Rupanya hari ini,
membuka minda aku untuk lebih memikirkan kehidupan. Ingatkan aku mahu lari dari
kehidupan yang sebenarnya aku rasa bukan kehidupan yang aku mahu, tetapi
semakin aku lari, semakin aku dekat kehidupan yang mana aku cuba elakkan.
Pada hematnya, aku mahu
suatu hidup yang sekadar hidup dan buat
amalan untuk diri aku dan aku mahukan kehidupan yang ‘low profile ’. Banyak
pertanyaan yang aku cuba bertanya pada orang yang aku kenali. Ada yang menjawab,
ada yang tak bagi pandangan, serta ada yang menjawab sekadar menjawab. Aku merupakan seorang yang
sebenarnya banyak persoalan yang berlegar dalam kepala tapi kadang kala ada
terjawab, kadang kala tak terjawab dibiarkan saja.
Dalam dibiarkan berjawab,
aku memahami secara praktikal dan pengulangan. Ini yang aku dapat pada hari
ini, dan persamaaan jawapan. Aku beberapa bulan
kebelakangan ini, terkeliru dengan cara hidup yang aku cuba bina. Ada
orang mengatakan begini, ada orang mengatakan perlu begini. Aku cuba mengikut
rentak, tapi bila kelamaan aku memahami aku perlu belajar asertif.
Apa itu asertif? Asertif
adalah dari perkataan Inggeris 'assertive', yang diberi makna dalam kamus
English-Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka adalah sebagai"menyatakan,
menegaskan atau menuntut". Sementara Webster's Third International
Dictionary memberi penerangan "assert" bermakna "to state or
affirm positively, assuredly, plainly or strongly”.
Dalam perbincang
kaunseling kelakuan asertif ialah "kita melahirkan perasaan dan tindakan
kita secara jujur, berterus terang dan ikhlas tanpa mencabuli batas-batas hak
orang lain. Dengan ertikata , kita menghurmati diri kita dan dalam masa yang
sama kita menghurmati diri orang lain. Kita bertindak dalam sempadan hak
kepunyaan kita, kita mengawal diri kita dan tidak membenarkan orang lain
mengawal diri kita. Kita tidak campur tangan dalam sempadan hak orang lain.
Ini bermakna,
berkelakuan asertif adalah kita yang mengawal hidup diri kita sendiri serta
tidak pula mengawal hak mutlak orang lain. Dalam hidup bermasyarakat masalah
perhubungan dan konflik tidak dapat dielakkan . Dalam rumahtangga, tempat
kerja, dipejabat , disekolah malah ditempat ibadat pun masih wujud masalah
perhubungan. Kepelbagaian kelakuan dan perbezaan kelakuan ini tidak seharusnya
mempengaruhi kita mengikut jejak orang lain terutama kelakuan pasif dan
agresif.
Gangguan emosi boleh
wujud dengan segera disebabkan daripada masalah perhubungan. Perhubungan suami
isteri boleh bertukar kepada perselisihan, perhubungan persahabatan boleh
bertukar kepada permusuhan begitu juga perhubungan ibubapa dengan anak remaja
ataupun anak menantu.
Mudah-mudahan dengan
bersikap asertif, memperkatakan sesuatu secara berpatutan, bertindak secara
menghurmati orang lain, dapat mewujudkan perhubungan yang tulin dan harmoni
dikalangan sesama kita. Sekurang-kurangnya kita menyedari bahawa kita adalah
hamba Allah yang dijadikan untuk mengabdikan diri kepadaNya, dengan menyedari
bahawa kita mempunyai beberapa kekurangan dan hidup dimuka bumi ini sebagai
"sharing" atau perkongsian sesama kita.
Untuk menjadi asertif ,
maka perlunya kita mempunyai kemahiran asertif dan pengetahuan mengenai
dengannya untuk membantu kita bersikap asertif.
Adakalanya ramai orang
tidak dapat bezakan antara sikap asertif dengan sikap agresif. Agresif adalah
lebih kepada menyerang orang lain, tanpa memikirkan dan memperdulikan perasaan
orang lain. Yang dipeliharanya adalah emosi kita sendiri, boleh jadi ia berlaku
tanpa kita sedari atau lebih kepada sikap mempertahankan diri sebagai
"defence mechanism".
Sikap asertif ataupun
agresif diukur melalui ciri-cirinya yang terbentuk dari implikasi tingkah laku
terhadap diri kita dan orang lain, juga dikur melalui budaya masyarakat
setempat dan yang lebih penting adalah mengikut ukuran ajaran Agama.
