarah, ia merupakan sebuah negara yang bernama Fathoni Darussalam. Mereka tidak jauh bezanya daripada sejarah Malaysia iaitu mempunyai sistem Sultan dan kebanyakan mereka berketurunan dari Kelantan, Kedah dan Melaka.

Namun, selepas penjajahan British, Selatan Thai ini di beri kepada kerajaan Siam dan dimasukkan bersama dalam negara Thailand. Bumi selatan Thai atau Fathoni ini merupakan bumi yang subur yang penuh dengan kehijuan tumbuh-tumbuhan serta hasil laut malah mempunyai hasil galian yang cukup lumayan seperti minyak dan emas.

Apa yang mendukacitakan, negeri yang subur ini merupakan negeri yang bergolak yang menjadi perebutan antara kerajaan Siam dan pejuang Melayu. Hal ini menjadi semakin teruk bila berlakunya kes kecurian senjata di kem tentera dimana pihak keraan Siam dibawah Perdana Menteri Takhsin Shinawat menuduh pejuang Islam mencuri. Dari situ tentera di hantar masuk ke negeri kecil ini dan berkubu sehingga sekarang dengan alasan untuk membanteras puak pemisah.

Akan tetapi lain pula jadinya dimana pendudukan Islam di sana pula menjadi mangsa kekejaman askar Siam dalam beberapa tragedi seperti peristiwa Tabal (Takbai) dan Peristiwa Masjid Kerisik yang mengorbankan ribuan nyawa umat Islam.

Masjid Kerisik merupakan salah sebuah masjid dalam Wilayah Pattani yang menjadi tumpuan masyarakat setempat untuk beribadat. Peristiwa berdarah berlaku sewaktu masyarakat baru selesai menunaikan solat fardhu dan dengan tiba-tiba di kepung oleh tentera Siam, jemaah masjid tidak dibenarkan keluar dalam tempoh masa yang lama sehingga tembakan bermula yang bukan hanya dari tentera malah juga bom dari helikopter Apache yang dijatuhkan kedalam kubah masjid.

Dapat dibayangkan situasi pada masa itu, rakyat yang tidak berdosa di bunuh sebegitu rupa yang cukup menggambarkan kekejaman pihak tentera dan kerajaan Thailand pada masa itu sehingga mengorbankan sejumlah 108 nyawa anak muda dan orang tua yang tidak berdosa. Bukan setakat membunuh malah penduduk di ugut oleh ketua tentera dengan menggunakan pembesar suara masjid yang mengingatkan agar memberitahu yang melakukan ini adalah puak pemisah jika ditanya oleh pihak luar.

Tuesday, 21 April 2015

Sejarah Masjid Dato, Pattani

Terletak di Kampung Dato , Tambon Laem Pho , ia adalah kira-kira sepuluh kilometer dari Majlis Daerah Yaring di laluan yang sama untuk Pantai Teluk Kapo. Masjid lama ini dikelilingi oleh masyarakat Islam dan tanah perkuburan , dan dalam proses diubahsuai dan masih digunakan untuk upacara keagamaan .

Pada asalnya, Masjid Dato ini dinamakan Masjid Syeikh Gombak (Dato Panjang). Pembinaannya pada zaman Sultan Muzzafar Shah semasa kesultanan Pattani Darussalam di dalam kampung Seberang Tanjung. Nama kampung ini kemudiannya ditukar menjadi Kampung Dato, manakala masjidnya pula dinamakan Masjid Darul Naim.

Kampung ini terletak di kawasan muara. Para pedagang datang dari negara luar yang kebanyakkanya beragama Islam untuk singgah berdagang di negara Pattani. Sultan Muzzafar Shah yang memerintahkan supaya masjid ini dibangunkan supaya memudahkan mereka yang datang untu menunaikan ibadah dan menjalankan penyebaran ajaran Islam.



Masjid Dato sezaman dengan Masjid Kerisik. Bentuk binaanya juga hampir sama, yakni mengikut gaya senibina Timur Tengah. Pada zama Praya Phiphit Senamat (Sultan Abdul Hafiz: Tengku Nik Wok) yang menjadi pemerintah Negeri Yaring (Jering) telah memerintahkan supaya masjid ini diperbaharui dan bahagian hadapan diperluaskan. Pada tahun 2478 B.E atau tahun 1935 yang mana Masjid Dato telah diisytiharkan sebagai tapak Bersejarah Negara Thailand oleh Jabatan Seni Halus, Kementerian Kebudayaan Thailand.

Monday, 20 April 2015

Guruku Dipenjara

Besar jasamu tak dapat kubalaskan
Mendidik dan mengajari diriku
Walaupun aku sering menyinggungmu
Oh...guruku tetap jua kau sabari

Kini muridmu menunggu di sekolah
Sayunya hatiku melihat suasana
Kenapakah guru masih tidak muncul lagi
Matahari sudah menjulang tinggi

Ditutup matan dan tangannya digari
Apakah kesalahan guru kucintai
Aku mengharap guruku kan kembali
Bilakah kan pulang
Guruku tersayang
Menangis tak beradu...Oh....

Biarpun ombak yang merubah pantai
Jasamu takkan hancur berderai
Biarpun hari berganti hari
Guruku tetap ku nanti...Oh..

