
“Saya nak minta pandangan
dari akak cara untuk mengelakkan cemburu. Sejak akhir-akhir ini perasaan
cemburu terhadap orang di sekeliling saya termasuk teman rapat saya sering
timbul. Saya merasakan diri saya tak sebaik mereka. Kadang-kadang saya tidak
bertegur sapa hanya kerana soal cemburu.”
Perkongsian untuk
direnungkan bersama:
Sebagai manusia biasa yang
serba kekurangan, kita kadang-kadang dilanda rasa cemburu apabila melihat
seseorang punya kelebihan berbanding kita. Rasa cemburu kadang-kadang mengabui
mata hingga kita melihat diri kita sebagai orang yang serba kurang dan orang
lain sentiasa lebih dari kita.
Saya pernah rasa cemburu
pada teman yang keputusan peperiksaannya lebih cemerlang daripada saya. Cemburu
itu membuatkan saya menangis kerana merasa kalah dan terus mendorong saya
berusaha keras menyaingi mereka.
Saya pernah rasa cemburu
pada teman yang punya keluarga yang kaya raya. Saya mencemburui mereka kerana
bisa memiliki pakaian yang cantik dan baru, mencemburui mereka kerana memiliki
barangan yang berjenama, mencemburui mereka kerana berpeluang memiliki apa
sahaja yang diingini.
Saya pernah rasa cemburu
pada teman yang punya wajah cantik dan diminati ramai. Yang sentiasa mendapat
pujian dan perhatian. Tetapi saya tiada daya dalam menambah kecantikan saya
kerana saya telah dilahirkan dengan rupa saya yang begini.
Itu kisah saya dahulu,
sebelum saya kenal agama, sebelum saya pasti tujuan hakiki hidup ini.
Persoalannya, di manakah duduknya rasa cemburu kita? Apakah rasa cemburu kita
sekadar suatu rasa yang berlalu di hati kemudian hilang atau ia menghantui
pemikiran hingga menyebabkan jiwa tertekan dan iman berkurang?
Rasa cemburu jika
dibiarkan menguasai diri boleh melarat kepada kedengkian. Untuk menangani
secebis perasaan ini, kita haruslah mempunyai ilmu tentangnya. Kita perlu faham
akan besarnya bahaya kedengkian agar dapat meletakkan rasa iri dan cemburu kita
pada tempat yang sebetulnya.
Rasulullah bersabda
bermaksud: “Takutlah kamu semua akan sifat dengki sebab sesungguhnya dengki itu
memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Riwayat Abu Daud
daripada Abi Hurairah)
Menurut Imam Al-Ghazali, dengki itu ada
tiga macam:
Pertama; menginginkan agar
kenikmatan orang lain itu hilang dan digantikan kepadanya.
Kedua; menginginkan agar
kenikmatan orang lain itu hilang sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, baik
kerana merasa mustahil dirinya akan dapat menggantikannya atau memang kurang
senang memperolehinya atau sebab lain. Asal orang itu jatuh, ia gembira. Ini
lebih jahat daripada dengki yang pertama.
Ketiga; tidak ingin kalau
kenikmatan orang lain itu hilang tetapi ia benci kalau orang itu mendapat
kenikmatan lebih daripada kenikmatan yang dimilikinya.
Dengki hanya dimiliki
orang yang berjiwa rendah dan sifat itu mendorongnya berangan-angan kosong
untuk mendapatkan kenikmatan yang dimiliki orang lain.
Dalam Islam, rasa dengki
dan iri hanya dibolehkan dalam dua
perkara:
Ibn Masud meriwayatkan, Rasulullah ada bersabda bermaksud: “Tidak
digalakkan adanya perasaan iri hati melainkan pada dua keadaan. Pertama,
keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda dan membelanjakannya kepada
perkara kebajikan. Kedua keadaan orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan Agama
lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya.”
(Riwayat
Bukhari, Muslim dan Tarmizi)
Begitulah agama Islam yang
mulia menasihati kita tentang dengki. Setelah memahami semuanya, tanyalah
dirimu, apakah rasa cemburumu di luar atau di dalam lingkungan dua perkara yang
dibenarkan agama. Jika tidak, hapuskanlah rasa cemburumu itu.
Namun begitu, rasa cemburu
kadang kala hadir juga. Bagaimanakah kita dapat menanganinya? Bagi menjawab
soalan adik Anonymous, antara tips menangani
sifat cemburu ialah:
1. Merasa qanaah (cukup) dengan apa yang dikurniakan
Allah kepadamu. Sentiasa merasakan rezeki yang dikurniakan Allah dalam bentuk
apa pun adalah yang telah ditetapkan buat kita dan adalah yang terbaik untuk
kita. Merasai berpada dan syukur atas nikmat yang diberi mendatangkan rasa
lapang dan redha dalam menerimanya.
2. Menjadikan rasa cemburu
sebagai sesuatu yang positif iaitu menjadikan ia dorongan untuk berusaha
bersungguh-sungguh memperbaiki serta memajukan diri. Menjadikan ia sebagai satu
motivasi untuk berlumba-lumba membuat kebaikan (fastabiqul khoirat) terutamanya dalam menuntut ilmu untuk
meningkatkan darjat diri di sisi Allah.
3. Katakan pada diri
bahawa aku adalah yang terbaik, aku diciptakan cukup sempurna. Mempercayai
bahawa setiap orang punya kelebihan tersendiri. Mungkin anda tidak cantik,
tetapi anda bijak belajar. Mungkin anda tidak bijak belajar, tetapi anda punyai
kemahiran berniaga atau memasak. Mungkin anda miskin, tetapi anda sempurna
anggota. Tinggal sahaja anda menggilap segala kelebihan yang Allah berikan
kepada anda untuk mencemerlangkan diri. Buangkan rasa rendah diri yang
melemahkan semangat anda.
4. Melihat sesuatu hikmah
di sebalik kekurangan yang dimiliki dan mensyukurinya. Anda mungkin miskin
tetapi anda punyai keluarga yang bahagia. Anda mungkin anak yatim tetapi anda
punyai kasih sayang dari teman-teman serta mampu pergi ke sekolah. Anda mungkin
tidak cantik tetapi anda selamat dari kedengkian manusia. Anda mungkin tidak
miliki segala yang anda ingini, tetapi anda juga tidak kurang sifat berbanding
insan lain yang lebih malang nasibnya daripada anda.
5. Tips ulama dalam
menghadapi rasa cemburu ialah melihat orang yang di bawah anda dalam perkara
duniawi, tetapi melihat orang yang di atas anda dalam perkara agama.
Kunci kepada mengatasi
rasa cemburu ini adalah meyakini bahawa dunia ini bersifat sementara dan hanyalah
ladang untuk akhirat. Apalah guna kita menyesakkan hati dengan kedengkian dan
cemburu sedangkan nilai dunia di sisi Allah adalah lebih kecil dari sebelah
sayap lalat.
Wallahua'lam. Buat Adik
Anonymous, semoga perkongsian ini ada manfaatnya dan menjadi muhasabah untuk
kita bersam
sumber:
suluhhati.blogspot.com
No comments:
Post a Comment