Agresif menggambarkan
kemarahan dan kekecewaan sesaorang dan bertindak bagi melepas perasaan yang
beremosi itu terhadap orang lain jika tidak untuk melukai orang lain secara
sedar.
Orang yang bersikap
asertif mempunyai empat kriteria.
Pertama: Kita bebas
menyatakan diri kita, melalui perkataan atau tindakan iaitu seperti "saya
rasa, saya fikir atau saya berpendapat.
Kedua: Kita boleh
berhubung dengan siapa saja pada setiap peringkat, samada kawan, keluarga,
orang asing, orang berpangkat dan sebagainya. Perhubungan itu sentiasa terbuka,
jelas, jujur dan berpatutan.
Ketiga: Kita mempunyai haluan
yang aktif terhadap hidup kita. Kita tidak menunggu sesuatu berlaku, berubah
atau mengharapkan orang lain bertindak untuk kita, sebaliknya kita mencuba,
berusaha dan bertindak keatas apa yang kita mahu.
Keempat: Kita bertindak
mengikut keupayaan kita, Kita sedar yang kita tidak semestinya sentiasa berjaya
serta mendapat apa yang kita mahu. Kita terima had keupayaan kita. Kita
sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik. Samada berjaya atau tidak, kita
tetap mempunyai harga dan penghormatan diri.
Kelahiran ilmu
kaunseling dizaman moden ini adalah suatu ilmu bertujuan membantu atau proses
menolong untuk mencari kesejahteraan hidup, yang dicari oleh semua orang yang
mana datangnya kesejahteraan itu dari jiwa sesaorang. Sejarah kemasyhuran ilmu
kaunseling yang dipopularkan pada zaman awalnya oleh Sigmund Freud dengan
mencipta teori psikoanalisanya berasaskan pengalamannya sendiri, kajian keatas
pesakit-pesakitnya dan pemerhatianya adalah bagi mencari erti kesejahteraan
yang berpunca dari jiwa dan mencari jalan untuk memperolehinya. Begitu juga
dengan Carl Rogers diawal tahun 40an dengan teori kemanusiaannya. Teori
psikoanalisa Siugmnd Freud adalah berasaskan kepada manusia dipengaruhi oleh
alam tidak sedar (unconscious) sementara pula teori kemanusiaan Rogers adalah
berasaskan kepada alam sedar (conscious) tetapi diherot-berotkan oleh
pengalaman-pengalaman sesaorang, perbezaan ini adalah berdasarkan kepada
penemuan oleh mereka.
Sementara teori
kaunseling tingkahlaku pula menekankan keyakinan kepada perubahan kelakuan
manusia berdasarkan kepada ransangan ataupun gerakbalas. Ransangan yang positif
kepada sesaorang membolehkan orang itu memperolehi kesejahteraan. Umpamanya
sesaorang yang diberi pujian , imbuhan , penghargaan dan sebagainya membolehkan
mengubah tingkah laku sesaorang kerana rangsangan itu memberi kebahagiaan pada
jiwanya berdasar teori Pavlov.
Menjadi diri sendiri, sekiranya kita
menghadapi kesukaran untuk menyatakan kemahuanatau pendapat kita kepada orang
lain, jika sekiranya kita merasa sukar untuk menyatakan tidak boleh ,
sedangkan itulah sebenarnya yang kita mahu katakan dan jika sekiranya kita
merasa begitu sukar untuk berbincang dengan hati yang terbuka dengan anak-anak
kita,serta putus asa untuk menasihati mereka hanya disebabkan banyak kali
mereka tidak mempedulikan kata-kata kita, atau pun sekiranya kita tidak berani
untuk menyatakan hak kita kepada orang lain maka kelakuan kita itu menunjukkan
bahawa kita adalah seorang yang tidak asertif. Orang yang tidak asertif
selalunya takut, bimbang, tidak puas hati, murung dan tidak dapat berkembang
maju sertatingkahlakunya tersekat. Jika sekiranya kita tidak mahu terus
berkeadaan seperti itu maka mari kita belajar untuk berubah menjadi seorang
yang asertif, sebagai seorang ibubapa yang asertif, sebagai seorang staf yang
asertif, sebagai seorang suami atau isteri yang asertif, sebagai seorang anak
yang asertif, sebagai seorang pelajar yang asertif dan sebagainya.