Guruku pimpinkan tanganku
Menuju jalanan bahagia
Aku berdoa semoga kau selamat
Dari segala godaan


Oh...guru...

Dugaan Hati

Duhai hati
Apa yang membuatkan bersedih
Mengenang diri sudah berusaha
Tapi seakan tak tahu
Apa yang sudah dilakukan..

Mencari sesuatu tapi selalu dijauhkan
Seperti sudah penat mencari
Membuatkan aku hilang punca
Seperti hilang sinar mentari.

Apalah hendaknya ingin terbang tingi
Tapi patah sayap terluka
Seperti memandang langit tinggi

Membuatkan sedar diri bergantungNya.


Friday, 17 April 2015

TRAVELOG KEM MUSIM PANAS, SELATAN THAILAND 2015

03 APRIL 2015 (JUMAAT)
Seawal jam 6.00 pagi seperti rutin kebiasaannya, aku sudah bangkit dan bersedia untuk solat Subuh bersendirian, kalau bangun lebih awal akan ke masjid atau surau berdekatan untuk berjemaah, tapi jika sudah terlambat hanya bersendirian saja di rumah. Selesai saja bersolat Subuh, kebiasaan aku jarang tidur kerana sudah menjadi rutin awal pagi akan melakukan pelbagai aktiviti seperti membasuh pinggan mangkuk jika ada yang ada di singki, menyapu, membasuh motosikal. Tambahan hari itu, aku perlu bersiap untuk mengemas pakaian, peralatan serta dokumen perjalanan seperti tiket bas dan passport dari Kuala Lumpur ke Pengkalan Kubor, untuk misi fasilitator di Pattani, Selatan Thailand yang mana perjalanan pada sebelah malamnya.
Selesai sahaja aktiviti tersebut, aku kembali ke bilik dan melihat suasana bilik yang tak berkemas, inilah masalah aku kerana di luar kelihatan kemas, bilamana dalam bilik aku tak sukar berkemas, ditambah sikap aku yang suka mengumpul barangan terpakai menjadikan bilik lebih berselerak. Ditambah dengan sikap aku yang merupakan seorang yang agak “sentimental value” tak suka membuang barangan yang sudah lama digunakan, yang dihadiahkan kerana mahu dijadikan sebagai kenangan. Bagi sesetengah orang, barangan yang sudah digunakan perlu dibuang.
Ketika melihat sekitar bilik, aku terlihat akan komputer riba aku yang sudah lama tidak dibuka lalu mengambil dan membukanya, benar sangkaan aku yang mana kelajuaan perisiannya semakin perlahan. Justeru itu, konduksinya perlu dibaiki  dengan “format” semula kandungannya dan diberi nafas baru.
Alhamdulillah juga, sebelum ke Selatan Thailand ini, aku menjumpai kunci pendua motosikalku yang telah hilang hampir 2 bulan. Besar dugaannya bilamana motosikal yang menjadi nadi kehidupan untuk bergerak seakan bilamana sukar untuk melakukan aktiviti harian. Bila cuba dihidupkan motosikal, nampaknya tidak kelihatan motosikal itu mahu hidup. Tanggapan aku, mungkin petrol sudah kehabisan tapi dibuka tangki motosikal penuh.  Sangkaan seterusnya mungkin tangki petrol dimasuki air, lalu aku mencabut wayar minyak untuk membuang air yang masuk dan dicuba menghidupkannya semula nyata gagal. Mahu tak mahu, aku perlu menghidupkan motosikal ini, ini kerana diri akan merasa lebih tenang bilamana ke Selatan Thailand. Akhirnya, aku mengagak bila semua sudah dicuba, hanya satu masalah utama motosikal iaitu nadi motosikal ialah palam pencucuh, sememangnya betul anggapanku lalu aku meminjam motosikal milik kawan baikku, Mohd Safarudin untuk ke bengkel berdekatan, tapi seperti kebiasaan, bengkel motosikal masih belum dibuka jam 8.00 pagi dan untuk mencari bengkel yang sudah buka aku perlu pergi ke bengkel yang agak jauh kerana bengkel itu memang kebiasaan telah buka. Selesai membeli palam pencucuh tersebut, aku menukarkannya dan akhirnya motosikal yang sudah hampir 2 bulan tidak  bernyawa kembali bernafas.
Selesai masalah motosikal, kini tinggal masalah komputer ribaku pula perlu di “format” pula. Untuk itu, aku menunggang motosikal ke sebuah kedai membaiki komputer yang biasa aku pergi tapi bilamana sampai di kedai tersebut tidak dibuka, baru aku teringat, kedainya tidak dibuka hari Jumaat. Lalu, aku pergi ke pusat siber café sebentar untuk melayari internet bagi melihat beberapa info sebagai rutin harian. Ketika membuka aplikasi Facebook, ketika melihat senarai “Friend”, aku teringat beberapa individu yang boleh mem”format”  komputer, bertanya juga beberapa kenalan yang boleh. Akhirnya, seorang junior yang masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa, lalu aku terus menghala ke mahallahnya atau kolej kediamannya
Selesai menghantar, sempat membeli makanan di café berdekatan mahallahnya. Lalu pulang ke rumah untuk bersedia untuk solat Jumaat. Selesai makan, azan baru selesai berkemundang terus aku ke masjid. Selesai solat Jumaat, terus pulang ke rumah untuk berehat bagi merehatkan badan bagi persediaan perjalanan yang agak juah perjalanan nanti.
Ketika 06.00 petang, aku terjaga dek panggilan telefon meminta aku berkumpul di Sekretariat Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Wangsa Maju. Nasib baik bilamana kawan baikku Mohd Safarudin sudi menghantarku ke sana. Di situ, bertemu dengan ahli ekspedisi yang lain untuk program tersebut. Program ini bertujuan membantu anak-anak yatim di situ untuk menyuntik semangat untuk lebih berminat belajar terutamanya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta memahami sosio budaya masyarakat Melayu di Selatan Thailand.
Di situ juga, sempat mendengar amanat daripada Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) untuk agenda yang perlu dibawa ke sana bagi tujuaan pendidikan. Pada masa sama, program ini anjuran Grup Pengkaji Tamadun Dunia Universiti Selangor (GPTD UNISEL) bersama dengan Persatuan Anak – Anak Yatim Tanyung dan Yayasan Ehsan Berhad.
Tepat jam 10.30 malam, kami dihantar ke tempat menunggu bas di stesen petrol Shell  kedua sebelum tol Pantai Timur (Gombak). Ahli kumpulan terdiri dripada wakil dari Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), penasihat dan seorang ahli Grup Pengkaji Tamadun Dunia UNISEL, dan aku.
Naik sahaja bas, aku sempat berjaga sehingga jam 12 tengahari ketika itu di Benta, Pahang, selepas itu terus lelap.


04 ARIL 2015 (SABTU)
Semasa jam 4.00 pagi, aku terjaga bilamana bas berhenti di sebuah restoran bernama Sani Café, Merapoh. Selepas bas memulakan perjalanan semula, mata aku liat mahu tidur kembali, lalu aku memerhati suasana awal pagi yang  yang indah sambil melihat bulan yang mengambang penuh dan berfikir banyak perkara yang mana aku terfikir kenapa aku masih mengembara seorang diri dengan umur yang makin meningkat. Terasa akan keseorangan bilamana melihat ramai kawan-kawanku sudah berumah tangga serta ada yang sudah mempunyai anak-anak mereka.
Sekitar jam 7.00 pagi, kami sampai di Pengkalan Kubor. Di sana, kami berhenti singgah sebentar di masjid untuk berkumpul untuk menunggu 3 orang lagi ahli kumpulan yang berasal dari Pantai Timur. Kami dipermudahkan urusan bilamana tidak perlu berjalan sejauh 500 meter dengan berjalan kaki bila salah seorang ahli kumpulan menunggu dengan bapanya menghantarnya menaiki kereta. Kami dihentikan di Kompleks Kastam Pengkalan Kubor dan berjalan berkaki ke kompleks jeti kerana di situ kaunter Imigresen untuk urusan pemeriksaan dan pengesahan perjalanan.
Selesai semua urusan, kami mula menaiki bot untuk ke seberang iaitu jeti Takbai atau Tabal di sebelah Thailand. Di situ, kami perlu berjalan menuju pula ke kaunter Imigresen Thailand. Berbeza dengan kaunter Imigresen Malaysia lebih mudah dan lokasi yang lebih strategik kerana keluar saja dari kaunter terus jumpa jeti, kaunter  Imigresen sebelah Thailand perlu berjalan sedikit ke kaunter, jika ada yang tak mahu melakukan pemeriksaan boleh terjadi. Jika bagi yang tidak mengetahui akan tercari-cari di mana kedudukannya.
Setelah itu semua urusan di kaunter Imigresen Thailand, kami dibawa oleh pengiring merangkap orang kuat program ini iaitu encik Wan Abdul Rahman selaku CEO Yayasan Ehsan, di sana beliau telah menyediakan pengangkutan iaitu grebar atau pacuan empat roda untuk ke wiayah Pattani. Untuk makluman, wilayah Pattani merupakan sebuah wilayah di selatan Thailand dan di utara wilayah Naratthiwat. Sebelum memulakan perjalanan yang jauh, kami dibawa bersarapan di sebuah gerai berdekatan jeti Takbai. Ini juga, bagi mengisi perut yang sudah lapar mungkin, kerana perjalanan yang jauh dari Kuala Lumpur malah ada yang tak sempat untuk makan di mana-mana perhentian kerana semua terlelap keletihan di dalam bas. Ini juga alas perut untuk perjalanan yang agak jauh nanti. Perjalanan dari Bandar Takbai ke Pattani memakan masa sekitar 2 jam.
Sepanjang perjalanan juga, kami sempat singgah ke Akademi Pengajian Islam dalam Princesses of Naratthiwat University.  Selesai saja lawatan ke situ, kami meneruskan perjalanan dengan menziarahi beberapa lokasi yang bersejarah seperti surau Wadi al-Hussein di Teluk Manok dalam wilayah Naratthiwat, aku sempat membeli sehelai t-shirt sebagai kenangan dengan imej surau Teluk Manok. Sekitar jam 12.30 tengahari waktu Thailand kami tiba di Nattanyung di kompleks rumah anak yatim Tanyung.
Kami tiba dengan bersolat jamak di surau kampong Aur berdekatan kompleks. Selesai solat kami dijamu dengan masyarakat kampung dengan hidangan yang sungguh luar biasa banyak dengan lauk tomyam, telur dadar dan wajib tambah nasi sekiranya dijemput orang kampong. Ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Dengan tanpa menjatuhkan perasaan orang kampung , aku  menambah nasi.
Selesai sahaja makanan, ahli kumpulan mula berkumpul untuk bermesyuarat untuk sesi pengenalan dengan ahli jawatankuasa pengggerak program yang terdiri pengerusi rumah anak yatim, Tuan Haji Said Abdullah Al-Jufri, Ustaz Osman dan beberapa pimpinan masyarakat kampong Nattanyung.
Sekitar jam 4 petang waktu Thailand, kami mendapati peserta-peserta program telah mula sampai untuk mendaftar. Kami ahli kumpulan berpecah bilamana yang lelaki dibawa menginap di homestay yang baru siap manakala yang wanita menginap di dalam kompleks.  Ini sedikit sebanyak dapat melepaskan penat perjalanan untuk berehat.
Sehingga waktu malam, kami telah dikumpulkan untuk mesyuarat bagi aturcara pada keesokan hari bersama dengan fasilitator atau murabi atau murabbiyah untuk kelancaran keesokan harinya untuk permulaan program perasmian. Selesai mesyuarat, kami pulang ke tempat kediaman untuk berehat.


05 APRIL 2015 (AHAD)
Hari yang dinantikan bermula dengan seawal jam jam 5.00 pagi waktu Thailand, pada asalnya aku sendiri terkejut jam aku telah jam 6 pagi, rupanya lewat sejam. Selesai saja waktu pagi aku memerhati telatah anak-anak yang mana mereka sungguh nakal-nakal. Kalau tak nakal bukan budaklah.
Sekitar jam 9 pagi jam Thailand, bermula majlis perasmiaan yang mana dihadiri oleh Tok Naro atau Datuk Bandar Tanyung, Syed Mohamad al Idrus, Said Abdullah al-Jufri, pengerusi Persatuan Anak Yatim Tanyung, Wan Abdul Rahman, CEO Yayasan Ehsan Berhad dan dirasmikan oleh Datuk Bandar Tanyung.
Selesai sahaja majlis perasmian, maka program telah bermula yang mana dengan pengajaran dalam Bahasa Melayu. Slot pagi, kami telah mengajar asas bahasa diikuti dengan latihan berkumpulan sebelah petangnya pula.
Sebelah petangnya, aktiviti diambil alih pula oleh fasilitator tempatan. Sehingga malam, kami berehat untuk persediaan pengajaran pada hari Selasa nanti. Sebelum itu, sebelum tidor diadakan pertemuan untuk mesyuarat untuk keesokannya.


06 APRIL 2015 (ISNIN)
Pada hari ini, kami tidak ada pengisian untuk disampaikan. Cuma awal pagi, kami berbincang untuk modul pada keesokannya yang mana akan mengajar Bahasa Inggeris. Ketika sedang rancak merancang, kami dimaklumkan oleh pihak kompleks untuk mengadakan lawatan sekitar Bandar Pattani
Selesai solat Zuhur, kami telah dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda dengan hentian pertama ke Surau Aur, Nattanyung berdekatan kompleks. Keunikan surau ini mempunyai persamaan seni binaan dengan surau di masjid Kampung Laut, Kelantan dan di pulau Jawa.
Seterusnnya, kami meneruskan perjalanan ke daerah Yaring di mana kami dibawa melawat  makam Tok Panjang, di mana kisahnya seorang ulama yang dibunuh oleh raja yang zalim, dan ulama itu bersumpah tidak akan diizinkan mayatnya ditanam di tanah jajahan raja tersebut lalu mayatnya dihanyutkan ke laut. Menjadi ketakutan nelayan bilamana terlihat mayat tersebut bangkit setiap kali terjumpa, lalu raja menitahkan bahawa dikebumikan di Kampung Datuk. Menjadi lagi hairan, bilamana jasadnya semakin memanjang lalu dititahkan lagi oleh raja untuk memasukkan saja mayat ke dalam liang lahad. Begitulah mengikut kisah cerita penduduk di situ.
Selesai menziarahi, kami dibawa ke pantai Teluk Kapur. Permandangannya sungguh indah kerana airnya yang membiru sungguh menenangkan dengan tiupan angin yang membuai-buai sungguh melekakan. Yang menarik di situ, kelihatan kambing-kambing biri berkeliaran memakan sampah.
Seterusnya, kami dibawa ke masjid kerisik, yang mana masjid ini menyaksikan kesengsaraan masyarakat Islam Pattani dan salah faham beragama di mana masjid ini hampir runtuh dibom serta dibedil dengan peluru di setiap pelusuk penjuru.
Kami meneruskan perjalanan, ketika melalui Ban Laenmok yang mana di situ, masyarakatnya mengusahakan tempat membuat garam seolah sawah padi. Penghasilan garam itu merupakan salah satu produk eksport ke Malaysia.
Selesai melawat tempat membuat garam, kami dibawa ke Masjid Princes of Songkla kampus Pattani untuk solat Magrib. Selesai solat, kami dipertemukan dengan seorang bekas dekan Fakulti teknologi dan sains, Doktor Falsafah Wan Hassan Wan Hashim. Untuk solat isyak kami bersolat di Masjid Jamek Pattani yang menempatkan juga Majlis Agama Islam Pattani dan madrasah Darul Maarif.
Selesai solat, kami seterusnya dibawa meronda sekitar Bandar Pattani, dan berhenti rehat dan makan malam di gerai dengan menikmati sup air, tomyam, dan telur dadar. Yang menariknya di sini, air putih saja disediakan, jika mahu boleh memesan air yang berperisa. Akhirnya, kami balik untuk berehat.


07 APRIL 2015 (SELASA)
Seperti kebiasaan selalu di sana, kami bangun seawal jam 4.30 pagi waktu Thailand, yang bersia-siap untuk solat subuh, selesai solat Subuh, aku sudah berazam sepanjang di sini akan menyumbang dengan membersihkan dan menyapu dalam kompleks yang mana lokasi tersebut akan sentiasa  kotor setiap kali ditinggalkan oleh adik-adik peserta dengan sampah kecil dan pasir. Selesai menyapu, aku akan mula  memerhatikan suasana pagi  yang cuba aku rakamkan dalam minda yang akan cuba untuk tidak dilupakan.
Selesai adik-adik peserta bersarapan dan mandi dalam sekitar jam 8.30 pagi waktu Thailand, maka bermula sesi kelas bahasa Inggeris sehingga jam 3.00 petang waktu Thailand. Apa yang didapati sepanjang pengajaran, ternyata tersilap perkiraan kerana adik-adik peserta tidak begitu menunjukkan minat untuk belajar jika pembelajaran terlalu serius dan perlu diselitkan hiburan dan jenaka bagi menarik minat mereka belajar. Dengan kekurangan persediaan ternyata kelemahan ini boleh diperbaiki oleh adik-adik yang bakal lagi ke Selatan Thailand untuk program seumpama itu.
Selesai mengajar, kami pulang berehat untuk persediaan mesyuarat untuk waktu malam. Mesyuarat diadakan untuk melakukan penyelarasan untuk program rehlah atau lawatan ke Narathiwat.


08 APRIL 2015 (RABU)
Rutin di awal pagi di sana, selesai sahaja bersarapan, para peserta berkumpul untuk rehlah dan perjalanan ke Naratthiwat dengan menaiki bas sebanyak 2 buah. Inilah pengalaman kedua aku menaiki bas di luar Negara selepas di Aceh. Rehlah ini adalah ke sebuah lagi wilayah majority Melayu di Selatan Thailand. Antara destinasi di sana ialah lokasi awal ke Masjid Selindung Bayu dalam wilayah Pattani daerah Teluban atau Teluk Manok atau Kampung Teluk. Seterusnya, ke masjid Teluk Manok iaitu di Wadi al-Hussein serta makam 30 orang syuhada yang terbunuh peristiwa Takbai Berdarah. Selesai saja lawatan ke situ, diteruskan perjalanan ke Narathiwat sebelum itu, rombongan berhenti solat Zuhur di Masjid Jamek berdekatan pantai Narathiwat. Sekitar jam 2.00 petang waktu Thailand, kami tiba di pantai. Di sana, kami mencari kawasan lapang untuk berhimpun untuk makan tengahari. Antara makanan yang telah disediakan, dibawa dari tapak program iaitu paprika dan teluk masak merah, sungguh menyelerakan masakannya.
Selesai makan dan penyerahan wang saku yang telah diamanahakan oleh pihak keluarga peserta, peserta dilepaskan sehingga jam 3 petang untuk bersiar di sekitar kawasan pantai dan rata-rata peserta menuju ke gerai-gerai berdekatan pantai yang menjual bermacam-macam jenis barangan dan makanan seakan-akan tapak bazaar yang sungguh meriah.
Bagi aku pula, banyak memerhati telatah anak-anak peserta yang mana aku lihat mereka seronok dan nampak kekampungan kerana Pattani masih Nampak ketradisionalan berbanding Narathiwat yang sudah dimamah kemodenan. Terbayang aku dahulu begitu juga, seorang budak kampong. Seronok apabila melihat mereka lagi, ragam berpusu-pusu menyerbu gerai-gerai makanan padahal di situ banyak lagi gerai yang sama roti yang dibungkus gula-gula kapas, sangat enak. Selain itu, aku juga sempat merasa aiskrim dalam kelapa. Air teh yang berbagai jenis perisa yang sungguh cantik bungkusannya siap dengan pembalut kertas. Aku juga sempat merasa mee kerabu atau Mama Yam yang sungguh lazat serta terasa kepedasannya.
Setelah itu, sekitar jam 3.30 petang , kami berkumpul dan mula menaiki bas untuk kembali ke Pattani. Sempat berhenti solat Asar jam 5 petang di antara Narathiwat dan Pattani di sebuah masjid. Bas yang dinaiki tiba di Nattanyung sekitar 6.00 petang, sesudah saja memunggah azan Magrib berkemundang.
Malam itu, selesai makan malam, urusetia dan peserta terus tidor awal untuk program keesokannya.


09 APRIL 2015 (KHAMIS)
Seperti kelaziman di sana, aku akan terjaga dan akan terus menuju ke surau Aur untuk solat Subuh. Selesai saja solat, aku terus ke kompleks anak yatim, untuk memulakan menyapu. Aku sudah memasang niat dari awal lagi yang mana akan cuba membantu dengan menyapu kerana selesai saja aktiviti para peserta di situ, akan nampak sampah dan pasir di atas lantai, jadi untuk keselesaan mereka juga untuk beraktiviti.
Sebelum kami dibawa keluar, kami sempat menyaksikan penyerahan sumbangan dari pegawai Koperasi Pattani ke Persatuan Anak Yatim Tanyung iaitu Encik Mat Jaki kepada Ustaz Osman selaku timbalan persatuan anak yatim Tanyung.
Hari itu, program diuruskan oleh murabi dan murabiyyah untuk slot fardhu ain, kami yang dari Malaysia pula dibawa oleh pihak penganjur melakukan kunjungan hormat ke pejabat Datuk Bandar Nattanyung. Kebetulan ketika itu, tidak mengetahui akan ke pejabat beliau, jadi pakaian pun tak formal, tapi nasib baik datuk Bandar juga berpakaian seluar jeans dan berkemeja. 
Sepanjang sesi kunjung hormat, kami sempat bertaruf dengan pihak datuk Bandar serta mendengar penerangan berkaitan Pattani dan kunjungan kami dialu-aluka oleh pihak Datuk Bandar dan menjemput membuat pelbagai aktiviti di sana pada masa mendatang.
Selesai saja kunjungan hormat, kami dibawa pula ke Ban Aun Ai, sebuah pusat pemulihan dadah, di situ kami dibawa menaiki bot laju untuk mengelilingi sungai Pattani hingga ke jeti Nattanyung. Tidak aku menyangka, inilah sungai yang menjadi laluan perdagangan serta laluan pendakwah zaman dahulu ke Pattani.
Selesai sampai di jeti Nattanyung, kami berjalan kaki menuju ke tapak program dan azan magrib berkemundang terus ke surau untuk solat. Selesai saja solat, dan peserta makan malam, diadakan mesyuarat kali terakhir untuk perbincangan untuk malam keesokkannya iaitu malam kebudayaan.


10 APRIL 2015 (JUMAAT)
Pagi ini merupakan hari Jumaat yang mana di sana merupakan suatu buday yang hampir 2 tahun diamalkan penduduk kampung yang mana mereka akan berkumpul di depan surau Aur untuk makan sarapan beramai-ramai dengan juadah sarapan yang dibawa oleh penduduk atau ada penduduk yang akan bergilir memasaknya. Selepas itu, duit derma dikutip untuk pembangunan dan pembiayaian aktiviti untuk anak yatim dan juga surau Aur. Selesai saja makan pagi, kami dari Malaysia menyiapkan penulisan travelog dan dimaklumkan oleh pihak penganjur akan membawa kami ke tempat di mana perindustian industri kecil di Nattanyung. Kami telah dibawa oleh ahli majlis Bandar, iaitu abang Ismail ke beberapa tempat yang mana sebuah kedai baju melayu dan jubah, aku sempat membeli sehelai baju melayu dengan harga 380 baht bersamaan dengan RM38. Selesai saja ke situ kami dibawa ke sebuah kedai lagi yang mana kedai ini merupakan lokasi pengumpul tempahan baju yang disebarkan ke seluruh Selatan Thailand dan juga Malaysia. Akhir sekali ke sebuah rumah yang mana tempat jual tudung, untuk ahli kumpulan yang lelaki , kami telah balik lebih awal untuk ke Masjid Nattanyung untuk solat Jumaat.
Selesai solat Jumaat, aku berjalan kaki menuju ke tapak program, semasa perjalanan aku merakam pemandangan sekitar kampong yang mana takkan aku dapat lupakan detik itu.
Petang itu, aku memerhati para peserta bersiap untuk acara malam itu di mana ada yang akan menyanyi, melawak, berlakon dan bacaan al Quran.
Malam yang dinantikan, malam itu majlis dimulakan oleh presiden Persatuan Anak Yatim Tanyung, Tuan Haji Said Abdullah dan ucapan perasmiaan oleh Said Hakim selaku Timbalan Datuk Bandar Pattani.
Sepanjang majlis aku melihat, tapak program dipenuhi masyarakat kampong dan ibu bapa peserta yang aku anggap sungguh meriah dengan telatah kelakar peserta yang mencuit hati.
Selesai malam itu, aku terasa sebak dan susah hendak tidor,aku mengemas dan menyusun kerusi untuk memudahkan orang mengangkat ke atas lori, lalu aku menuju ke dapur membasuh pinggan dan cawan yang masih belum dibasuh. Selesai saja, aku menuju ke rumah penginapan dan terlelap.


11 APRIL 2015 (SABTU)
Pagi itu, aku bangun dengan seribu jenis perasaan, mungkin hari itu merupakan hari terakhir di sana, lalu bangkit menuju ke kompleks menyapu untuk kali terakhir. Justeru itu, aku balik ke rumah penginapan untuk berkemas dan menyusun pakaian ke dalam beg untuk persiapan pulang. Pagi itu, majlis perpisahan dimulakan dengan kata-kata amanat murabi dan murbiyyah kepada peserta. Majlis berakhir dengan nyanyian dan selawat sebelum dilepaskan pulang. Aku cukup terkesan dengan seorang anak yatim ini yang mana beliau aku lihat seperti tabah bilamana dia berkejaran ke pintu walaupun peserta lain disambut oleh ibu dan bapa. Bersyukurlah kepada sesiapa yang mempunyai ibu dan ayah.
Selesai majlis, kami ke tempat makan dan selesai makan, azan Zuhur berkemundang lalu kami bersalaman dengan murabi dan murbaiyyah. Selesai solat Zuhur, kami berkumpul untuk pulang. Kami dibawa menaiki dua buah kenderaan hingga ke Takbai sebuah daerah dihujung selatan Thailand bersempadan Malaysia Cuma dipisahkan oleh sungai.
Perjalanan ke Takbai mengambil masa 2 jam perjalan dan ketika tib di Takbai sekitar jam 4.30 petang dan kami sempat dibawa ke gerai untuk minum dan peluang itu digunakan untuk berbual dengan Tuan haji Said Abdullah, pengerusi Persatuan Anak Yatim Tanyung, Ustaz Osman, timbalan pengerusi, abang Mad selaku speaker Majlis Perbandaran, cikgu Qassim, ketua jurulatih guru-guru persatuan, dan beberapa orang lagi.
Selesai minum, kami dibawa menuju sehingga ke imigresen Thailand, aku sempat menukarkan wang baht ke ringgit untuk sedikit wang bekalan untuk pulang. Selesai urusan di pejabat Imigresen kami bersalaman kali terakhir dengan pihak yang menghantar kami, dan inilah pengalaman pertama menaiki sampan menyeberangi sempadan, kebiasaan dengan feri. Sampai saja di jeti di Pengkalan Kubor, selesai saja di imigresen Malaysia kami berpisah di situ, dan aku dan 2 lagi kumpulan menunggu di stesen bas sehingga jam 8.00 malam untuk pulang ke Kuala Lumpur.
Kesimpulan sepanjang program ini, mengajar banyak erti kehidupan dan pencarian diri aku yang kadang kala berbolak balik. Mungkin masih belum Nampak siapa aku yang sebenarnya. Aku teringat pesanan seorang senior yang mana kalau kita kekusutan, beruzlah untuk mencari makna kehidupan.


Thursday, 26 March 2015

Hidup Belajar Melalui Pengalaman

Rupanya hari ini, membuka minda aku untuk lebih memikirkan kehidupan. Ingatkan aku mahu lari dari kehidupan yang sebenarnya aku rasa bukan kehidupan yang aku mahu, tetapi semakin aku lari, semakin aku dekat kehidupan yang mana aku cuba elakkan.

Pada hematnya, aku mahu suatu hidup yang sekadar  hidup dan buat amalan untuk diri aku dan aku mahukan kehidupan yang ‘low profile ’. Banyak pertanyaan yang aku cuba bertanya pada orang yang aku kenali. Ada yang menjawab, ada yang tak bagi pandangan, serta ada yang menjawab sekadar  menjawab. Aku merupakan seorang yang sebenarnya banyak persoalan yang berlegar dalam kepala tapi kadang kala ada terjawab, kadang kala tak terjawab dibiarkan saja.

Dalam dibiarkan berjawab, aku memahami secara praktikal dan pengulangan. Ini yang aku dapat pada hari ini, dan persamaaan jawapan. Aku beberapa bulan  kebelakangan ini, terkeliru dengan cara hidup yang aku cuba bina. Ada orang mengatakan begini, ada orang mengatakan perlu begini. Aku cuba mengikut rentak, tapi bila kelamaan aku memahami aku perlu belajar asertif.

Apa itu asertif? Asertif adalah dari perkataan Inggeris 'assertive', yang diberi makna dalam kamus English-Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka adalah sebagai"menyatakan, menegaskan atau menuntut". Sementara Webster's Third International Dictionary memberi penerangan "assert" bermakna "to state or affirm positively, assuredly, plainly or strongly”.

Dalam perbincang kaunseling kelakuan asertif ialah "kita melahirkan perasaan dan tindakan kita secara jujur, berterus terang dan ikhlas tanpa mencabuli batas-batas hak orang lain. Dengan ertikata , kita menghurmati diri kita dan dalam masa yang sama kita menghurmati diri orang lain. Kita bertindak dalam sempadan hak kepunyaan kita, kita mengawal diri kita dan tidak membenarkan orang lain mengawal diri kita. Kita tidak campur tangan dalam sempadan hak orang lain.

Ini bermakna, berkelakuan asertif adalah kita yang mengawal hidup diri kita sendiri serta tidak pula mengawal hak mutlak orang lain. Dalam hidup bermasyarakat masalah perhubungan dan konflik tidak dapat dielakkan . Dalam rumahtangga, tempat kerja, dipejabat , disekolah malah ditempat ibadat pun masih wujud masalah perhubungan. Kepelbagaian kelakuan dan perbezaan kelakuan ini tidak seharusnya mempengaruhi kita mengikut jejak orang lain terutama kelakuan pasif dan agresif.

Gangguan emosi boleh wujud dengan segera disebabkan daripada masalah perhubungan. Perhubungan suami isteri boleh bertukar kepada perselisihan, perhubungan persahabatan boleh bertukar kepada permusuhan begitu juga perhubungan ibubapa dengan anak remaja ataupun anak menantu.

Mudah-mudahan dengan bersikap asertif, memperkatakan sesuatu secara berpatutan, bertindak secara menghurmati orang lain, dapat mewujudkan perhubungan yang tulin dan harmoni dikalangan sesama kita. Sekurang-kurangnya kita menyedari bahawa kita adalah hamba Allah yang dijadikan untuk mengabdikan diri kepadaNya, dengan menyedari bahawa kita mempunyai beberapa kekurangan dan hidup dimuka bumi ini sebagai "sharing" atau perkongsian sesama kita.

Untuk menjadi asertif , maka perlunya kita mempunyai kemahiran asertif dan pengetahuan mengenai dengannya untuk membantu kita bersikap asertif.

Adakalanya ramai orang tidak dapat bezakan antara sikap asertif dengan sikap agresif. Agresif adalah lebih kepada menyerang orang lain, tanpa memikirkan dan memperdulikan perasaan orang lain. Yang dipeliharanya adalah emosi kita sendiri, boleh jadi ia berlaku tanpa kita sedari atau lebih kepada sikap mempertahankan diri sebagai "defence mechanism".

Sikap asertif ataupun agresif diukur melalui ciri-cirinya yang terbentuk dari implikasi tingkah laku terhadap diri kita dan orang lain, juga dikur melalui budaya masyarakat setempat dan yang lebih penting adalah mengikut ukuran ajaran Agama.

Agresif menggambarkan kemarahan dan kekecewaan sesaorang dan bertindak bagi melepas perasaan yang beremosi itu terhadap orang lain jika tidak untuk melukai orang lain secara sedar.

Orang yang bersikap asertif mempunyai empat kriteria.

Pertama: Kita bebas menyatakan diri kita, melalui perkataan atau tindakan iaitu seperti "saya rasa, saya fikir atau saya berpendapat.

Kedua: Kita boleh berhubung dengan siapa saja pada setiap peringkat, samada kawan, keluarga, orang asing, orang berpangkat dan sebagainya. Perhubungan itu sentiasa terbuka, jelas, jujur dan berpatutan.

Ketiga: Kita mempunyai haluan yang aktif terhadap hidup kita. Kita tidak menunggu sesuatu berlaku, berubah atau mengharapkan orang lain bertindak untuk kita, sebaliknya kita mencuba, berusaha dan bertindak keatas apa yang kita mahu.

Keempat: Kita bertindak mengikut keupayaan kita, Kita sedar yang kita tidak semestinya sentiasa berjaya serta mendapat apa yang kita mahu. Kita terima had keupayaan kita. Kita sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik. Samada berjaya atau tidak, kita tetap mempunyai harga dan penghormatan diri.

Kelahiran ilmu kaunseling dizaman moden ini adalah suatu ilmu bertujuan membantu atau proses menolong untuk mencari kesejahteraan hidup, yang dicari oleh semua orang yang mana datangnya kesejahteraan itu dari jiwa sesaorang. Sejarah kemasyhuran ilmu kaunseling yang dipopularkan pada zaman awalnya oleh Sigmund Freud dengan mencipta teori psikoanalisanya berasaskan pengalamannya sendiri, kajian keatas pesakit-pesakitnya dan pemerhatianya adalah bagi mencari erti kesejahteraan yang berpunca dari jiwa dan mencari jalan untuk memperolehinya. Begitu juga dengan Carl Rogers diawal tahun 40an dengan teori kemanusiaannya. Teori psikoanalisa Siugmnd Freud adalah berasaskan kepada manusia dipengaruhi oleh alam tidak sedar (unconscious) sementara pula teori kemanusiaan Rogers adalah berasaskan kepada alam sedar (conscious) tetapi diherot-berotkan oleh pengalaman-pengalaman sesaorang, perbezaan ini adalah berdasarkan kepada penemuan oleh mereka.

Sementara teori kaunseling tingkahlaku pula menekankan keyakinan kepada perubahan kelakuan manusia berdasarkan kepada ransangan ataupun gerakbalas. Ransangan yang positif kepada sesaorang membolehkan orang itu memperolehi kesejahteraan. Umpamanya sesaorang yang diberi pujian , imbuhan , penghargaan dan sebagainya membolehkan mengubah tingkah laku sesaorang kerana rangsangan itu memberi kebahagiaan pada jiwanya berdasar teori Pavlov.

Menjadi diri sendiri, sekiranya kita menghadapi kesukaran untuk menyatakan kemahuanatau pendapat kita kepada orang lain, jika sekiranya kita merasa sukar untuk menyatakan tidak boleh , sedangkan itulah sebenarnya yang kita mahu katakan dan jika sekiranya kita merasa begitu sukar untuk berbincang dengan hati yang terbuka dengan anak-anak kita,serta putus asa untuk menasihati mereka hanya disebabkan banyak kali mereka tidak mempedulikan kata-kata kita, atau pun sekiranya kita tidak berani untuk menyatakan hak kita kepada orang lain maka kelakuan kita itu menunjukkan bahawa kita adalah seorang yang tidak asertif. Orang yang tidak asertif selalunya takut, bimbang, tidak puas hati, murung dan tidak dapat berkembang maju sertatingkahlakunya tersekat. Jika sekiranya kita tidak mahu terus berkeadaan seperti itu maka mari kita belajar untuk berubah menjadi seorang yang asertif, sebagai seorang ibubapa yang asertif, sebagai seorang staf yang asertif, sebagai seorang suami atau isteri yang asertif, sebagai seorang anak yang asertif, sebagai seorang pelajar yang asertif dan sebagainya.